MANUSIA DAHULU PRIMITIF? TIDAK BENAR


Salah satu bentuk kefahaman yang merosakkan pemikiran umat Islam pada hari ini adalah fahaman evolusi manusia yang antara lain dipengaruhi oleh Teori Evolusi Darwin. Jika tidakpun umat Islam mempercayai manusia berasal daripada beruk – kerana semua yakin Nabi Adam 'alaihissalam adalah manusia pertama diciptakan – namun ada dalam kalangan umat Islam yang percaya (atau sekurang-kurangnya menaruh syak) bahawa manusia dahulunya primitif tetapi sekarang sudah berevolusi ke arah kemodenan. Ini mungkin kerana semua umat Islam diajar daripada bangku sekolah lagi dengan gambaran manusia terdahulu yang bercawat, tidak mempunyai apa-apa peralatan moden, serta berkomunikasi dengan menggunakan isyarat.

Faham evolusi manusia ini beranggapan bahawa manusia asalnya bersifat primitif. Namun setelah ia mula meneroka alam dan belajar tentang alam sekelilingnya, barulah manusia mula belajar untuk menjadi lebih bertamadun dan seterusnya lebih maju. Oleh sebab itulah sikap dan sifat yang “tidak bertamadun” sering diistilahkan sebagai “mundur”, “kuno”, dan sebagainya.

Faham ini sangat bertentangan dengan pandangan alam Islam. Sebagai muslim, kita telah dibentangkan dengan dalil-dalil naqli (al Quran & al Hadith) dan aqli (rasional akal) akan asal-usul manusia. Cuma mungkin kerana ramai dalam kalangan umat Islam yang sudah terlalu kagum dengan “kecanggihan” teori-teori yang datang daripada Barat, sehingga mereka lupa atau tidak sedar akan kebenaran yang sudah sedia diajar di dalam Islam.

Sebelum itu, adalah penting untuk difahami kenapa teori “manusia dulu primitif, manusia sekarang maju” adalah teori yang merosakkan pandangan alam umat Islam. Teori itu, apabila diyakini atau dipercayai oleh seseorang muslim, akan turut membawanya kepada kefahaman (sama ada secara sedar atau tanpa sedar) bahawa manusia sekarang lebih baik daripada manusia dulu – dan ini termasuklah para Nabi dan Rasul yang terdahulu! Ini fahaman yang sangat bahaya, kerana bertentangan dengan aqidah Islam. Dalam aqidah Islam, para Nabi dan Rasul itu lebih baik, lebih mulia, dan lebih tinggi kedudukan mereka daripada semua manusia lain, tidak kira pada zaman mana sekalipun.

Sekarang, bagaimana kita boleh menolak fahaman bahawa “manusia dahulunya primitif”? Dalam al Quran, Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman:

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا

Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda...” (al Baqarah: 31)

Dalam ayat ini Allah mengesahkan bahawa Nabi Adam ‘alaihissalam telah diajar nama tentang semua benda yang ada di dunia ini. Pengetahuan tentang nama segala sesuatu bermakna pengetahuan tentang kegunaan serta perbezaan antara setiap benda itu. Allah utuskan seorang Nabi sebagai manusia pertama di atas muka bumi ini, lengkap dengan segala pengetahuan dan kemahiran untuk menggunakan setiap tumbuhan, haiwan, dan hasil bumi yang ada khusus untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai Khalifah Allah di bumi ini. Nabi Adam ‘alaihissalam adalah seorang manusia bertamadun; seorang lelaki yang diutuskan Allah ke atas muka bumi ini sarat dengan ilmu pengetahuan.

Secara rasionalnya juga kita akan dapat memahami kebenaran ini. Apakah mungkin seorang Nabi dan Rasul itu bersifat “primitif”? Sudah tentu tidak, kerana seorang Nabi itu lebih baik dan lebih mulia daripada kita semua. Apakah mungkin Allah utuskan manusia pertama untuk menjadi KhalifahNya di bumi ini, tetapi tidak melengkapinya dengan ilmu dan kemahiran? Sudah tentu tidak, kerana Allah itu Maha Adil.

Kehidupan manusia di atas bumi ini bermula dengan seorang insan mulia yang bertamadun – Nabi Adam ‘alaihissalam – dan kemuncak ketamadunan manusia adalah dengan kehadiran insan agung – Nabi Muhammad sallallāhu 'alaihi wasallam. Selepas zaman Baginda Rasulullah, manusia bukannya semakin bertambah “maju”, tetapi semakin “biadab” dan “kebinatangan”. Kehidupan kita yang berada di akhir zaman ini adalah untuk mengikuti apa yang ditunjukkan dan ditinggalkan oleh insan agung itu. Semakin jauh kita daripada baginda, semakin jauh kita daripada menjadi insan bertamadun.

Oleh sebab itu, ilmu paling penting yang wajib diterapkan dalam kalangan generasi muda (dan generasi tua yang selama ini dalam kekeliruan) pada hari ini adalah ilmu mengenal Allah dan ilmu tentang Rasulullah sallallāhu 'alaihi wasallam.

Wallahu’alam.


Naim Zulkipli


--------------------------------

Sedekah online untuk Tahfiz As-Sofa secara mudah. Setiap sumbangan layak untuk mendapat pengecualian cukai di bawah Sub Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sedekah Online : http://bit.ly/infaqTahfiz

Previous
Next Post »