Umur manusia 7,000-8,000 tahun

 


USIA hayat sejarah kemanusiaan sejak Nabi Adam AS hinggalah sekarang hanyalah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun.

Itulah anggaran yang dibuat oleh ilmuwan unggul tanah air, Tan Sri Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas secara ilmiah dan berlandaskan pelbagai sumber.

Bagaimanakah Prof Naquib Al-Attas membuat penetapan itu dan apakah sandaran pembuktiannya? Malah, lebih penting daripada itu, apakah manfaat mengetahui usia umat manusia?

Semua persoalan itu dijawab oleh Prof Naquib Al-Attas pada Syarahan Khas sempena Majlis Pelancaran Buku On Justice and the Nature of Man di Sasana Kijang, Bank Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Prof Naquib Al-Attas berkata, penentuan usia kemanusiaan penting untuk menjawab kekeliruan dan keraguan yang ditimbulkan dalam tradisi falsafah dan pemikiran Barat khususnya melalui idea evolusi yang bertentangan dengan keyakinan penciptaan manusia melalui Nabi Adam.

"Sekolah dan universiti di seluruh dunia mengajar idea manusia melalui tempoh evolusi yang panjang dan sangat kompleks tetapi pintar yang disokong oleh banyak bukti empirikal.

"Bagi mereka, manusia ialah ciptaan semula jadi dalam bentuk fizikal yang tidak istimewa, sebaliknya produk evolusi yang dikatakan sebagai proses pembangunan biologi dari spesis antropoid yang berubah bentuk dan spesis dari semasa ke semasa yang akhirnya memunculkan homo sapiens (manusia moden), iaitu kita," katanya pada syarahan selepas majlis pelancaran bukunya yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah itu.

Jerat teori evolusi

Beliau berkata, ramai Muslim sama ada generasi tua mahupun muda yang menjadi keliru kerana evolusi itu dikatakan berasaskan bukti empirikal saintifik, manakala umat Islam tidak menemukan pembuktian yang sama.

"Sebahagian sarjana dan pengarang sampai ke tahap beranggapan Adam bukanlah nama seorang manusia sebaliknya istilah kemanusiaan secara seluruhnya, sekali gus cocok dengan idea evolusi selama ratusan, bahkan jutaan tahun itu.

"Justeru, sangat penting untuk menentukan usia kemanusiaan berasaskan pembuktian daripada al-Quran dan hadis serta bukti daripada sejarah dan arkeologi mengenai anggaran bilakah Nabi Adam diturunkan ke dunia," katanya.

Prof Naquib Al-Attas berkata, tempoh itu boleh ditentukan melalui metodologi berasaskan pengetahuan terhadap period raja dan pemerintah dalam kerajaan serta peradaban silam yang sudah direkodkan dalam sejarah.

Beliau berkata, pengetahuan terhadap tempoh sejak Nabi Muhammad diutuskan yang kini tahun hijrah ialah 1437H dan kelahiran Nabi Isa sejak 2015 tahun lalu sudah tidak menjadi pertikaian lagi.

Anggaran zaman raja, pemerintah

"Zaman nabi sebelum Isa pula dapat dianggarkan dengan mengetahui period raja dan pemerintah silam yang sudah banyak diketahui oleh sejarawan dan arkeologi.

"Ini kerana raja dan pemerintah itu yang dihadapi oleh nabi ketika mereka diutuskan kepada umat manusia, sekali gus dapat mengetahui tempoh zaman berkenaan," katanya.

Yang hadir sama pada sesi syarahan itu Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kewangan dan Perbankan Malaysia (IBFIM), Datuk Dr Adnan Alias; Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali; Pengasas Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains Dan Peradaban (CASIS) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud dan Pengarahnya, Prof Dr Muhammad Zainiy Uthman.

Contoh perkiraan yang dibuat Al-Attas dapat dilihat melalui penentuan zaman Nabi Yunus yang diutuskan ke Nineveh di Babylon yang dikuasai dan diperintah oleh Assyria khususnya di bawah Sargon II bermula 721 hingga 705 Sebelum Masihi (SM) dan Sennacherib putera kepada Esarhaddon (681-668 SM) dan Esarhaddon putera kepada Ashurbanipal (669-629 SM).

Makam Nabi Yunus itu terletak di kawasan perbukitan selatan Nineveh, iaitu kota lama yang berhadapan dengan Mosul, Iraq dan kini dikenali sebagai Tall Nabi Yunus, manakala jarak zaman ketiga-tiga pemerintah itu dengan masa kini dianggarkan kira-kira 2,700 tahun.

Sumber arkeologi, al-Quran

Dalam konteks Nabi Musa pula, Prof Naquib Al-Attas merujuk kepada penemuan dokumen dan monumen di Jericho, Palestin yang dilakukan oleh ekspedisi arkeologi Universiti Liverpool pada 1931 yang mendapati catatan mengenai bayi Musa diselamatkan oleh Puteri Hatshepsut, iaitu anak kepada Firaun Thutmose I di Sungai Nil pada 1527 SM.

Prof Naquib Al-Attas berkata, dakwaan itu bersamaan dengan wahyu al-Quran mengenai sirah Nabi Musa walaupun kitab suci berkenaan tidak menyebut nama firaun atau puterinya.

Penetapan anggaran tempoh zaman itu turut membabitkan Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh berdasarkan dengan sumber yang dinyatakan seperti yang dijelaskan dengan terperinci dalam buku yang diterbitkan IBFIM dan Akademi Kenegaraan itu.

Kesimpulannya, Prof Naquib Al-Attas menegaskan tempoh hayat umat manusia secara keseluruhan sejak Nabi Adam hingga masa kini ialah sekitar 7,000 hingga 8,000 tahun.

Tempoh itu mungkin dianggap pendek bagi pemikiran moden yang meyakini proses evolusi manusia berlangsung selama jutaan tahun tetapi sejarah peradaban seperti yang dicatat oleh Barat sendiri pun hanya bermula sekitar 6,000 tahun lalu di Mesopotamia seperti Sumeria, Babylon, Assyria dan Mesir.

Penetapan anggaran yang disifatkan melebihi kebarangkalian itu dapat digunakan oleh umat Islam sebagai antara hujah berdepan dengan kekeliruan yang ditimbulkan kesan daripada idea evolusi yang menjadi antara tiang seri pada sekularisasi Barat.


-------

Sumber asal:

Berita Harian Online
Disember 24, 2015 @ 12:04am

Previous
Next Post »