CERITA PROGRAM TEMUDUGA BESAR-BESARAN

Saya sudah lama tidak membuat penyiaran tentang politik. Namun, dalam kehangatan isu-isu sekitar kegagalan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janji-janji mereka serta terzahirnya bermacam bentuk kebodohan para pemimpin politik Pakatan Harapan, saya ingin berkongsi juga sedikit pendapat dan perkongsian cerita.

Beberapa minggu lepas, seorang Ahli Parlimen daripada parti PKR ada memuat naik sebuah video di laman sosial LinkedIn tentang perancangan dia untuk menganjurkan acara temuduga terbesar untuk membantu golongan belia di negara ini mendapatkan pekerjaan. Saya memberikan beberapa komen penting, tetapi mungkin kerana dia tidak mampu untuk menjawabnya dengan baik, maka dia telah menyekat (block) saya daripada akaun dia. Saya ingatkan mereka berfikiran terbuka dan berani menerima kritikan, rupanya tidak. Rupanya mereka ini pengecut juga. Saya ingin mengulangi segala kritikan dan komen saya tentang program mereka itu di sini.


Saya tekankan bahawa program yang mereka ingin anjurkan itu bukanlah satu program baru. Maka, tidak perlulah mereka mewar-warkan program itu seolah-olah program itu adalah satu idea yang segar daripada mereka - sekaligus menyembunyikan terus usaha yang telah dibuat sebelum ini. Sebelum ini, kita telah ada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Program SL1M adalah seperti apa yang mereka rancangkan itu - temuduga besar-besaran. Program SL1M telah berjalan selama beberapa tahun, dan dijalankan di merata tempat di seluruh negara. Maka, saya ingatkan kepada mereka, jika mereka benar-benar ikhlas ingin membantu rakyat, apa yang mereka patut lakukan adalah berkolaborasi dengan pasukan SL1M sebelum ini dan menambahbaik sahaja daripada apa yang telah dilakukan sebelum ini supaya sesuatu yang lebih baik untuk rakyat dapat dihasilkan. Jika mereka cuba menyembunyikan apa yang telah dilakukan sebelum ini, dan kemudian cuba untuk menampilkan diri sebagai adiwira dengan mewar-warkan program itu sebagai satu inisiatif yang kononnya baru daripada mereka, maka itu bermotif politik dan ada kepentingan peribadi di dalam pelaksanaannya.

Ahli Parlimen tersebut agak marah dengan komen saya dan cuba menegaskan: "SL1M has failed!"

Saya katakan, adalah satu bentuk pelampauan dan kesombongan untuk menyatakan dengan mudahnya bahawa program SL1M telah gagal. Tidak dinafikan, program SL1M tidak sempurna, dan tidak ada sesiapa pun yang mengaku bahawa program SL1M itu sempurna. Malah, tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh menganjurkan satu program yang sempurna sifatnya. Maka, untuk menyatakan bahawa program SL1M telah gagal adalah satu bentuk kebodohan dan kesombongan. Selama beberapa tahun program SL1M berjalan, beribu-ribu graduan telah mendapat pekerjaan hasil daripada program tersebut. Tanyalah kepada mereka, adakah bagi mereka SL1M telah gagal? Bagi mereka yang tidak mendapat pekerjaan pun, mereka telah mendapat pengalaman berharga menduduki temuduga dengan syarikat-syarikat besar.

Maka, langkah yang wajar dan patut diambil oleh Ahli Parlimen PKR tersebut adalah untuk berbincang dan bekerjasama dengan pasukan SL1M sebelum ini. There is no need to re-invent the wheel. Belajar daripada mereka. Belajar daripada segala kekurangan dan kelemahan mereka sebelum ini, perbaiki dan hasilkan satu program yang lebih baik daripada program sebelum ini. Barulah namanya "moving forward".

Benarlah, ada orang memiliki segulung ijazah tetapi tidak memiliki ilmu. Ada orang tidak memiliki segulung ijazah tetapi memiliki ilmu.

-----
Naim Zulkipli
Ampang, 10 Feb 2019
Previous
Next Post »