JADILAH PEROKOK YANG BIJAK


Keputusan kerajaan untuk menetapkan larangan merokok di semua premis makanan bermula tahun 2019, mungkin adalah keputusan dan tindakan yang terbaik yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan setakat ini. Saya bersama dengan majoriti penduduk Malaysia memberikan sokongan terhadap peraturan tersebut, dan berharap larangan tersebut akan diteruskan sampai bila-bila walaupun kerajaan bertukar tangan satu hari kelak.

Secara peribadi, saya tidak ada masalah langsung dengan perokok. Malah, sebagai seorang jurulatih, dalam program-program latihan yang saya anjurkan - sekiranya premis latihan yang berkenaan mempunyai kawasan khusus untuk merokok - saya benarkan para peserta (yang bukan pelajar sekolah) untuk merokok di kawasan yang berkenaan. Soal hukum, ada khilaf. Sebahagian besar ulama menyatakan haram, tetapi ada juga yang menghukumkan sebagai makruh. Maka, kita boleh berlapang dada dalam soal hukum merokok. Saya faham ramai perokok yang sebenarnya tahu bahawa merokok itu tidak baik, namun disebabkan sudah ketagih maka agak sukar untuk meninggalkannya.

Namun, saya mempunyai masalah dengan perokok yang bodoh. Siapakah perokok yang bodoh? Perokok yang bodoh ini adalah perokok yang beranggapan orang lain di sekelilingnya juga suka merokok. Perokok yang bodoh ini adalah perokok di premis-premis awam (seperti di kedai makan, sebelum 2019) yang menghembus asap rokok mereka sebanyak-banyaknya tanpa memikirkan orang sekeliling. Sikap tidak memikirkan orang lain sambil menyebarkan kemudaratan dan ketidakselesaan kepada orang lain ini adalah satu akhlak yang buruk, yang menggambarkan kebodohan pelakunya. Perokok bodoh seperti ini, memang patutlah jika disaman dan dipenjarakan. Jika anda ingin merokok, pergilah merokok di tempat yang mana asap rokok itu tidak akan mengganggu orang lain.

Jadilah perokok yang bijak. Lebih baik, berusaha untuk berhenti merokok terus.

Sehingga kini, rata-rata saya lihat di kedai-kedai makan orang yang merokok akan beredar dan merokok di luar kawasan kedai. Tahniah, dan terima kasih saya ucapkan kepada para perokok bijak seperti kalian.

Sebagai tambahan, saya ingin mencadangkan agar Kementerian Kesihatan dan kerajaan Pakatan Harapan mengambil satu langkah yang serius juga untuk membendung minuman keras (arak). Meminum arak ini jelas, tiada khilaf - hukumnya haram. Malah, tiada kebaikan langsung daripada amalan meminum arak (khususnya bagi seorang muslim). Sebagai permulaan, kerajaan boleh membuat peraturan untuk melarang jualan dan pengambilan arak di kedai-kedai makan yang terbuka, atau di mana-mana tempat terbuka. Orang yang mengambil arak di tempat terbuka ini sebenarnya mengganggu ketenteraman awam - maka adalah sangat wajar pengambilan arak di tempat-tempat yang terbuka dilarang dan dijadikan satu kesalahan jenayah.

Hal ini bukanlah sesuatu yang mustahil atau sukar untuk dilaksanakan, melainkan jika kerajaan memang tidak mahu melaksanakannya.

Wallahu'alam.

---
Naim Zulkipli
Previous
Next Post »