TIPS KEJURULATIHAN: ORANG BERJAYA




Salah satu kesalahan besar yang biasa dibuat oleh seorang jurulatih, pendidik, atau sesiapa pun adalah melabelkan seseorang yang telah menjadi kaya (menjadi jutawan, mendapat kerja bergaji besar, dan sebagainya) itu sebagai seorang yang telah "berjaya". Ini adalah satu kesalahan besar yang merosakkan pemikiran umat. Kenapa demikian?

Sebab paling penting, kerana baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam sendiri tidak hidup dalam kekayaan harta. Malah, Baginda sengaja memilih untuk menjalani hidup sebagai seorang yang tidak berharta - sehingga ada hari-hari di mana di rumah Baginda tidak ada sedikitpun makanan untuk dimakan. Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam adalah "contoh ikutan terbaik". Bermakna, apa sahaja yang Baginda lakukan dan Baginda pilih, itulah yang terbaik untuk manusia. Maka, hidup dalam keadaan tidak berharta adalah lebih baik daripada hidup dalam keadaan mempunyai harta yang banyak.

Apabila seseorang jurulatih atau pendidik itu mengambil contoh orang-orang yang telah mencapai kekayaan atau kedudukan (seperti jawatan besar dalam kerajaan) sebagai orang yang telah "berjaya", maka secara tidak langsung akan tertanam dalam minda para pelajarnya untuk mencari dan melihat kepada orang-orang kaya sebagai contoh "kejayaan" dalam hidup, sekaligus secara tidak langsung akan mula mengenepikan Baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam serta para sahabat Baginda dalam jiwa mereka kerana tidak ada contoh kekayaan dalam kehidupan Baginda. Sedangkan pada hakikatnya, Baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam adalah manusia yang paling berjaya di seluruh alam.

Sebab kedua, adalah kerana tujuan hidup manusia bukan untuk menjadi kaya. Kekayaan harta hanyalah alat yang perlu digunakan untuk mencapai matlamat. Bagaimana mungkin kita menyatakan seseorang itu telah berjaya sedangkan matlamatnya belum tercapai? Apakah seseorang yang kaya-raya tetapi mensyirikkan Allah itu seorang yang berjaya? Apakah seseorang yang kaya-raya tetapi mengumpulkan hartanya melalui jalan yang tidak diredhai Allah itu seorang yang berjaya? Tidak. Di dalam Islam, kita sudah ada matlamat hidup yang jelas. Islam adalah kebenaran, realiti. Fahaman-fahaman lain yang bukan satu kebenaran, membiarkan penganutnya terpinga-pinga mencari matlamat hidup dan dihiaskan aktiviti mencari matlamat hidup itu sebagai satu aktiviti yang mulia dan bertaraf tinggi. Umat Islam yang tidak punya pandangan alam Islam yang jelas juga mula terpengaruh dan beranggapan bahawa setiap individu manusia itu perlu mencari matlamat hidup mereka sendiri. Sedangkan, dalam Al-Qur'an sudah diberikan panduan hidup yang jelas untuk umat manusia; bahawa tujuan kita hidup adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah, dengan cara seperti yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

Maka, orang kaya yang lengkap pengabdiannya kepada Allah adalah orang yang berjaya. Orang miskin yang lengkap pengabdiannya kepada Allah adalah orang yang berjaya. Begitu pula sebaliknya.

-----
Naim Zulkipli
Untuk senarai program latihan yang kami tawarkan:
Previous
Next Post »