PIHAK BERKUASA PERLU AMBIL TINDAKAN TEGAS TERHADAP ERIC LIEW

Isu kebiadaban seorang pengguna Facebook yang bernama Eric Liew telah tular di Internet. Ramai yang telah menyatakan rasa marah dan tidak puas hati dengan kenyataan tersebut, dan ramai yang terus mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap Eric Liew. Walaupun saya berharap tidak ada dalam kalangan rakyat di negara ini yang mengambil peranan sebagai vigilante dan menghukum Eric Liew dengan sendiri, saya bersama dengan semua organisasi dan individu dalam menggesa supaya tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa terhadap Eric Liew. Kenyataan maaf daripada Eric Liew tidak mencukupi, dan janjian siasatan dan tindakan yang akan diambil oleh majikannya (Cisco) juga tidak mencukupi. Adalah naif dan tidak bijak sekiranya pihak berkuasa menganggap perkara yang disebutkan tadi sebagai respon yang mencukupi terhadap Eric.

Mengapa tindakan yang tegas perlu diambil terhadap Eric?

(1) Sebagai pengajaran yang jelas, bukan sahaja untuk Eric Liew, tetapi untuk seluruh masyarakat Malaysia. Sikap lalai dan biadab individu seperti Eric - yang jelas menampakkan hilangnya rasa hormat terhadap institusi sultan sebagai pemimpin tertinggi negara - adalah sikap yang semakin menjadi-jadi semenjak kebelakangan ini apabila ada perbuatan-perbuatan oleh individu tertentu yang menghina sultan tetapi tidak diambil tindakan. Ada yang berpendapat bahawa sikap biadab terhadap sultan ini semakin menjadi-jadi semenjak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pemerintahan negara. Maka, kerajaan PH mempunyai satu tanggungjawab yang besar untuk membuktikan kepada negara bahawa mereka masih boleh memelihara kedaulatan institusi sultan.

(2) Hukuman yang tegas (hukuman maksima) adalah penting untuk menunjukkan ketinggian dan kemuliaan institusi sultan. Dalam struktur sosio-politik negara ini, Sultan tidak sama taraf dengan rakyat. Justeru, hal-hal yang berkaitan dengan sultan tidak boleh diperlakukan dengan layanan yang sama seperti rakyat yang lain. Benar, sultan itu juga manusia dan sultan juga boleh membuat kesilapan yang banyak. Namun, itu tidak boleh sama sekali menjadi sebab untuk kita bersikap biadab dengan institusi sultan. Kedudukan institusi sultan perlu dipelihara demi memastikan keamanan yang dikecapi oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini terus dirasai. Menjatuhkan institusi sultan bermakna menghancurkan kestabilan dan keamanan.

(3) Sikap biadab terhadap Sultan, seperti yang dilakukan oleh Eric, jika tidak diambil tindakan tegas maka perbuatannya akan menjadi perbuatan yang melanggar KESEMUA lima Rukun Negara. Rukun Negara digubal sebagai prinsip penting bagi menyatupadukan masyarakat negara ini yang berbilang kaum; sekiranya dibiarkan Rukun Negara dilanggar sesuka hati, maka bukankah kita mengundang untuk kembali berlakunya pergaduhan antara kaum di negara ini?

(4) Sebagai pemimpin tertinggi, Sultan adalah simbol bahawa Malaysia adalah negara Islam. Bukan satu rahsia lagi, bahawa ada parti politik dalam kerajaan pemerintah pada hari ini yang konsisten dalam sikap biadab mereka untuk cuba menjadikan Malaysia sebagai negara sekular dan cuba menghilangkan semua keistimewaan dan hak-hak umat Melayu-Islam di negara ini. Sekiranya tindakan yang tegas tidak diambil terhadap mana-mana individu yang bersikap biadab terhadap institusi sultan, maka itu bermakna kedudukan sultan sebagai simbol agama Islam sudah direndahkan - sebagai gambaran usaha untuk menyamatarafkan agama Islam dengan agama-agama lain di negara ini. Ya, kedudukan agama Islam tidak sama taraf dengan agama lain di dalam negara ini kerana Islam adalah agama Persekutuan, agama lain bukan.

Sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap kebiadaban Eric Liew ini, maka ketahuilah sebahagian lagi daripada hak keistimewaan Melayu-Islam di negara ini telah diratah hancur.

Wallahu'alam.

-Naim Zulkipli

-----
Berita daripada Utusan Malaysia:

Tindakan tegas terhadap Eric Liew hina Agong

Khairulanuar Yahaya
07 Januari 2019 9:36 AM

Tangkap layar komen jelek yang dilakukan oleh Eric Liew dan kemudian tular di media sosial.
KUALA LUMPUR 7 Jan. - Pergerakan Pemuda UMNO mendesak pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar bertindak tegas kepada pemilik akaun Facebook bernama Eric Liew yang secara jelas menghina Sultan Muhammad V.

Komen yang dibuat Eric Liew di dalam Facebook terhadap Sultan Muhammad V berikutan peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bersifat menghina dan jahat.

Ketua pergerakan itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, jika di negara lain warganegara yang melemparkan komen menghina seperti yang dilakukan oleh Eric Liew akan menerima tindakan undang-undang.

"Pergerakan Pemuda UMNO mendesak agar pihak Polis DiRaja Malaysia agar segera bertindak kepada pemilik akaun Facebook yang bernama Eric Liew yang secara jelas menghina DYMM Sultan Muhammad V dalam ruangan komen di FB dengan mengaitkan perletakan jawatan Baginda dengan dakwaan Tuanku sibuk berzina.

"Ini suatu penghinaan dan fitnah jahat yang melampau terhadap Yang di-Pertuan Agong dan sultan. Kalau di negara lain termasuk negara jiran Thailand, orang seperti ini sudah lama menerima tindakan undang-undang yang keras," kata Dr. Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan hari ini.

Serentak itu, Dr. Asyraf Wajdi memohon semua pihak membuat laporan polis agar Eric Liew segera diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Komen individu yang menggunakan nama Eric Liew itu dibuat dalam satu hantaran di Facebook di berbunyi 'Too busy fornicating with his new bride' (Terlalu sibuk berzina dengan isteri baharunya).

Komen yang disifatkan sebagai menghina itu kemudiannya tular di media sosial dan mendapat kritikan hebat daripada warganet. -UTUSAN ONLINE
Previous
Next Post »