Nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu
wa ta’ala kepada kita adalah nikmat Iman dan nikmat menjadi umat Nabi Muhammad
sallallahu ‘alayhi wasallam. Walau bagaimana sekalipun tahap keimanan kita,
walau dilatari dengan pelbagai dosa dan kesalahan sekalipun, selagi masih kita
mengakui Allah itu Tuhan yang Maha Esa serta Nabi Muhammad itu adalah
pesuruh-Nya, maka kita masih berada dalam nikmat tersebut. Seringkali, nikmat
tersebut adalah nikmat yang kita lupa untuk syukuri.
Terlalu banyak kelebihan apabila kita menjadi umat
Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Sesiapa yang sering melazimi
majlis-majlis maulid Nabi atau kuliah-kuliah pengajian berkaitan baginda
Rasulullah pasti maklum akan hal ini. Salah satu kelebihan kita sebagai umat
Nabi Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam adalah kita diberikan peluang untuk
mendapat pahala yang berganda-ganda dengan amalan yang sedikit, atau dihapuskan
dosa yang menggunung dengan amalan yang kecil. Bunyinya begitu mudah, tetapi
hakikatnya masih ramai dalam kalangan umat Islam yang tidak mahu merebut
peluang yang diberikan ini.
Satu analogi mudah: apabila ada seseorang menghadiahkan
kepada kita seutas jam tangan mahal. Bagaimanakah caranya kita menzahirkan
tanda terima kasih kita kepada orang tersebut? Sudah tentu dengan kita menjaga
hadiah tersebut dengan baik dan memakai jam tangan tersebut khususnya di
hadapan si pemberi hadiah, dengan harapan supaya si pemberi hadiah berasa
gembira melihat kita memanfaatkan hadiah yang diberikannya. Apa agaknya
perasaan si pemberi hadiah sekiranya hadiah yang diberikannya kepada itu tidak
digunakan, malah dibuang pula? Ya, sudah tentu dia akan berkecil hati.
Begitulah cara kita bersyukur dengan nikmat yang
dikurniakan Allah Subhanahu wa ta’ala kepada kita. Seperti yang pernah saya
nukilkan di sini, cara kita menzahirkan kesyukuran kita atas kurniaan daripada
Allah adalah dengan kita memanfaatkan pemberian tersebut untuk kita semakin
hampir dengan-Nya. Salah satu cara yang boleh kita lakukan, sebagai umat Nabi
Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, mengikuti sunnah baginda juga yakni
dengan membanyakkan sedekah.
Kenapa sedekah? Kerana sedekah ini adalah antara
amalan yang setelah kita lakukan sekali, pahala ganjarannya boleh berkembang-biak
walaupun setelah kita meninggal dunia. Di dalam sebuah hadith riwayat Bukhari
dan Muslim baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam memberikan
perumpamaan bagaimana sedekah sebiji tamar, ganjarannya disuburkan oleh Allah
sehingga sebesar bukit! Itu baru sebiji tamar, bayangkan jika lebih daripada
itu. Selain daripada itu, terdapat banyak hadith yang menyatakan kelebihan-kelebihan
lain bersedekah yakni memurahkan rezeki, menghapuskan segala dosa-dosa dan menjauhkan
kita daripada api neraka.
Sebagai orang yang banyak dosa (tidak ada di antara
kita yang tidak ada dosa), sedekah adalah antara amalan yang boleh membantu
untuk menghapuskan dosa-dosa yang telah kita lakukan tersebut.
Saya ingin memberikan jemputan yang sangat menarik.
Saya ingin menjemput kalian untuk bersedekah untuk
institusi pendidikan Islam. Kenapa bersedekah kepada institusi pendidikan
Islam? Kerana potensi untuk pahala tersebut berkembang-biak dengan sangat besar
dan tanpa henti. Bagaimana? Bayangkan, jika kita bersedekah sebuah meja untuk institusi
pendidikan tersebut. Setiap kali meja tersebut digunakan oleh para pelajar
untuk belajar ilmu, atau membaca Al-Quran, atau menghafal hadith, maka
pahalanya mengalir kepada kita yang menjadi asbab yang membolehkan mereka
belajar. Meja tersebut mungkin digunakan setiap hari, selama bertahun-tahun.
Selama itu jugalah pahalanya terus mengalir kepada kita.
Ingatlah, duit yang berada pada kita belum tentu
milik kita. Malah, hampir pasti bukan milik kita. Duit tersebut mungkin milik
peniaga buah di tepi jalan, mungkin milik peniaga kedai makan, dan mungkin juga
duit itu hilang atau dicuri. Namun, apabila duit tersebut disedekahkan ke jalan
Allah, maka pahalnya sudah pasti milik kita.
Saya ingin menjemput kalian untuk memberikan sedekah
kepada sebuah sekolah tinggi Islam yang sangat tersohor dan sangat besar
peranannya dalam melahirkan begitu ramai ahli ilmu, yakni Sekolah Tinggi Islam
As-Sofa di Rembau, Negeri Sembilan yang merupakan sekolah di bawah Yayasan Sofa
Negeri Sembilan. Pada 20 Mei 2018, blok asrama sekolah tersebut telah terbakar.
Syukur, kesemua 85 orang pelajar yang menghuni asrama tersebut selamat.
Maka, Yayasan Sofa Negeri Sembilan kini dalam proses
untuk membina semula blok asrama tersebut bagi menempatkan para pelajar
tersebut dan telah melancarkan kempen kutipan dana untuk tujuan tersebut. Untuk
makluman semua, Sekolah Tinggi Islam As-Sofa ini adalah merupakan sebuah
sekolah agama yang sangat berprestij di rantau Asia Tenggara dan telah mendapat
pengiktirafan 5 bintang daripada Kementerian Pendidikan. Para pelajar di
sekolah ini mengkhatamkan Al-Quran setiap bulan, dan seringkali mendapat
kunjungan daripada para ulama dari seluruh dunia Islam.
Bagi sesiapa yang berkemampuan, saya menjemput kalian
untuk bersama-sama menyumbang dana bagi membantu pembinaan semula bangunan
asrama sekolah tersebut. Sumbanglah sebanyak mana yang kita mampu. Sebiji tamar
boleh menjadi sebesar gunung, dan saya yakin sumbangan kita pasti lebih besar
nilainya daripada sebiji tamar.
Sesiapa yang ingin menyumbang, boleh salurkan terus
sumbangan kalian kepada pihak Yayasan Sofa Negeri Sembilan melalui akaun:
CIMB Islamic : 8601 8818 73
Maybank Islamic : 5626 7421 0071
Pihak Yayasan Sofa Negeri Sembilan juga boleh
mengeluarkan resit untuk tujuan potongan cukai bagi sumbangan yang diberikan.
Boleh hubungi pegawai mereka untuk tujuan tersebut:
Ustaz Abdullah – 019 9040 669
Mohd Shahrin – 018 2870 866
Semoga dengan sumbangan kita akan dapat membantu para
penuntu ilmu tersebut untuk meneruskan aktiviti pengajian mereka dengan selesa,
dan dalam masa yang sama menjadi asbab terampunnya segala dosa kita,
terhalangnya bala daripada kita, dan menjauhkan kita daripada neraka serta
mendekatkan kita dengan syurga.
Terima kasih.