Erti Syukur


Kuliah Dr. Mohd. Farid Shahran adalah makanan jiwa yang sangat penting. Pengisian yang disampaikannya, walaupun dengan nada biasa tanpa banyak lenggang-lenggok pidato, pasti mampu memuaskan tuntutan setiap diri yang mendambakan ilmu. Kuliah Zuhur pada 17 September 2007 yang disampaikannya telah menghuraikan konsep Syukur dengan amat baik. Huraian seperti inilah, mungkin, yang sangat perlu didengari dan difahami oleh segenap lapisan masyarakat agar kalimah ‘syukur’ yang sering kita dengari dapat ditanggapi dengan maksud dan tuntutannya yang hakiki.

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.’” (Surah Ibrahim, ayat ke-7)“Dan sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mempunyai kurnia yang besar (yang diberikan-Nya) kepada manusia, tetapi kebanyakan mereka tidak mensyukuri(nya).” (Surah An-Naml, ayat ke-73)

Apabila membicarakan bab syukur, pastinya kita akan terkenang untaian agung sepotong ayat suci Al-Qur’an yang lebih kurang maksudnya:
Ayat tersebut memberikan satu mesej yang cukup jelas, yakni apabila kita bersyukur dengan pemberian Allah pastinya Allah akan menambahkan lagi kenikmatan kepada kita, lalu berbahagialah hidup kita. Namun, seandainya kita mengkufuri nikmat Allah yakni dengan cara tidak mensyukurinya atau menyalahgunakannya, maka pastinya kita akan mendapat pembalasan yang berat dan pedih daripada Allah. Mungkin sahaja pada hari ini kita melihat ramai orang yang mengucapkan lafaz syukur tetapi kehidupannya masih juga tidak bahagia, rezeki datang dan pergi. Ada juga orang yang mengucapkan lafaz syukur, hidup mewah dengan harta, tetapi masih tidak berakhlak dengan perilaku dan sifat sebenar seorang Muslim. Akhirnya, ia juga akan mendapat balasan daripada Allah.

Atas sebab itu, konsep syukur yang sebenarnya harus kita fahami dengan jelas. Imam Ghazali, menerusi karya tersohornya – Ihya Ulumuddin – menyatakan bahawa syukur itu harus ada tiga elemen. Elemen pertama adalah ilmu, elemen kedua adalah perasaan dan elemen ketiga adalah amal.

Untuk seseorang itu benar-benar bersyukur, perkara pertama yang perlu ada adalah ilmu. Ilmu yang perlu ada itu terbahagi pula kepada tiga. Pertamanya, seseorang itu perlu ada ilmu tentang nikmat itu sendiri. Hakikat tentang nikmat itu perlu diketahui. Ilmu tentang nikmat ini akan membolehkan seseorang untuk memahami nilai nikmat tersebut dan seterusnya menghargai nikmat itu.

Seterusnya, seseorang itu perlu ada ilmu tentang siapa yang memberi nikmat. Dalam soal ini, pastinya Yang Maha Memberi Rezeki, Yang Maha Pemurah, adalah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Seseorang itu perlu mempunyai ilmu Tauhid yang kukuh. Dengan mengenali Allah, seseorang itu akan memahami bahawa setiap sesuatu itu datangnya daripada Allah, dan adalah merupakan hak milik Allah semata-mata. Setiap satu kejadian itu adalah datangnya daripada Allah. Justeru, setiap nikmat dan rezeki itu datangnya daripada Allah, walaupun mungkin sahaja nikmat itu disampaikan melalui perantaraan makhluk-Nya.

Ketiga, seseorang itu perlu ada ilmu tentang siapa yang mendapat nikmat tersebut. Dalam konteks ini, yang menerima nikmat adalah diri kita sendiri sebagai hamba Allah. Memahami hakikat bahawa kita ini adalah hamba dan makhluk Allah, kita pasti akan merasa hina dan sangat rendah di hadapan Allah.

Elemen yang kedua untuk bersyukur pula adalah perasaan. Apabila menerima sesuatu nikmat itu, seseorang itu haruslah mempunyai perasaan seronok, perasaan berbahagia. Bagaimana mungkin seseorang itu hendak bersyukur seandainya ia tidak mengalami apa-apa rasa apabila menerima sesuatu nikmat itu? Perlu difahami juga bahawa perasaan seronok dan gembira ini bukan berpusat kepada seronok atas nikmat yang diperolehi, tetapi lebih kepada perasaan seronok dan gembira kerana mendapat satu nikmat daripada Tuhan Yang Maha Agung! Perasaan ini hanya mungkin timbul apabila ilmu tentang tiga perkara yang disebutkan tadi telah dimiliki.

Yang terakhir, elemen ketiga dalam bersyukur pula adalah amal, yakni perbuatan. Setelah seseorang itu mempunyai ilmu dan kefahaman tentang perkara yang disebutkan tadi, seterusnya mengalami perasaan seronok, gembira dan berterima kasih itu, syukur tersebut perlulah dimanifestasikan melalui perbuatan. Dalam hal ini, seseorang itu perlulah menggunakan nikmat yang telah diperolehinya itu untuk mendekatkan dirinya dengan Allah, yakni zat yang telah memberikan nikmat tersebut.

Bagi memahami adunan elemen-elemen dalam syukur ini, Imam Ghazali telah turut memberikan satu analogi. Bagaimanapun, analogi yang diceritakan seterusnya ini telah digubah agar sesuai dengan pemahaman masyarakat masa kini.

Analogi rasa syukur itu begini; bayangkan kita sebagai rakyat Malaysia, tiba-tiba mendapat hadiah sebuah kereta BMW daripada Perdana Menteri Malaysia. Sekarang perhatikan, seseorang yang mendapat hadiah tersebut pastinya tidak akan dapat berterima kasih dan bersyukur kepada Perdana Menteri itu seandainya ia tidak mengetahui nilai BMW. Seandainya seseorang itu tidak mengetahui bahawa BMW itu adalah sebuah kereta yang mahal dan ternama, pastinya ia tidak akan menganggap pemberian itu sebagai sesuatu yang sangat istimewa. Kemudian, pastinya seseorang itu juga tidak akan dapat berterima kasih dengan sehebatnya seandainya ia tidak mengenali bahawa yang memberikan kereta itu adalah Perdana Menteri Malaysia. Ia juga mungkin tidak mampu untuk berterima kasih seandainya ia tidak mengenali dan menyedari bahawa dirinya cuma seorang rakyat biasa yang berdepan dengan pemimpin nombor satu negara. Namun, apabila ia menyedari ketiga-tiga perkara tersebut, maka pastinya ia akan mempunyai perasaan yang sangat-sangat gembira. Ia pasti akan memuji-muji Perdana Menteri itu. Seterusnya, ia pasti akan menggunakan kereta yang telah diberikan itu dengan sebaiknya untuk terus mendekati Perdana Menteri, mengucapkan terima kasih kepadanya dan memuji-mujinya. Ia pasti tidak akan menggunakan kereta itu untuk perkara yang dilarang oleh Perdana Menteri. Begitulah analogi rasa syukur yang sebenar.

Maka, tidak hairanlah pada hari ini jika ramai di antara kita yang hanya sekadar melafazkan syukur di bibir, tetapi tidak bersyukur dengan sebenar-benarnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala yang lebih kurang maksudnya:

Justeru, kesempatan berada di bulan Ramadhan ini harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Manifestasikan rasa syukur kerana dapat menjalani ibadah di bulan Ramadhan dengan menghidupkan bulan ini dengan pesta ibadah. Seterusnya, manfaatkan bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya untuk melatih nafsu. Setiap nikmat, rezeki, kegembiraan, kebahagiaan dan kesenangan yang diperolehi haruslah dihargai dan disyukuri dengan hakikat kesyukuran yang sebenarnya!

Maaf atas segala kesilapan.
Abdul Muntaqim Bin Zulkipli
18 September 2007 / 7 Ramadhan 1428H
Gombak, 1.58 p.m.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
amrulazmi
admin
8:28 am ×

assalaamua'laikum, sheikh. saya mohon nak gunakan link entry 'erti syukur' ni di Facebook saya. keadaan sangat memerlukan.

sekian, terima kasih.

Congrats bro amrulazmi you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar