Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang; Maha Suci Allah yang Empunya ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam; juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat yang terpimpin.
Hari ini saya membaca di laman akhbar alternatif Malaysiakini.com, sebuah laporan bertajuk “BN masih gagal tangani isu agama, kata Anwar”. Ya, saya bersetuju bahawa sehingga ke hari ini kerajaan pimpinan Barisan Nasional masih tidak mampu mengambil apa-apa sikap dan tindakan tegas dalam isu-isu agama yang bangkit akhir-akhir ini, khususnya dalam isu Bible dan kalimah Allah. Namun, dalam masa yang sama, saya merasakan DSAI bukanlah orang yang layak untuk mengkritik kerajaan tentang isu tersebut kerana di pihak Pakatan Rakyat (khususnya DSAI) pun masih gagal untuk mengambil sikap yang tepat tentang isu itu.
Saya cukup marah dan kecewa dengan ucapan DSAI ketika berkempen di Sarawak, sepertimana yang dilaporkan di dalam laman akhbar Malaysiakini. Saya petik:
“Nabi orang Islam Nabi Muhammad, bapa Muhammad namanya Abdullah, nama Abdullah itu sebelum Islam, sebab Nabi belum ada nama sudah ada Abdullah, maknanya hamba Allah, 60-70 tahun sebelum Islam, jadi macam mana kita boleh kata orang Kristian tidak boleh pakai nama Allah, dia (BN) tak pakai otak sebab dia tak faham sejarah,” kata Anwar.
Para ulama’ tanah air telah bersepakat bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam. Ucapan DSAI yang penuh ego dan bongkak itu ternyata menguatkan lagi apa yang telah saya tegaskan sebelum ini – bahawa DSAI tidak layak untuk bercakap bagi pihak Islam! Menjadi masalah bila orang seperti DSAI bercakap kerana ramai orang memandang tinggi kepada DSAI – termasuklah aktivis-aktivis pertubuhan dakwah yang “kononnya” ‘berbudaya ilmu’; akhirnya ramai orang akan terpengaruh dengan ucapan-ucapan DSAI yang jauh menyimpang daripada kebenaran.
Kemudiannya, ucapan DSAI itu – apabila menjadikan contoh nama ayahanda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam – sebagai hujah membolehkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, menunjukkan bahawa pemahaman ataupun i’tiqad DSAI adalah ayahanda Rasulullah bukan Islam! Sedangkan isu ini pernah bangkit sebelum ini telahpun dibahaskan, bahawa hakikatnya ibubapa Rasulullah adalah Islam! Sebagai seorang pemimpin beragama Islam, DSAI seharusnya lebih peka akan isu ini. Baca di sini!.
Inilah masalah besar umat Islam – umat Islam sudah tidak tahu mengutamakan yang utama, serta meletakkan diri dan kedudukan pada tempat yang betul. Nilaian keutamaan pada sisi Islam hanyalah pada iman dan ilmu, bukan pada kedudukan dalam parti politik, bukan pada kepetahan dan kelancaran berbicara, bukan pada hebatnya memetik kata-kata daripada ribuan jenis buku. Para pemimpin politik seharusnya lebih banyak merujuk kepada para ‘ulama – dengan adab. Pergilah berjumpa para ‘ulama, tundukkan diri di hadapan mereka!
Kepada semua rakan, teman dan kenalan, berhati-hatilah dalam menerima ucapan pemimpin-pemimpin politik yang kita kagumi. Dekatilah para ‘ulama supaya kita tahu membezakan antara intan dan permata, antara hak dan batil.
Allah jua Yang Maha Mengetahui!
1 comments:
Click here for commentstu lah dia.....