IKTIBAR DARIPADA PERISTIWA FATHUL MAKKAH



Beberapa hari yang lepas kita baru sahaja selesai meraikan peringatan peristiwa Fathul Makkah. Peristiwa Fathul Makkah adalah satu sejarah yang gemilang untuk umat Islam, di mana pada peristiwa itu baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam memimpin tentera Muslim masuk ke Makkah dan membebaskan kota Makkah yang suci itu daripada kekuasaan kaum kafir Quraisy lantas menjadi kota suci umat Islam sehingga ke hari ini.

Peristiwa Fathul Makkah bertitik tolak daripada pelanggaran kaum kafir Quraisy terhadap Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian Hudaibiyah dimeterai setelah kaum kafir Quraisy menghalang rombongan umat Islam yang datang daripada Madinah untuk menunaikan haji daripada memasuki kota Makkah. Dengan kecerdikan baginda yang luarbiasa, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersetuju untuk berdiplomasi dengan kaum kafir Quraisy, lantas ditandatanganilah Perjanjian Hudaibiyyah. Baginda bersetuju bahawa umat Islam tidak boleh masuk ke Makkah pada tahun itu, dan hanya boleh masuk untuk menunaikan haji pada tahun berikutnya. Selain daripada itu, antara isi kandungan perjanjian Hudaibiyah itu juga adalah setiap kabilah bebas untuk memilih sama ada ingin bersekutu dengan kafir Quraisy atau bersekutu dengan umat Islam Madinah. Juga, melalui perjanjian itu juga kedua-dua pihak bersetuju untuk melakukan gencatan senjata selama 10 tahun.

Satu kabilah yang dikenali sebagai Bani Khuza’ah telah memilih untuk bersekutu dengan umat Islam Madinah. Baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam menerima mereka sebagai pendokong umat Islam, tetapi tidak pernah memaksa mereka untuk menganuti Islam. Dalam masa gencatan senjata tersebut, satu kabilah yang dikenali sebagai Bani Bakr yang merupakan sekutu kafir Quraisy telah melanggar perjanjian tersebut dengan membuat serangan bersenjata terhadap Bani Khuza’ah. Akibat daripada serangan tersebut, Bani Khuza’ah telah pergi kepada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam untuk memohon pertolongan dan perlindungan. Hal itulah yang mengakibatkan baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam mengumpul tentera Muslim seramai 10,000 orang lantas mereka bergerak ke Kota Makkah untuk membantu Bani Khuza’ah.

Kemaraan pasukan tentera Islam yang begitu ramai dan begitu kuat tersebut telah menyebabkan kafir Quraisy menyerah kalah dan pasukan Muslim berjaya memasuki Kota Makkah tanpa sebarang rintangan. Mereka memusnahkan berhala-berhala di sekitar Kaabah. Lantas, bebaslah kota Makkah daripada cengkaman kuffar dan kembali semula kepada umat Islam.

Antara pengajaran penting yang boleh kita ambil iktibar daripada peristiwa Fathul Makkah ini adalah, umat Islam sentiasa mengutamakan diplomasi daripada konfrontasi. Namun, apabila diplomasi yang ditawarkan itu dikhianati, maka umat Islam wajib menunjukkan solidariti dan kemuliaan umat ini dengan menentang pihak yang mengkhianati diplomasi tersebut. Kemudian, kita tidak dapat menafikan bahawa antara tanggungjawab pemerintahan Islam adalah untuk memelihara dan menjaga kebajikan semua pihak, termasuk mereka yang bukan beragama Islam. Seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam dalam peristiwa Fathul Makkah, bagaimana Bani Khuza’ah yang kafir itu dipertahan dan dituntut bela oleh 10,000 tentera Islam. Namun, pembelaan tersebut hanya selayaknya diberikan kepada orang kafir yang tunduk dan patuh di bawah pentadbiran Islam. Bagi orang kafir yang memerangi hak dan kepentingan umat Islam, wajiblah mereka itu ditentang.

Dalam konteks sosio-politik negara kita pada hari ini, implementasinya agak jelas. Malaysia adalah negara Islam, ini hakikat yang termeterai jelas dalam Perlembagaan Negara dan juga melalui fakta-fakta sejarah. Hal tersebut tidaklah menghalang orang yang bukan Islam daripada menduduki negara ini dengan aman dan mengamalkan kepercayaan mereka masing-masing. Namun, perkara yang sangat penting untuk ditekankan adalah apabila ada kelompok daripada kalangan orang bukan Islam yang mula mencabar dan mengganggu-gugat kedudukan istimewa Islam dan kaum Melayu di negara ini, maka kelompok tersebut adalah musuh bagi umat Islam dan wajib ditentang serta perlu diambil tindakan sesuai mengikut peruntukan-peruntukan yang sememangnya sedia ada di dalam undang-undang negara.

Menjadi kewajipan bagi seluruh pemimpin politik Muslim di negara ini untuk menjaga dan mempertahankan status quo umat Islam di negara ini. Wajib.
Previous
Next Post »