TOLAK FAHAMAN WAHABI

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala di atas limpahan Rahmat-Nya. Maha Suci Allah yang memiliki ‘Arasy yang agung. Maha Suci Allah daripada menyerupai segala sesuatu. Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam; seterusnya kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Semenjak akhir-akhir ini isu sekitar fahaman Wahabi semakin hangat diperkatakan dan dibincangkan. Berlaku penentangan yang hebat di kalangan umat Islam yang diketuai dan dipimpin oleh para ‘ulama (baca: para ‘ulama ‘aamilin, bukan para “ulama” parti-parti politik) terhadap aliran fahaman Wahabi ini. Biarpun individu-individu yang dikatakan berpegang kepada fahaman itu tidak ada yang mengaku – mungkin kerana enggan mengakui, atau mungkin juga kerana mereka sendiri sememangnya tidak menyedari apakah sebenarnya aliran yang mereka dokongi itu – tetapi sebaliknya mereka mengatakan mendokongi aliran pemikiran “kaum muda”, “Muslim progresif” dan sebagainya, hakikatnya adalah aliran pemikiran yang mereka dokongi itu adalah aliran pemikiran yang selari dengan fahaman Wahabi.

Penentangan yang hebat dibuat ke atas aliran fahaman Wahabi (dan yang sealiran dengannya) ini adalah kerana fahaman ini menyalahi ‘aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dan berpotensi untuk mengkucar-kacirkan keadaan umat Islam dengan mengambil sikap konfrontasional terhadap amalan majoriti umat Islam sepertimana yang telah diajar dan disusun oleh para ‘ulama tradisional. Ada segelintir di kalangan umat Islam pada hari ini yang merasa terhimbau dengan fahaman Wahabi ini yang dilihat sebagai sesuatu yang aliran yang ‘menyegarkan’ dan ‘membetulkan’ kembali kehidupan beragama. Namun, harus difahami bahawa sebenarnya aliran Wahabi (dan yang sealiran dengannya) ini adalah merupakan aliran yang melampau dan ekstrim. Aliran ini melampau dalam ‘aqidah, yang seterusnya membawa kepada sikap melampau mereka terhadap para ‘ulama.

Dalam hal ‘aqidah, aliran Wahabi adalah aliran yang mendokongi dan berpegang kepada konsep pembahagian tauhid kepada tiga elemen yakni tauhid rububiyyah, tauhid uluhiyyah dan asma’ wa sifat. Hal ini agak menghairankan kerana bagi sebuah aliran yang mengatakan mereka berpegang teguh kepada Al-Qur’an dan As-Sunnah serta mengikut manhaj golongan salaf, mengapakah mereka masih berpegang kepada konsep pembahagian tauhid kepada tiga itu sedangkan konsep tersebut tidak ditemui dalam fahaman dan pegangan para salafussoleh dan para ‘ulama muktabar yang terdahulu. Tidak perlu untuk kita bincangkan di sini tentang konsep pembahagian tauhid kepada tiga tersebut kerana sudah banyak ‘ulama muktabar yang menerangkan kepada kita tentang kesalahan konsep tersebut. Tambahan, di dalam masyarakat kita sebenarnya sudah berakar ajaran Sifat 20 sebagai satu kaedah yang memudahkan umat untuk berpegang kepada ‘aqidah yang benar.

Kecelaruan dalam hal ‘aqidah ini menyebabkan mereka yang berfahaman Wahabi ini cenderung untuk mentafsir Al-Qur’an mengikut pandangan mereka, biarpun pada hakikatnya ramai di kalangan mereka yang tidak berkelayakan untuk mentafsir Al-Qur’an. Tambahan, dengan sikap keangkuhan mereka, khususnya dengan menolak para ‘ulama yang beraliran tradisional, menyebabkan mereka kehilangan adab lantas menjerumuskan diri mereka ke dalam lembah kesesatan. Mungkin ada yang beranggapan bahawa fahaman Wahabi ini tidak sesat, cuma tidak sesuai diamalkan di negara ini. Namun, biarpun mungkin ada segelintir kecil mereka yang berfahaman yang sealiran dengan fahaman Wahabi tidak kelihatan seperti membawa apa-apa ajaran sesat, secara umumnya ‘aqidah yang dipegang oleh mereka yang berfahaman Wahabi adalah ‘aqidah yang ditolak oleh para ‘ulama Ahli Sunnah wal Jamaah berdasarkan kepada nas-nas yang kukuh daripada Al-Qur’an dan Al-Hadith.

Antaranya, aliran Wahabi ini berpegang kepada ‘aqidah musyabbih (menyerupai makhluk dari sudut zat) dan mujassim (mempunyai jisim – seperti anggota tubuh). Hal ini demikian kerana mereka menolak takwil (mengalihkan maksud zahir sesuatu ayat kepada maksud yang tersirat) bagi penafsiran ayat-ayat Al-Qur’an. Antara buktinya telah saya muatkan di dalam penulisan terdahulu bertajuk “Terjemahan Al-Qur’an Yang Bahaya”. Fahaman musyabbihah yang menyamakan Allah Subhanahu wa ta’ala dengan makhluk dari sudut zat dan faham mujassimah yang menyatakan bahawa Allah itu berjisim, seperti mempunyai anggota tubuh, adalah merupakan ‘aqidah yang sesat. Maksud bagi istilah “kufur” adalah apabila seseorang itu menasabkan kepada Allah perkara yang tidak layak bagi-Nya. Menyamakan atau memberikan bagi Allah dengan sesuatu yang boleh kita fikirkan dengan akal fikiran kita adalah sesuatu yang tidak layak bagi Allah.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Al-Qur’an yang kira-kira maksudnya: “Dan tiada sesiapapun yang serupa dengan-Nya.” (Surah Al-Ikhlas, ayat ke-4)

Juga, firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Al-Qur’an yang lebih kurang maksudnya: “Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat, sifat-sifat dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.” (Surah As-Syuura, ayat ke-11)

Oleh sebab itulah, pembelajaran ‘aqidah melalui konsep Sifat 20 adalah antara kaedah terbaik untuk kita memahami dan seterusnya beri’tiqad dengan ‘aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah yang benar. Mereka yang beraliran Wahabi ini seringkali akan menyatakan sesuatu yang tidak layak bagi Allah seperti mengatakan Allah itu berjisim, Allah itu di atas, di bawah, Allah itu turun ke bawah dan sebagainya dek kerana rapuhnya kefahaman ‘aqidah mereka.

Seterusnya, fahaman Wahabi ini juga perlu ditolak kerana mereka adalah golongan yang ekstrim. Mereka ini ekstrim dalam erti kata mereka begitu mudah untuk ‘mengkafirkan’ dan ‘menyesatkan’ umat Islam dengan menyerang amalan-amalan yang mereka labelkan sebagai amalan “bid’ah” yang menyesatkan, yang pada akhirnya akan menyebabkan seseorang itu dihumbankan ke dalam api neraka. Persoalan tentang bid’ah ini juga telah lama dijelaskan dan dijawab oleh para ‘ulama, tetapi sekali lagi dek kerana keangkuhan dan kesombongan puak ini maka mereka menolak apa yang telah disepakati oleh majoriti ‘ulama. Akibatnya, mereka dengan mudahnya mengkafirkan orang yang beramal dengan amalan yang mereka tidak setujui. Di negara kita, keadaannya mungkin belum sampai ke tahap ekstrim; tetapi seandainya dibiarkan, tidak mustahil apa yang pernah berlaku di Mekah akan berlaku di tempat-tempat lain.

Seorang ‘ulama hebat dunia Islam, Syeikh Ahmad Zaini bin Dahlan yang merupakan Mufti Mazhab Syafi’e di Mekah, menyebut di dalam bukunya bertajuk “Umaraa-ul Baladil Haram” yang bermaksud: “Sesungguhnya golongan Al-Wahhabiyyah apabila memasuki Taif, mereka telah melakukan jenayah pembunuhan secara menyeluruh, dan mereka menguasai orang dewasa dan kanak-kanak, rakyat dan juga pemimpin, membunuh golongan syarif (ahlul bait) dan juga kanak-kanak kecil yang masih lagi di dalam susuan ibunya, tatkala itu mereka menyembelih hidup-hidup kanak-kanak kecil yang masih menyusu di pangkuan ibu mereka, mereka membunuh umat Islam di rumah-rumah dan di kedai-kedai kecil. Apabila mereka mendapati ada satu jemaah umat Islam mengadakan pengajian Al-Quran, lalu bersegera mereka membunuh jemaah tersebut sehingga tiada lagi yang tinggal di kalangan mereka. Kemudian mereka keluar ke masjid-masjid, mereka membunuh seorang lelaki yang sedang rukuk atau sujud dalam solat, dan mereka melakukan rampasan wang-wang dan harta benda, kemudian mereka memijak-mijak mashhaf dengan kaki-kaki mereka, manakala naskhah kitab-kitab Imam Bukhary dan Muslim dan kitab-kitab yang lain dalam bidang hadits, fiqh dan nahu selepas mereka tebarkan di jalanan dan di kawasan-kawasan tanah rendah. Mereka mengambil harta benda orang muslimin, lalu mereka membahagikannya di antara mereka sebagaimana dibahagikan harta rampasan perang (ghanimah) hasil peperangan dengan golongan kuffar.

Nah, apakah lagi alasan untuk kita berkompromi dengan mereka yang mendokongi aliran Wahabi ini? Apa yang telah berlaku di Mekah dan Madinah adalah manifestasi ekstrim daripada aliran fahaman Wahabi. Sudah tentu kita tidak mengharapkan perkara yang sama berlaku di negara kita, dan oleh sebab itulah mengapa aliran fahaman Wahabi ini kita tentang. Tanda-tanda menularnya fahaman Wahabi ini sudah banyak. Seorang ‘ulama tersohor daripada Indonesia, K.H. Sirajuddin Abbas menulis di dalam bukunya “40 Soal-Jawab Agama” dengan menyatakan bahawa antara pegangan-pegangan penting fahaman Wahabi adalah seperti berikut:

  • Dalam mempelajari ilmu Usuludin hendaklah berpegang kepada fahaman yang diasaskan oleh Ibnu Taimiyyah.
  • Di dalam amalan fiqh pula tidak berpegang kepada mana-mana mazhab malah boleh menampal antara satu sama lain (Talfiq).
  • Berpegang kepada sumber al-Quran dan hadis sahih sahaja tanpa berpegang kepada Ijmak dan Qias.
  • Melarang keras umat Islam berdoa melalui tawassul (perantaraan).
  • Melarang ziarah kubur walaupun maqam Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kerajaan Arab Saudi membenarkan Jemaah Haji dan Umrah menziarah Maqam Rasulullah itu adalah atas dasar menziarahi Masjid Nabawi.
  • Menghancurkan tugu-tugu peringatan kerana semua itu menjadikan umat Islam syirik.
  • Melarang membaca qasidah dan berzanji yang memuji Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, tahlil dan seumpamanya.
  • Melarang umat Islam mengadakan sambutan hari-hari kebesaran Islam seperti Maulid Nabi, Isra’ Mikraj dan lain-lain.
  • Melarang umat Islam belajar Sifat 20 dan seumpamanya.
  • Fahaman Asha’ari iaitu fahaman Ahli Sunnah wal Jamaah dibuang jauh-jauh.
  • Imam dilarang membaca Bismillah pada permulaan Fatihah.
  • Tidak boleh membaca wirid-wirid yang memuji Rasulullah.
  • Tidak boleh melagu-lagukan lafaz al-Quran dan laungan azan tetapi boleh baca dengan lurus sahaja.
  • Mengadakan majlis zikir secara berjemaah dilarang.
  • Amalan tariqah dilarang sama sekali.
  • Amalan berwirid selepas solat berjemaah dilarang keras.

Kesemua penentangan mereka yang beraliran Wahabi terhadap amalan-amalan seperti yang disebut di atas telah dijelaskan dan diterangkan oleh para ‘ulama dengan nas dan dalil-dalil yang kukuh, yang sudah tentu tidak sempat untuk saya muatkan di sini. Apa yang penting, hendaklah kita mencari guru yang ‘alim dan murabbi yang akan mendidik dan membimbing kita ke jalan kebenaran. Antara punca kesesatan golongan Wahabi adalah kerana mereka menolak kemuliaan dan kepentingan berguru (secara tradisi) – dek kerana sombongnya mereka merasakan mereka boleh memahami ilmu-ilmu agama dengan pemikiran mereka sendiri. Oleh sebab itulah mereka yang beraliran Wahabi ini seringkali tidak dapat menamakan siapakah guru mereka, atau siapakah guru kepada guru mereka. Sedangkan bagi para ‘ulama yang benar-benar berpegang kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, maka kita akan mendapati mereka akan mempunyai guru-guru yang begitu banyak, dan mereka mempunyai rantaian guru-guru yang bersambung sehinggalah kepada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Ayuh, kita pertahankan manhaj murni Ahli Sunnah wal Jamaah!

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »