SYAIKHUL AZHAR HARAMKAN PURDAH?

Suatu isu kecil timbul baru-baru ini, apabila beberapa akhbar tempatan melaporkan bahawa Syeikhul Azhar Mohammed Sayyed Tantawi merancang untuk mengharamkan pemakaian purdah bagi para pelajar wanita di Universiti Al-Azhar atas alasan keselamatan. Pelbagai respon kedengaran. Ada yang agak terkejut dengan berita tersebut, dan melihatnya sebagai satu usaha untuk menyebarluaskan agenda Barat dan ‘merosakkan’ universiti Al-Azhar, serta menuduh Syeikh Mohammed Sayyed Tantawi sebagai dalang bagi agenda Barat tersebut. Ada juga beberapa pihak yang menyokong usaha tersebut, dengan menegaskan bahawa pemakaian purdah tidak wajib dan malah tidak perlu.

Pertama sekali, saya kira adalah penting untuk kita memahami bahawa isu pemakaian purdah ini adalah termasuk dalam persoalan fiqhiyyah, dan dalam persoalan fiqhiyyah sememangnya terdapat ruang perbezaan pendapat yang cukup luas. Justeru, tidaklah harus isu ini dijadikan suatu isu yang terlalu besar, dijadikan agenda politik, ataupun lebih teruk lagi dijadikan sebab untuk berbalah dan bertelagah. Tidak ada satu kesepakatan yang mutlak di kalangan para ulama tentang hukum pemakaian purdah. Majoriti ulama berpendapat bahawa aurat wanita adalah seluruh tubuh kecuali muka dan tangan (sekiranya aman daripada fitnah), dan inilah pendapat yang masyhur digunapakai oleh umat Islam. Namun, ada juga pendapat yang kecil yang mewajibkan pemakaian purdah. Maka, bagi sesiapa yang memakai purdah, mereka ada sandarannya dan bagi sesiapa yang tidak memakai purdah, mereka juga ada sandarannya.

Berbalik kepada isu pengharaman pemakaian purdah di kalangan pelajar wanita Universiti Al-Azhar oleh Syeikhul Azhar seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan, memang tidak dinafikan laporan tersebut agak mengejutkan. Walaupun pemakaian purdah itu tidak wajib, tetapi ‘mengharamkan’ pemakaian purdah adalah merupakan suatu tindakan yang menafikan hak wanita Islam yang berhasrat menjaga dirinya, dengan memahami bahawa apabila ia mendedahkan wajahnya maka hal tersebut akan menimbulkan fitnah (mungkin kerana cantiknya wajahnya dan sebagainya). Oleh sebab itulah timbul suara-suara yang mengatakan bahawa tindakan mengharamkan pemakaian purdah itu suatu agenda Barat. Walau bagaimanapun, bagi sesiapa yang seringkali meneliti (scrutinize) laporan-laporan akhbar di Malaysia, dan mengenali wartawan-wartawan akhbar di negara ini (bukan semuanya!), maka adalah tidak menghairankan sekiranya laporan yang kita baca di dada-dada akhbar tentang kenyataan Syeikhul Azhar tersebut adalah merupakan suatu penyelewengan.

Saya memetik penulisan seorang ilmuan muda tanahair, Ustaz Muhammad Rashidi (dikenali dengan nama Ustaz Buluh di kalangan forumer ILuvIslam), yang telah membuat sedikit kajian dan penelitian terhadap isu ini dengan mengkaji laporan akhbar-akhbar di Mesir. Saya petik tulisan beliau yang diterbitkan di dalam blog ini.

Saya berkesempatan membaca beberapa keratan akhbar di Malaysia melalui internet yang melaporkan perihal ini. Adakah benar kenyataan Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi seperti yang disiarkan itu? Setelah membaca beberapa akhbar di Mesir untuk mendapatkan gambaran lebih tepat, pada saya, berita yang disiarkan oleh akhbar al-Misr al-Yaum di Mesir adalah begitu melampau dan bersikap ingin menimbulkan kegelisahan umat Islam berkenaan isu purdah ini. Kenyataan sebenar Syeikh al-Azhar tersebut di putar belit oleh mereka dan menyebabkan orang ramai di sini mentohmah al-Azhar dengan pelbagai kata-kata yang tidak sedap didengar. Saya tidak pasti apakah tujuan sebenar mereka melaporkan berita-berita yang tidak benar itu kepada umum sedangkan ia satu fitnah terhadap seorang ulama.
Kenyataan yang sebenarnya ialah, Syeikh al-Azhar hanya melarang perempuan memakai purdah ketika bersama-sama perempuan sahaja dan bukan mengharamkannya secara mutlak. Larangan hanya di institusi-institusi al-Azhar sahaja kerana pemakaian purdah sesama perempuan itu bukanlah bertepatan pada tempatnya. Adapun tempat-tempat selain yang disebutkan itu, beliau tidak melarang atau mengharamkan perempuan Islam memakai purdah kerana itu adalah hak peribadi setiap perempuan Islam. Surat khabar al-Masai bertarikh 12 Oktober 2009 dan beberapa akhbar lain turut melaporkan yang Syeikh al-Azhar tidak menghalang atau mengharamkan pemakaian purdah ketika di jalanan dan semasa bekerja. Menurut beliau lagi, 80 peratus daripada para ulama fiqh berpendapat muka perempuan Islam bukanlah aurat.

Demikian penjelasan sahabat kita tentang hal sebenar. Silalah baca artikel penuh Ustaz Buluh di laman blog ini.

Semoga dengan penjelasan ini akan dapat mengelakkan daripada berlakunya fitnah yang berterusan di kalangan umat. Pemakaian purdah sememangnya bukan sesuatu yang wajib. Tetapi bagi para wanita yang ingin menjaga diri mereka dengan lebih teliti, maka itu adalah hak mereka yang tidak wajar ditegah (selagi mana tidak ada keperluan yang lebih mendesak). Sebagai peringatan buat diri saya sendiri dan untuk semua, akhir zaman ini adalah zaman di mana fitnah berleluasa. Oleh sebab itulah kita perlu lebih berhati-hati dan teliti dan menimbang berita dan khabar yang diterima, semoga kita tidak membawa kepada kerosakan yang besar dalam masyarakat.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Anonymous
admin
11:56 pm ×

sangat setuju dengan pendapat akhienaim ni ttg penyelewengan dan 'pemutarbelitan' tentang sesuatu kenyataan di media massa. apabila terbaca ttg isu sheikh tantawi, terdetik di hati akan betulkah tindakan yg dilaksanakan oleh beliau spt yg dilaporkan...hati kecil mengatakan ini mgkin salahfaham tanggapan isu..tetapi rupenye adalah fitnah utk menjatuhkan kredebiliti beliau dan institusi termashyur tu sendiri..mgkin ini adalah saki baki 'penentang' dr Gamal abd Naser & king faruq...(M.J)

Congrats bro Anonymous you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar