CEBISAN DARIPADA MAJLIS HAWL ABUYA AL-MALIKI

Segala lafaz pujian dirafakkan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala; Maha Suci Allah daripada segala sesuatu yang buruk, Maha Suci Allah daripada sebarang persamaan dengan makhluk-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Semalam (22 Syawal 1430H bersamaan 11 Oktober 2009M) telah berlangsung acara-acara penutup bagi Majlis Hawl Al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Malaki al-Hasani di Malaysia, khususnya di bawah anjuran tuan guru yang dikasihi Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Syukur, kami ‘dihidangkan’ dengan santapan ilmiah dan rohaniah daripada para ulama yang hebat-hebat: Sayyid Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki (anakanda kepada Abuya Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki sendiri hadir menambahkan keceriaan dan keberkatan majlis), Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki sendiri (anak murid kepada Abuya Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki yang diberikan hak dan keizinan untuk menterjemah semua kitab-kitabnya, serta anak murid yang dianugerahkan dengan gelaran ‘Al-Maliki’ oleh beliau), serta Syeikh Afeefudin al-Jaylani (seorang ulama yang berasal daripada Baghdad dan merupakan keturunan Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani).

Biarpun wujud segelintir pihak di negara ini yang menolak – dan malah menyebarkan fahaman – bahawa tidak perlu untuk kita mengagung-agungkan para ulama, tidak perlu untuk kita merujuk kepada para ulama kerana memadailah dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai panduan, tetapi kami berpegang kepada fahaman yang benar di sisi Ahli Sunnah wal Jama’ah, bahawa bersama dengan para ulama akan mendatangkan kebaikan yang besar kepada kami. Kami berpegang dengan pandangan para ulama bahawa membesarkan, memuliakan dan mengagungkan para ulama sesuai dengan kedudukan mereka, akan menjadi penyebab untuk kami dihimpunkan bersama mereka dan bersama orang-orang yang soleh, dan boleh menjadi penyebab untuk mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sepertimana yang diterangkan kepada kami oleh Syeikh Afeefudin al-Jaylani, bahawa antara cara paling mudah untuk mendapat kecintaan Allah Subhanahu wa ta’ala adalah dengan mendekatkan diri kepada para ulama. Begitulah juga pesanan Sayyid Ahmad ibn Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki, bahawa apabila kita duduk bersama dengan orang yang berilmu ataupun di dalam majlis ilmu, maka kita akan mendapat manfaat dan kebaikan daripadanya. Begitulah hebatnya Rahmat Allah.

Saya ingin berkongsi di sini pesanan Sayyid Ahmad ibn Muhammad al-Maliki, di mana beliau memetik kata-kata Hujjatul Islam Imam Ghazali rahimahullahu ta’ala, bahawa “orang yang dekat dengan haq (sebenar-benar kebenaran) adalah yang rapat dengan perilaku para sahabat (Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam).” Para sahabat baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah orang yang mulia. Mereka adalah satu generasi yang terpuji, dan mereka adalah generasi yang paling baik dalam sejarah manusiawi. Mereka adalah anak murid kepada pendidik dan guru yang terbaik, justeru melayakkan mereka untuk kita jadikan sebagai contoh ikutan dalam mencontohi sunnah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Mereka adalah orang-orang yang mulia, dan hal ini terbukti melalui banyak dalil – hadith-hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang memuji dan menunjukkan kehebatan para sahabat.

Malang sekali, pada hari ini ada sesetengah pihak yang meremeh-remehkan amalan dalam masyarakat kita yang memuji-muji para sahabat dalam wirid, doa dan qasidah. Malang sekali, ada segelintir kecil juga di kalangan masyarakat yang berani mengkritik para sahabat. Sayangnya, ada juga di kalangan masyarakat yang meremeh-remehkan kekaguman yang dizahirkan terhadap para sahabat, dan mengatakan cukuplah sekadar menjadikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu sebagai rujukan dan ikutan. Sedangkan, para sahabat itu adalah mereka yang paling arif dan paling memahami sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, dengan sebab rapatnya mereka itu kepada Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, maka wajarlah kita mengagungkan mereka, memuliakan mereka, dan menjadikan mereka contoh ikutan sebagai wasilah terbaik untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam (yang bermaksud): “Janganlah kalian mencela sahabat-sahabatku. Demi diriku yang berada di dalam kekuasaanNya, sekiranya seseorang kamu membelanjakan emas setinggi gunung Uhud pun, tetap juga tidak akan menyamai satu cupak atau setengah cupak sedekah daripada sahabat-sahabat Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam (kerana keikhlasan mereka).

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam lagi (yang bermaksud): “Sebaik-baik manusia ialah (pada) kurunku (zaman Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam bersama sahabatnya), kemudian orang-orang yang selepas mereka, kemudian orang-orang yang selepas mereka.

Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala mengurniakan kita dengan taufiq dan hidayah untuk kita terus berada di atas manhaj yang haq (benar), serta dihimpunkan kita di bawah payungan panji-panji Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di akhirat kelak.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »