Muktamar PERKEPIS Ke-3

Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengikuti Seminar Pelajar Islam Sarawak dan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) pada 26 Januari yang lalu. Program tersebut diadakan di Sekretariat PERKEPIS yang baru di Tabuan Jaya, Kuching. Kesempatan untuk bertemu dengan rakan-rakan dan adik-adik yang muda remaja, namun komited mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk program-program Islami memang menggembirakan. Setelah melepaskan tampuk kepimpinan PERKEPIS pada tahun 2005, ternyata bermacam perubahan telah berlaku. Ada yang positif dan ada yang negatif. Apapun, yang pasti keberadaan PERKEPIS masih berterusan dan kini mempunyai peranan yang semakin bertambah besar dan penting di negeri Sarawak.

Saya dijemput memberikan satu pengisian yang saya beri tajuk ‘Empat Formula Pembentukan Peribadi Unggul’. Bersama-sama dengan sahabat seperjuangan, Ustaz Hasfa Bakhry Bin Hassan yang kini merupakan Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, saya memberikan pengisian dengan tajuk tersebut dengan mengambil kira keperluan dan keadaan semasa. Pengalaman yang walaupun singkat ketika berada dalam PERKEPIS dan ABIM Sarawak memberikan saya satu kesedaran bahawa para pelajar Islam di Sarawak harus dibangkitkan daripada lalai dan alpa dalam fantasi zon selesa yang mereka rasakan. Pemerkasaan dimensi intelektualisme, idealisme, aktivisme dan spiritualisme adalah penting bagi memastikan para pelajar Islam di Sarawak akan lahir sebagai individu-individu yang berperibadi unggul seterusnya mampu menjadi ejen perubah dalam masyarakat.

Saya juga sempat membuat perbincangan dengan kelompok-kelompok mahasiswa daripada beberapa institusi pengajian tinggi di Sarawak bagi menyampaikan pandangan saya tentang realiti yang sedang dihadapi oleh mahasiswa kini, serta berkongsi pandangan tentang sikap dan peranan yang perlu dimainkan oleh mahasiswa Islam yang berada di Sarawak. Dalam keadaan dan suasana di mana kefahaman masyarakat tentang Islam itu masih lagi berada di tahap yang rendah, kelompok kecil mahasiswa yang punya kesedaran harus diperkasakan peranannya. Di samping itu, golongan ulama’ dan intelektual yang juga sedikit bilangannya di Sarawak harus dimanfaatkan secara optimum.

Memang tidak sah apabila saya kembali ke Sarawak kalau tidak berjumpa dengan Al-Fadhil Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon. Selaku ‘orang lama’ yang sarat dengan pengalaman sebagai seorang aktivis dakwah, beliau memang orang yang ‘wajib’ dirujuki. Usaha-usaha dakwah dan pembaharuan yang beliau lakukan dari dulu sampai sekarang ternyata sukar ditandingi oleh mana-mana aktivis Islam yang berada di Sarawak kini. Sehingga kini, sikap dan pandangan beliau terhadap satu-satu isu itu pasti tidak lari daripada kacamata dakwah.

Mudah-mudahan, pihak PERKEPIS dapat memanfaatkan secara optimum keberadaan Ustaz Awang Pon yang rumahnya tidak sampai 5 minit perjalanan daripada Sekretariat PERKEPIS. Sebagai anak-anak muda yang telah, sedang dan akan menggalas bebanan sebagai kepimpinan sebuah pertubuhan Islam peringkat negeri Sarawak, saya kiri layak untuk saya nyatakan nama-nama mereka di sini, beserta segunung harapan untuk melihat usaha yang berterusan dan bertambah hebat!

Yang Di-Pertua:
Syeed Abdul Hamid Bin Wan Yusuf

Timbalan Yang Di-Pertua:
Muhammad ‘Afif Bin Iskandar

Naib Yang Di-Pertua 1:
Azli Bin Ibrahim

Naib Yang Di-Pertua 2:
Azrul Bin Jaini

Naib Yang Di-Pertua 3:
Nur Afni Faryishah Binti Mohd. Hamsah

Setiausaha Agung:
Siti Khadijah Binti Edi Wahab

Bendahari Kehormat:
Dayang Hartini Binti Abang Slamsa

Penolong Setiausaha Agung 1:
Ahmad Syahmeer Bin Junaidi

Penolong Setiausaha Agung 2:
Dayang Norafizan Binti Awang Chee

Masing-masing punya watak, peribadi dan kepakaran yang pelbagai; justeru, itu adunan yang sangat menarik untuk membantu PERKEPIS terus maju kehadapan. Walaupun barisan kepimpinan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai tahap pengalaman yang berbeza, tetapi – mengenali setiap seorang daripada mereka – saya penuh optimis bahawa mereka ini adalah insan-insan yang ikhlas dan komited dalam memastikan perjuangan Islam itu dapat diteruskan di Bumi Kenyalang.

Cuma, kadang-kadang agak menyedihkan apabila memikirkan sikap sesetengah golongan senior dan veteran di negeri Sarawak yang terlalu egois dan tidak mahu mendengar pandangan anak muda. Sudah beberapa kali terjadi kejadian-kejadian seperti anak muda ditempelak, dimarahi serta ditegur secara kasar apabila bersuara menyatakan pendapat dalam sesebuah majlis di Sarawak, khususnya apabila pendapat anak muda itu bertentang dengan pendapat mereka yang senior. Saya berharap (sebenarnya lebih kepada mendesak) agak masyarakat Sarawak secara umumnya menyedari bahawa ada kelompok anak muda, walaupun kecil, yang benar-benar serius dan komited untuk membantu pembangunan di negeri Sarawak, khususnya pembangunan modal insan. Fahamilah, kami bukan anak muda hingusan yang boleh disergah dan diperlakukan seperti kanak-kanak tadika!

Mudah-mudahan, setelah selesai Mesyuarat Agung Tahunan PERKEPIS kali ke-3 ini, gelombang kebangkitan pelajar Islam di Sarawak akan terus bertambah galak dan hebat. Buktikanlah kepada masyarakat bahawa PERKEPIS bukan kelompok anak muda hingusan! Buktikan bahawa PERKEPIS adalah anak-anak muda yang matang dan prihatin terhadap permasalahan masyarakat! Buktikan bahawa PERKEPIS adalah anak-anak muda yang komited, berjiwa besar, serta akan terus menongkah arus cabaran semasa demi merealisasikan hasrat melahirkan lebih ramai modal insan Qur’ani di negeri Sarawak!

Previous
Next Post »