Aku Dimasukkan Ke Dalam Penjara...

Ketika pulang ke Kuching dengan tujuan untuk menghadiri Mesyuarat Agung PERKEPIS baru-baru ini, aku telah dimasukkan ke dalam Penjara Pusat Kuching. (Hehe!) Sahabatku yang bertugas di penjara itu, Hasfa Bakhry, telah ‘memasukkan’ aku ke dalam penjara tersebut dengan tujuan untuk memberikan ceramah motivasi selama lebih kurang 1 jam setengah kepada beberapa orang banduan Fasa-1 dan Fasa-2. Fasa-1 dan Fasa-2 ini merupakan tahap di mana para banduan itu berada dalam program pemulihan yang dijalankan oleh pihak penjara untuk banduan-banduan mereka. Para banduan akan melalui empat fasa dalam program pemulihan tersebut; ini bermakna banduan Fasa-1 dan Fasa-2 adalah terdiri daripada banduan-banduan baru.

Apapun, pengalaman menyampaikan ceramah motivasi di dalam penjara adalah pengalaman yang sungguh menyeronokkan! Apatah lagi apabila menyaksikan respon yang sangat positif daripada para banduan yang mengikuti ceramah tersebut; ia memberikan saya satu kepuasan bahawa apa yang saya sampaikan membawa mesej yang sangat bermakna – sehingga saya merasakan bahawa itulah antara ceramah saya yang betul-betul berguna! Saya telah menyampaikan ceramah kepada sekitar 40 orang banduan yang terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim. Saya kongsikan isi-isi ceramah itu di sini, mungkin berguna untuk mereka yang ‘terpenjara’ jiwanya.

Pertamanya, kita perlu memahami bahawa sesi ini adalah sesi perkongsian ilmu, bukan ceramah. Sesi perkongsian ilmu adalah sesi yang perlu dipandang tinggi dan mulia kerana ilmu itu adalah sesuatu yang sangat penting dan berharga dalam kehidupan. Dalam menjalani kehidupan kita di dunia ini, ada dua perkara yang manusia tidak akan puas dan tidak akan habis mendapatkannya sampai bila-bila. Dua perkara itu adalah harta benda dan ilmu. Tentang soal harta, sememangnya manusia akan sentiasa bekerja untuk mendapatkannya. Tetapi tentang soal ilmu, ramai manusia mengambil sikap ‘cukup makan’ dan ‘endah tak endah’, sedangkan ilmu itu perkara yang lebih penting daripada harta. Hal ini demikian kerana ilmu itu adalah cahaya dalam kehidupan. Ibarat seorang pemandu kereta yang sedang memandu keretanya di tengah-tengah malam tanpa ada sebarang cahaya; pastinya risiko untuknya terbabas dan mengalami kemalangan sangat tinggi. Begitulah ilmu. Tanpa ilmu, tanpanya seseorang itu pasti akan mudah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam kehidupan.

Ilmu itu membawa kehadiran makna ke dalam diri kita. Ilmu itu juga memberikan kita pertimbangan nilai. Soal nilai sangat penting bagi manusia kerana dengan adanya nilai barulah manusia boleh memberikan nilai yang baik kepada segala sistem dan alat yang ada di sekelilingnya. Hakikatnya, benda-benda alat itu semuanya tidak ada nilai, tetapi nilainya bergantung kepada pertimbangan nilai yang ada pada manusia. Contohnya, sebuah pisau. Pisau yang digunakan oleh manusia untuk membunuh tarafnya adalah sebagai alat pembunuhan. Tetapi pisau yang digunakan untuk memasak, maka tarafnya adalah sebagai peralatan memasak yang sangat berguna. Sebab itulah soal sistem nilai sangat penting pada manusia.

Namun, dalam usaha kita menggali ilmu dan membina karakter peribadi, kita juga harus memahami bahawa tidak ada manusia yang sempurna. Tidak ada manusia yang bebas daripada melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan. Malah, adalah normal dan semulajadi bagi manusia untuk melakukan kesilapan. Pun begitu, itu bukanlah ‘tiket’ untuk menjustifikasikan setiap kesalahan yang dilakukan. Sebaliknya, setiap kesalahan yang dilakukan perlulah diambil sebagai iktibar dan tidak diulangi; dengan itu barulah manusia itu berkembang dan belajar. Atas sebab itulah ilmu itu penting, supaya manusia terus belajar dan belajar untuk menjadi insan yang lebih baik.

Untuk itu, penting juga difahami bahawa antara ciri istimewa yang ada pada manusia dan tidak ada para mana-mana benda hidup yang lain adalah manusia punya potensi untuk membuat pilihan. Pokok dan tumbuhan tidak pernah punya pilihan untuk mengubah peranannya, ataupun untuk mengubah tempat tumbuhnya. Lembu tidak pernah punya pilihan untuk memakan makanan lain, ataupun untuk membuat masakan sendiri. Tetapi manusia ada potensi untuk membuat pilihan. Manusia boleh memilih sama ada ingin membuat kebaikan atau kejahatan.

Memang benar, ada banyak perkara yang berlaku dalam dunia ini yang berada di luar kawalan kita. Contohnya; kita dimarahi majikan, kertas yang kita cari tak dijumpai, pen kita diambil oleh orang lain, bas yang kita hendak naiki datang lambat, jalan yang kita lalui sesak teruk, pasangan kita berada dalam ‘mood’ tidak baik dan memarahi kita, dan sebagainya. Perkara-perkara yang berlaku di luar kawalan kita inilah yang sering mengganggu emosi dan perkembangan seseorang sehingga mendorong seseorang itu untuk mengambil tindakan yang tidak matang. Seharusnya, apabila kita memahami bahawa kita punya potensi untuk membuat pilihan, kita memfokuskan kepada perkara yang masih berada dalam kawalan kita, yakni diri kita sendiri!

Ya! Apa yang kita buat, bagaimana kita bertindak, bagaimana kita memberikan reaksi terhadap apa yang berlaku; itu semuanya perkara yang berada di bawah kawalan kita sendiri. Oleh sebab itu, adalah tidak wajar dan tidak patut untuk kita sentiasa membingungkan minda dengan perkara-perkara yang sememangnya di luar kawalan kita dan seringkali kita ‘tidak mampu berbuat apa-apa’. Sebaliknya, alangkah eloknya seandainya kita memberikan fokus kepada apa yang masih berada dalam kawalan kita yakni diri kita sendiri. Kita hendaklah mengawal diri sendiri dan membuat pilihan yang terbaik dalam kehidupan kita.

Apabila kita terlalu memikirkan tentang perkara-perkara yang di luar kawalan kita, sememangnya akan membingungkan dan kita akan cenderung membuat keputusan yang salah yang seterusnya akan tambah memburukkan lagi keadaan. Sebagai contoh, seorang suami yang bangun pagi dan sedikit terlewat untuk ke pejabat. Apabila dia ke dapur, dia mendapati anaknya sedang bersarapan tetapi air kopinya belum lagi siap disediakan oleh isterinya. Si suami naik berang lalu memarahi isteri dan terjadilah pertengkaran. Apabila menyedari sudah lewat, si suami dalam keadaan marah terus pergi kerana perlu menghantar anak ke sekolah terlebih dahulu. Apabila sampai di sekolah, si anak masuk kelas lewat lalu ditegur oleh gurunya menyebabkan dia tidak ada ‘mood’ untuk belajar. Si suami, kerana sudah terlewat, memandu dengan laju sehingga menyebabkan dia disaman polis trafik. Sampai sahaja di pejabat, si suami baru menyedari yang dia tertinggal fail penting di rumah, lalu dia dimarahi bos. Sepanjang hari, si suami bekerja dalam keadaan tertekan lalu menjejaskan prestasinya.

Nah, daripada cerita itu kita dapat melihat bagaimana apabila si suami mengambil keputusan untuk memarahi isterinya pada waktu pagi itu telah menjejaskan aktiviti-aktiviti lain sepanjang hari. Bukankah si suami itu punya pilihan untuk tidak marah? Bukankah si suami itu punya pilihan untuk bersarapan pagi di kedai sahaja? Tetapi tidak, si suami mengambil keputusan untuk bertindak atas perkara yang di luar kawalannya.

Justeru, bagaimana untuk membantu kita membuat keputusan yang betul? Dalam hal ini, manusia perlu menggunakan akal dan minda yang dikurniakan oleh Tuhan. Dengan adanya akal, manusia berbeza dengan semua benda hidup yang lain! Maka, dengan adanya akal itulah manusia boleh berfikir, membuat pertimbangan dan seterusnya membuat keputusan atau pilihan. Akal perlu ditajamkan dengan membanyakkan berfikir, dan untuk menajamkan pemikiran, antara lain, adalah dengan membanyakkan membaca buku. Apabila kita mempunyai akal yang boleh berfikir dengan cerdas, maka kita akan lebih mudah untuk membuat keputusan-keputusan dengan baik dalam masa yang singkat.

Selain daripada itu, kita juga perlu sentiasa bersikap positif. Hal ini juga berkait rapat dengan pemikiran; kerana sepertimana dalam tulisan-tulisan Dr. Edward De Bono, pemikiran positif itu adalah salah satu daripada gaya berfikir yang ada dan kemahiran berfikir ini boleh dilatih. Antara perkara yang menyebabkan ramai orang seringkali resah dan tertekan apabila menghadapi masalah adalah kerana mereka gagal berfikir secara positif. Selalunya, yang negatif daripada sesuatu masalah itu lebih sedikit daripada segala yang positif yang akan muncul. Sebagai contoh, seorang lelaki yang aktif itu mungkin boleh melakukan 10,000 perkara dalam kehidupan. Apabila ia kemalangan dan lumpuh separuh badan, ia mungkin telah kehilangan 1,000 benda yang ia boleh lakukan. Daripada ia terus murung dan bersedih atas kehilangan kebolehan melakukan 1,000 perkara itu, alangkah baiknya jika ia fokus kepada 9,000 perkara yang ia masih boleh lakukan!

Dalam hal ini, kita kena sentiasa melatih diri kita untuk bersikap positif termasuklah kita perlu sentiasa menggunakan ayat-ayat yang positif. Contohnya apabila diberi tugasan yang kelihatan susah, janganlah katakan ‘aku tak boleh buat’ tetapi katakanlah ‘aku mesti cuba sampai dapat’. Begitu juga bila masalah muncul, janganlah merungut ‘banyak betul masalah’, tetapi sebaliknya fikirkan ‘bagaimana caranya aku nak selesaikan setiap satu masalah ini’. Jangan katakan, ‘aku akan cuba’, tetapi katakan, ‘aku akan lakukan!’. Masalah dalam kehidupan adalah lumrah; tidak mungkin manusia itu tidak akan ada masalah. Justeru, cara terbaik untuk menyelesaikan masalah adalah berhadapan dengan masalah itu secara berani dan positif. Dalam hal ini, kita berbalik kepada pemahaman bahawa kita mempunyai potensi untuk menentukan pilihan tindakan yang akan kita buat.

Selain daripada itu, untuk membantu kita supaya lebih mudah menjalani kehidupan dengan baik dan juga membantu dalam proses membuat pilihan adalah kita perlu mempunyai matlamat hidup yang jelas. Apabila mengatakan matlamat hidup, pastinya kita merujuk kepada sesuatu yang jauh, yang memakan masa bertahun-tahun untuk menjadi realiti. Apabila kita tidak mempunyai matlamat hidup yang jelas, maka kita tidak akan mengetahui apa yang kita perlu dan patut lakukan pada setiap saat dan ketika; akhirnya kita cenderung melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Maka, adalah penting untuk kita meletakkan matlamat hidup dengan mengenalpasti kekuatan dan kelebihan yang ada pada diri. Kemudiannya apabila kita telah menetapkan matlamat, kita perlu beriltizam dengan matlamat tersebut dan hal ini menuntut kita untuk menjadi lebih berdisiplin. Termasuklah dalam soal disiplin ini adalah kita mengenalpasti keutamaan bagi kita dalam kehidupan yang akan membantu kita dalam proses membuat pilihan pada satu-satu ketika itu.

Seterusnya, adalah penting untuk kita selalu bermuhasabah. Yakni, kita perlu sentiasa melakukan penilaian terhadap diri kita. Di mana silap kita, apa yang telah kita lakukan, apa yang tidak sepatutnya kita lakukan tetapi telah terlajak dilakukan; segala kesilapan dan kelemahan kita perlu kita nilai secara jujur supaya dapat kita perbaiki diri kita menjadi individu yang lebih baik. Untuk ini, kita perlu membanyakkan proses berfikir dan bercakap dengan diri sendiri. Aktiviti bercakap dengan diri sendiri, secara jujur, akan membantu kita untuk membuat muhasabah diri dengan lebih baik. Ketepikan ego dalam diri, kenalpasti kekurangan dan kelemahan diri, serta sematkan azam yang kukuh untuk kita memperbaiki diri.

Kita juga perlu banyak bergaul dengan orang-orang yang positif untuk menjadi orang yang positif. Berkawanlah dengan orang-orang yang berakhlak mulia, supaya nantinya kita juga menjadi orang yang berakhlak mulia. Tidak dinafikan bahawa masih ada di kalangan masyarakat kita orang-orang yang akan mengeji dan mengejek orang yang cuba menjadi baik, orang yang bergaul dan bercampur dengan orang yang baik-baik sahaja; tetapi, peduli apa? Kita perlu ingat bahawa yang lebih penting adalah nilaian kita di sisi Tuhan. Berpegang teguhlah kepada ajaran agama. Bagi yang beragama Islam, kita perlu sedar dan faham akan konsep-konsep asas yang diajar kepada kita seperti adanya syurga dan neraka, adanya dosa dan pahala, adanya malaikat dan syaitan, adanya balasan baik dan balasan buruk. Apabila kita sudah mempunyai pandangan hidup Islam yang jelas itulah baru kita akan dapat menjalani kehidupan dengan baik sebagai seorang Muslim yang baik.

Apapun, pokok pangkalnya adalah kita perlu sentiasa ingat dan sedar bahawa hala tuju kehidupan kita adalah di tangan kita. Kita yang akan menentukan perjalanan hidup kita, bukan orang lain!

Previous
Next Post »