Senjata Utama Keselamatan Diri

 Siri Keselamatan Diri – Jangan Jadi Mangsa 2 

Senjata Utama Keselamatan Diri 

Oleh: Zulkipli bin Ismail


Sebelum kita ambil tahu senjata utama keselamatan diri, kita kena tahu “musuh” utama keselamatan diri ialah LEKA / TIDAK PERASAN atau LAYAP dalam bahasa Sarawak. Terutama di tempat awam, samada memandu sambil layan perbualan telefon, bersesak dalam pasaraya asyik cari barangan jual murah, ngeteh sambil borak-borak di gerai atau kopitiam, berjalan sambil asyik main hp, atau tak perasan berapa banyak jumlah hutang kita sedia ada sebelum membuat satu lagi pembelian bnpl atas talian. 

Jika layap dalam memandu, itulah yang boleh menyebabkan orang keluar simpang tanpa tengok kanan ada tak kereta datang, dan menyebabkan kemalangan. Kerana layap asyik berborak di gerai minum, kita secara tidak sedar letak bag duit atas meja yang sebelah jalan, mudah dicekup peragut. Dan kerana tidak sedar jumlah hutang, masalah kewangan jadi salah satu punca utama perceraian di Malaysia. Insyaallah isu-isu ini kita bincang lebih terperinci di penulisan akan datang.  

Senjata utama untuk keselamatan diri ialah berlawanan dari layap, iaitu dalam istilah Inggeris nya, SITUATIONAL AWARENESS. Boleh diterjemahkan sebagai kesedaran situasi atau kesedaran keadaan. 

Untuk mudah memahami apa itu kesedaran situasi, kita guna contoh pemain bolasepak. Seorang pemain yang baik bukan saja ada kemahiran dengan bola, tetapi yang tahu / perasan dimana pemain kawan dan lawan berada atas padang. Apabila bola sampai kepada dia, dia boleh cepat buat tindakan hantar kepada kawan yang terbuka. Jika sudah menerima bola baru nak cari dimana kawan yang terbuka, mungkin akan terlambat, lawan sempat mark semula kawan yang terbuka tadi.  

Jadi salah satu aspek kesedaran situasi itu ialah kita sedar atau perasan siapa dan apa yang berada dipersekelilingan kita. Bagi atlit sukan berpasukan seperti bolasepak, hoki, ragbi, bola keranjang, bola jaring, mungkin ini sudah jadi satu kebiasaan. Tetapi mengimbas dan ambil perhatian persekelilingan kita adalah sesuatu yang perlu dijadikan tabiat ( habit ) untuk semua. Termasuk dalam kesedaran situasi ini ialah kesedaran keadaan kita sendiri, termasuk dimana letak barangan yang kita bawa. 

Kesedaran situasi ini penting kerana boleh mengurangkan PELUANG dan KEJUTAN ancaman kepada keselamatan diri. 

Jika kita letak wallet kembali dalam poket atau letak antara celah tangan ketika makan, kita kurangkan peluang orang untuk meragut.  

Jika kita perasan ada orang menghampiri, kita boleh bersedia secara mental untuk apa-apa kemungkinan, jadi jika apa-apa berlaku kita tidak tergamam ( freeze ) atau panik kerana kejutan. Seperti berita dalam penulisan sebelum ini, remaja perempuan itu sudah perasan remaja lelaki mendekati, jadi walaupun hp dia dapat dirampas, dia tidak tergamam atau panik tak tentu hala tetapi terus bertindakbalas. 

Diceritakan kepada saya, seorang ahli seni beladiri tang soo do bertalipinggang merah, yang digeruni kerana tangkas apabila sparring dalam latihan, tergamam apabila rantai leher dia tiba-tiba diragut oleh orang yang berhenti pura-pura tanya arah jalan. Dalam beberapa saat tergamam itu, penjenayah sempat lari. 

Dari itu, jadikan kesedaran situasi sebagai satu habit, peka dan perasan persekelilingan kita sebagai senjata utama dalam usaha kita menjaga keselamatan diri, lebih utama dari mempelajari seni beladiri atau membawa senjata seperti pepper spray dan seumpamanya.



-----

Zulkipli bin Ismail berkelulusan daripada Loughborough University of Technology (England), merupakan seorang jurulatih bertauliah HRDC, Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan NIOSH, Jurulatih Kecergasan Jasmani (KBS), pemegang sijil International Crime Prevention Specialist, dan ahli The International Society of Crime Prevention Practitioners (USA). Beliau berpengalaman dalam Silat, Karate, Kickboxing, Aikido, dan Tai Chi Huang. Untuk jemputan ceramah bagi modul “Keselamatan Diri - Jangan Jadi Mangsa”, beliau boleh dihubungi melalui alamat e-mel: zulkipli.ismail1@gmail.com.

Newest
Previous
Next Post »