Ramaḍān tahun ini (1447) telah melabuhkan tirainya dengan meninggalkan kenangan yang pasti terpahat dalam ingatan selamanya. Tanggal 18 Ramaḍān 1447, jam 6:47 petang, telah mangkat guru kami yang mulia, Prof. DiRaja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib bin Syed Ali al-Attas pada usia 95 tahun. Pemergian beliau, walaupun tidaklah sepenuhnya mengejutkan, tetaplah merupakan satu peristiwa sedih; namun, kesedihan itu tidaklah begitu dibaluti pilu, malah lebih berbalut syahdu dan rindu.
Sehingga hari ini, begitu banyak penulisan yang telah dihasilkan yang menyebut-nyebut tentang kemuliaan, ketinggian ilmu, dan sumbangan Prof. Al-Attas kepada umat Islām di rantau ini, dan juga kepada dunia Islām secara keseluruhannya. Memang menjadi kebiasaan, nilai sesuatu yang tinggi itu biasanya hanya akan lebih disedari selepas ketiadaan sesuatu itu. Namun, antara perkara yang sangat perlu kita berhati-hati adalah agar kita tidak menjadi antara orang-orang yang menzalimi segala usaha dan sumbangan Prof. Al-Attas, dengan menyalahtafsir karya-karya dan idea beliau. Oleh sebab itu, adalah sangat penting untuk kita kenal dan i'tiraf sahabat dan anak-anak murid terdekat Prof. Al-Attas, yang melalui merekalah gagasan pemikiran Prof. Al-Attas yang betul dapat diketahui.
Saya hanya berkesempatan berjumpa secara langsung dengan Prof. Al-Attas sebanyak 5~6 kali; tetapi gagasan pemikiran Prof. Al-Attas banyak saya pelajari daripada murid-murid beliau yang utama seperti Prof. Dr. Wan Mohd Nor Wan Daud, Dr. Muhammad Zainiy Uthman, Dr. Mohd. Farid Mohd. Shahran, Dr. Zaidi Ismail, Dr. Khalif Muammar, Dr. Mohd. Hilmi Ramli, dan lain-lainnya; termasuk juga anakanda kepada Prof. Al-Attas sendiri, Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas. Mereka ini adalah anak-anak murid Prof. Al-Attas yang sentiasa melazimi Prof. Al-Attas, menelaah pemikiran beliau secara langsung, dan berkhidmat kepada beliau; juga konsisten selama bertahun-tahun menjalankan kelas-kelas dan program pendidikan bagi menghidupkan gagasan pemikiran Prof. Al-Attas. Justeru, mereka itulah yang paling layak untuk menjadi sumber rujukan utama bagi sebarang usaha untuk menghidupkan gagasan pemikiran Prof. Al-Attas; yang merupakan gagasan pemikiran yang sangat penting untuk melahirkan individu muslim yang baik (mengikut acuan al-Qur'ān dan sunnah) dalam suasana umat yang sedang diserang dengan cabaran dalam dan luaran yang dahsyat pada masakini.
Dalam mengenang jasa dan sumbangan Prof. Al-Attas kepada negara ini dan juga kepada dunia muslim secara keseluruhannya, apa yang penting adalah untuk kita menghidupkan dan menuturi petunjuk-petunjuk yang beliau tinggalkan secara betul. Oleh sebab itulah nama-nama anak murid Prof. Al-Attas yang saya sebutkan di atas adalah penting untuk dikenali, dan dituruti; apatah lagi sehingga kini sudah mula muncul beberapa kelompok yang cuba untuk menunggang nama mulia Prof. Al-Attas dengan mencetak rompak karya-karya beliau, serta menganjurkan program-program bagi membicarakan gagasan pemikiran beliau walaupun tidak berkelayakan untuk berbuat demikian.
Bagi yang biasa menelaah karya-karya Prof. Al-Attas, pasti akan tahu bahawa Prof. Al-Attas telah menunjukkan satu jalan yang jelas untuk mengangkat darjat kaum muslimin untuk mendekati taraf kemuliaan dan kehebatan seperti yang ditunjukkan oleh baginda Rasūlullāh ṣallallāhu 'alayhi wasallam; namun perjalanannya masih jauh. Masih banyak yang perlu dilakukan; namun, saya ingat pesan Prof. Al-Attas: bahawa kaum muslimin ini bukanlah kaum yang boleh berputus asa.
Hadiahkan bacaan al-Fātiḥah dan doa untuk Allahyarham Prof. DiRaja Terpuji Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib bin Syed Ali al-Attas.

