Kursus Bahasa Jawi



Sepanjang bulan Oktober pada tahun 2023 dahulu, saya dan beberapa orang lagi daripada Malaysia, Indonesia, Brunei, dan Singapura, telah berkesempatan untuk menyertai Kursus Kefasihan Bahasa Jawi anjuran Akademi Jawi Malaysia (AJM). Walaupun penyertaan saya dan beberapa orang rakan daripada Persatuan Pencinta Ilmu dan Budi Kuching (PPIBK) adalah sebagai sebahagian daripada keperluan untuk kami dalam rangka melengkapkan projek perumian dan penerbitan semula kitāb “Suluh Kemajuan” karangan Tuan Guru Shaykh ‘Abdul Karīm bin Shaykh ‘Uthmān Sarawak, kursus tersebut juga telah memberikan banyak ‘ilmu dan maklumat yang baru bagi kami berkaitan dengan bahasa Jawi.

Salah satu perkara yang penting yang saya ambil i‘tibar melalui kursus itu adalah betapa bahasa Jawi, akibat daripada usaha jahat musuh-musuh Islām untuk mencairkan jatidiri muslim di rantau ini, telah digantikan dengan tulisan Rumi sehingga ke tahap bahasa Jawi kini telah dipinggirkan  menjadi sekadar “tulisan jawi” yang semakin hari semakin direndah-rendahkan kedudukan dan kepentingannya. Sedangkan, bahasa Jawi adalah merupakan bahasa yang sangat kaya -- bahasa yang mempunyai peraturan dan tatabahasanya yang tersusun dan dirakam dalam buku-buku berkaitan ‘ilmu bahasa, dan yang telah digunakan untuk menerbitkan sekian banyak kitāb yang penting dalam pelbagai bidang untuk mashārakat di rantau ini.

Dalam kursus itu, kami juga telah dilatih dengan pedoman transliterasi khusus untuk mengeja perkataan-perkataan yang asalnya daripada bahasa ‘Arab di dalam tulisan Rumi. Panduan ejaan yang disusun dan digunakan oleh AJM itu bagi saya adalah pedoman transliterasi yang paling baik untuk digunakan, kerana mewakili ejaan aṣal dalam bahasa ‘Arab dengan baik, sehingga memungkinkan kita untuk mengenalpasti iṣṭilāḥ aṣal bagi perkataan itu di dalam bahasa ‘Arabnya. Sedaya upaya, dalam penulisan-penulisan saya termasuklah penulisan ini, saya akan menggunakan panduan transliterasi AJM tersebut.

Pada tahun lepas (2025), kami telah berjaya menerbitkan semula buku “Suluh Kemajuan”. Salah satu usaha yang kami ingin teruskan kini adalah untuk menggali dan mencari buku-buku lama yang ditulis dalam Jawi (khususnya karya penulis Sarawak), dan membuat usaha perumian serta menerbitkan semula buku tersebut dalam tulisan Rumi di samping mengekalkan juga tulisan aṣalnya dalam bahasa Jawi. Bagi sesiapa yang mempunyai ma‘lūmāt tentang karya-karya lama dalam tulisan Jawi, bolehlah menghubungi saya.



Newest
Previous
Next Post »