PERMUAFAKATAN YANG WAJIB DIPERTAHANKAN


Hari ini (1 Mac 2020), episod gelap politik tanah air hampir ditutup dengan selesainya Majlis Angkat Sumpah Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8. Pelantikan TSMY adalah hasil keputusan dan perkenan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), setelah baginda sendiri membuat perjumpaan seorang demi seorang dengan kesemua 222 orang ahli parlimen. Setelah seminggu lamanya pentadbiran negara berada dalam dilema selepas dimulakan dengan “Langkah Sheraton”, akhirnya keputusan DYMM YDPA itu menyelesaikan segala tanda tanya dan kegelisahan rakyat.

Walau bagaimanapun, di sebalik keputusan bijaksana DYMM YDPA itu, masih ada segolongan ahli politik yang mengambil sikap biadab untuk mempersoalkan, mempertikaikan, dan malah “menyerang” pelantikan TSMY sebagai Perdana Menteri. Pertikaian yang datang daripada kem parti DAP dan PKR tidak terlalu mengejutkan, kerana memang kita sedia maklum kedua-dua parti ini adalah parti biadab yang mempunyai agenda tersendiri untuk meruntuhkan kedudukan istimewa agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini. Namun, apa yang menyedihkan adalah sikap ahli-ahli politik Muslim yang sanggup bekerjasama dengan musuh-musuh agama hanya kerana ingin memuaskan nafsu mereka. Mereka laungkan slogan “anti korupsi”, “anti kleptokrasi”, “integriti”, dan sebagainya – seolah-olah mereka itu malaikat yang tidak ada kurang dan silapnya – sebagai alasan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan Melayu-Muslim.

Ini bukan lagi soal nombor. Apabila DYMM YDPA telah membuat keputusan baginda, maka menjadi kewajipan seluruh Ahli Parlimen untuk memberikan sokongan dengan keputusan baginda. Walaupun jika mungkin bilangan Ahli Parlimen yang menyokong TSMY lebih rendah bilangannya daripada yang menentang beliau, keputusan DYMM YDPA harus diambil kira sebagai pemutus kerana baginda adalah pemimpin tertinggi negara. Sebagai Sultan, Ahli Parlimen perlu mengikut keputusan baginda, bukan sebaliknya. Negara ini bukan negara demokrasi mutlak. Negara ini ada sistem pentadbiran yang tersendiri, gabungan cantik antara demokrasi dan monarki. Penentangan mereka terhadap keputusan DYMM YDPA – yang baginda lakukan setelah baginda memberi peluang kepada semua ahli parlimen untuk berjumpa baginda – menampakkan sikap sebenar golongan ini yang memusuhi kedudukan istimewa agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

Apapun, sepanjang konflik politik yang berlaku kebelakangan ini, rakyat dan seluruh para pemimpin harus insaf dan mengambil iktibar daripada peristiwa yang berlaku, dan seterusnya mengambil pengajaran daripadanya. Salah satu pengajaran penting, kita harus insaf bahawa harapan tidak boleh disandarkan kepada ahli politik. Hal ini demikian kerana ahli politik kebanyakannya hanya mementingkan kuasa dan kedudukan, bukan mementingkan nasib umat. Hal ini dapat kita lihat melalui konflik, perebutan kerusi, dan sebagainya yang berlaku di dalam parti-parti politik dan juga di peringkat kepimpinan tertinggi negara. Oleh sebab itu, saya cenderung berpandangan bahawa Malaysia harus mengorak langkah untuk melakukan reformasi sistem politik secara besar-besaran dengan mengembalikan peranan besar institusi raja. Cadangan ini akan saya perincikan di dalam penulisan yang lain.

Umat Islam seharusnya sudah mula sedar, bahawa kekuasaan tidak boleh diserahkan kepada golongan yang memusuhi Islam. Kekuasaan wajib dipertahankan dalam wilayah orang Islam, yang mempunyai aqidah dan pemikiran Islam yang sejahtera. Kesatuan politik Melayu melalui muafakat parti-parti BERSATU, UMNO dan PAS (yang utama) adalah merupakan satu kewajipan yang tertunggak. Syukur, kesatuan ini sangat diperlukan pada ketika kepentingan umat Islam sedikit demi sedikit cuba dihakis di negara ini oleh para pemimpin yang jahat. Menjadi kewajipan untuk seluruh umat Islam menyokong dan mendokong kesatuan ini, khusus bagi ahli-ahli politik berbangsa Melayu dan beragama Islam. Masih ada segelintir dalam kalangan ahli politik Muslim yang menolak kesatuan ini atas alasan-alasan yang bersifat cabang (furu’iyyah), dan ini menampakkan kebodohan mereka serta kekeliruan pandangan alam mereka. Mereka ini adalah “musuh dalam selimut” bagi umat Islam di negara ini.

Bagi ahli-ahli politik yang terbabit dalam muafakat ini (BERSATU / UMNO / PAS), kesatuan ini merupakan sesuatu yang wajib dipertahankan dan diperkukuhkan dari masa ke semasa. Perbalahan sesama umat Islam hanya menguntungkan pihak musuh, dan merugikan umat Islam di negara ini. Setiap ahli politik Muslim wajib melakukan muhasabah, dan sentiasa membetulkan niat mereka dalam melakukan permuafakatan ini. Permuafakatan ini wajib dilakukan demi Allah dan Rasul-Nya, bukan demi kuasa semata-mata. Jika permuafakatan ini dilakukan kerana melihat ruang untuk berkuasa semata-mata, maka yakinlah permuafakatan ini tidak akan kekal lama. Namun jika dilakukan dengan niat ikhlas untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Melayu, maka pastilah Rahmat Allah akan menaungi permuafakatan ini. Justeru, tahniah diucapkan kepada para pemimpin BERSATU, UMNO, dan PAS kerana masing-masing sedia bertolak ansur untuk menjayakan permuafakatan ini.

Bergerak ke hadapan, setiap para pemimpin politik harus menginsafi bahawa mereka banyak melakukan kesilapan sebelum ini. BERSATU, UMNO, dan PAS bukan parti yang sempurna. Semuanya adalah parti umat Islam, tetapi semuanya juga banyak melakukan kesalahan sebelum ini. Maka, usaha untuk memperkukuhkan kesatuan ini wajib dibuat dengan asas yang betul, yakni dengan asas ilmu yang benar. Belajarlah daripada kejayaan kerajaan dan kepimpinan Islam di masa silam; semuanya bangkit hebat kerana setiap pemimpin dibimbing oleh ulama. BERSATU, UMNO, dan PAS perlu mendapatkan bimbingan daripada ulama – “bimbingan”, bukan sekadar “nasihat”. Ulama yang dimaksudkan adalah ilmuan-ilmuan Muslim yang hebat, yang tidak berada di dalam mana-mana parti politk, yang telah menghabiskan sebahagian besar umur mereka untuk tujuan ilmu pengetahuan, yang mempunyai pemikiran Ahli Sunnah wal Jamaah yang sejahtera. Mereka ini boleh memberikan bimbingan yang ‘adil dan benar, tanpa pengaruh daripada sesiapa dan tanpa kecenderungan kepada mana-mana pihak yang berkepentingan. Malaysia mempunyai ramai ulama bertaraf antarabangsa; mereka mungkin kurang dikenali dalam kalangan masyarakat awam, tetapi nama mereka meniti di dunia para ilmuan.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »