Mengendalikan satu bengkel "Persediaan Ke IPT" untuk beberapa orang pelajar lepasan SPM, sebagai persediaan akal dan jiwa mereka untuk menghadapi cabaran-cabaran di alam IPT. |
Ingatan saya terhadap peristiwa mengambil keputusan SPM lebih 20 tahun lepas, sudah agak samar-samar. Rupanya benarlah kata-kata ramai orang-orang yang lebih tua pada masa itu, bahawa SPM hanyalah permulaan bukan penamat. Sewaktu di zaman remaja, SPM dilihat sebagai sesuatu yang sangat besar. Kini, setelah bertahun-tahun kancah kehidupan dilalui, SPM itu hanyalah salah satu titik kecil dalam kehidupan. Sijil itu membantu, tetapi bukan penentu.
Buat lepasan SPM 2019, syabas dan tahniah saya ucapkan kerana anda telah melepasi salah satu tahap ujian yang kecil dalam kehidupan. SPM hanyalah permulaan. Selepas ini anda akan melalui banyak lagi ujian yang lain sama ada di dalam kehidupan mahupun di institusi pembelajaran yang akan membuatkan SPM kelihatan terlalu kerdil.
Saya ingin berkongsikan 3 pesanan untuk lepasan SPM, khusus untuk para remaja muslim di seluruh negara.
#1 – Bersyukurlah, dan redha
Dalam hal ini, akan ada empat jenis pelajar. Pertama, pelajar yang telah berusaha sehabis baik dan telah mendapat keputusan yang juga baik dalam SPM. Pelajar seperti ini, janganlah sekali-kali anda lupa untuk bersyukur kepada Allah. Jangan dirasakan bahawa keputusan yang baik itu adalah hasil usaha kita semata-mata, tetapi tanamkanlah ingatan bahawa itu adalah satu rezeki dan kurniaan daripada Allah. Kealpaan kita daripada bersyukur akan nikmat Allah, boleh mengakibatkan Allah menarik balik nikmat itu daripada kita. Oleh sebab itulah, ada dalam kalangan pelajar yang walaupun cemerlang ketika SPM, tetapi akhirnya jatuh tersungkur ketika melangkah masuk ke alam pengajian tinggi. Harus difahami, “jatuh tersungkur” yang dimaksudkan di sini bukan hanya merujuk kepada kegagalan dalam akademik, tetapi yang lebih teruk daripada itu adalah kejatuhan akhlak dan hancurnya aqidah seseorang itu. Maka, jangan sombong dengan Allah – keputusan SPM yang baik itu adalah kurniaan daripada Allah dan bukan disebabkan kehebatan kalian. Kita hidup bukan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang baik; kita hidup untuk mati.
Pelajar jenis kedua, yang telah berusaha sehabis baik tetapi tidak mendapat keputusan yang baik. Pelajar yang seperti ini, belajarlah untuk redha. Janganlah terlalu kecewa dan bersedih hati kerana ujian nasional (seperti SPM) bukanlah satu ujian yang adil untuk semua orang. Ada banyak jalur kehidupan dan jalur kerjaya yang tidak diukur dengan adil melalui SPM. Keputusan yang tidak baik itu juga adalah kurniaan daripada Allah. Mungkin Allah ingin menegur kalian atas sebab kesalahan-kesalahan yang mungkin pernah dilakukan. Mungkin juga Allah ingin “memanggil” kalian, sebagai tanda kasih, kerana kebiasaan manusia apabila dilanda kesedihan barulah ingin mengingati Tuhan. Mungkin juga kerana Allah mempunyai satu perancangan yang lebih baik untuk kalian. Saya sendiri beberapa kali mengalami kekecewaan dalam kehidupan, yang apabila dilihat balik peristiwa itu 5-10 tahun selepas itu, saya sangat bersyukur atas kekecewaan yang dihadapi tersebut. Redha, dan bersangka baiklah dengan Allah. Kita hidup bukan untuk mendapat keputusan peperiksaan yang baik; kita hidup untuk mati.
Pelajar jenis ketiga, adalah yang tidak berusaha dengan baik tetapi mendapat keputusan yang baik. Saya yakin, ramai dalam kalangan kita pernah berjumpa dengan orang yang seperti ini. Orang seperti ini, adalah orang yang dikurniakan rezeki oleh Allah. Maka, memang wajiblah baginya untuk bersyukur dengan sebanyak-banyaknya. Bagi orang seperti ini, wajib dia bersyukur dan juga sentiasa bermuhasabah; takut-takut kalau nikmat yang Allah kurniakan itu sebenarnya adalah merupakan istidraj – yakni satu bentuk hukuman dalam bentuk kelalaian, yang merupakan tanda kemurkaan Allah yang sangat besar terhadap seseorang itu. Rendahkan diri, bersedialah untuk menerima teguran, dan gunakanlah rezeki yang Allah kurniakan itu untuk membantu agama Allah. Itulah cara bersyukur. Jangan disia-siakan peluang yang diberikan; dan janganlah digunakan rezeki yang diberikan itu untuk mengejar kehidupan duniawi semata-mata. Ingatlah bahawa kita hidup adalah untuk mati.
Jenis pelajar yang keempat pula, adalah yang tidak berusaha dan lantas tidak mendapat keputusan yang baik. Pelajar seperti ini, biasanya mudah untuk redha. Mudah bagi mereka untuk menerima keputusan yang tidak baik itu kerana memang itulah keputusan yang selayaknya dengan usaha mereka yang tidak seberapa. Namun, apa yang paling penting adalah kalian belajar daripada kesilapan. Membuat kesilapan itu adalah lumrah manusia; tetapi yang menjadikan manusia itu makhluk yang baik adalah kita insaf dan belajar daripada kesilapan. Ingatlah bahawa belajar daripada kegagalan itu jauh lebih baik daripada lalai dalam kejayaan. Maka, dalam redha itu, bersyukurlah juga kerana Allah telah memberikan satu pembelajaran berharga dalam kehidupan. Paling penting, janganlah berputus asa kerana putus asa itu bukan sifat seorang muslim, malah putus asa itu merupakan salah satu dosa besar dalam Islam. Zaman sekarang, ada terlalu banyak ruang dan peluang untuk mereka yang tidak cemerlang dalam SPM. Jangan kecewa, dan berusahalah. Kerana hidup ini bukan untuk mengejar kesenangan dunia, tetapi hidup ini adalah untuk mati.
#2 – Belajar, jangan kerja
Pesanan ini mungkin sesuatu yang agak kurang popular, dan mungkin bertentangan dengan pesanan daripada kebanyakan orang-orang yang mendakwa diri mereka “berpengalaman dalam hidup”. Kepada adik-adik lepasan SPM saya berpesan: jangan cari kerja. Saya ulang, jangan cari kerja, tapi carilah ilmu. Gunakan masa lapang yang ada sebelum kemasukan ke institusi pengajian tinggi untuk belajar. Cari ilmu, cari pengalaman. Percayalah, masa yang kalian punyai sekarang adalah masa yang sangat berharga untuk pembinaan akal dan jiwa kalian. Kalian tiada komitmen, kalian masih dalam suasana seorang pelajar – maka belajarlah. Jangan bazirkan masa mengejar duit; kerana, apabila kalian sudah mula “masuk” ke alam pekerjaan, separuh “jiwa pelajar” kalian akan hilang. Gunakan masa lapang ini untuk menghadiri kelas-kelas pengajian ilmu, libatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan untuk menimba pengalaman dan membina kemahiran. Asas ilmu yang kukuh – khususnya ilmu agama – dan kemahiran insaniah (soft skills) adalah sangat penting bagi para pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kerana kehidupan di alam institusi pengajian tinggi menjanjikan cabaran yang sangat dahsyat. Paling dahsyat adalah cabaran pemikiran; oleh sebab itu ramai remaja muslim yang mula “terpesong” dan terpdaya dengan aliran-aliran pemikiran yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah ini ketika berada di institusi pengajian tinggi. Saya berpesan daripada pengalaman, kerana ini yang kami lakukan dahulu selepas mendapat keputusan SPM. Saya boleh kongsikan pengalaman itu, hubungi saya.
#3 – Kejar minat
Pesanan ini mungkin nampak mudah, tetapi hakikatnya melalui pengalaman saya ramai dalam kalangan remaja muslim pada hari ini yang tidak mampu mengejar minat dengan betul. Salah satu sebabnya adalah kerana ramai yang tidak jelas akan minat dan kecenderungannya sendiri, dan satu lagi adalah kerana minat dan kerjaya yang dikejar tidak dibuat atas asas kefahaman agama yang kukuh. Bukan semua yang diminati itu benar; yang tidak benar tetapi diminati, itulah kecenderungan nafsu syahwat. Apa jua bidang yang ingin dipelajari, pastikan niatnya adalah supaya kalian kelak boleh menyumbang sesuatu untuk Islam. Ramai orang pada hari ini menjadikan kriteria “pasaran kerja” untuk memilih bidang pengajian. Bagi saya itu satu kebodohan – dan itu telah menyumbang kepada ramai tenaga kerja yang sub-standard pada hari ini; kerana bidang yang diceburi tidak selari dengan minat dan kecenderungan. Jika kalian perlukan bantuan untuk menerokai minat dan kecenderungan, boleh hubungi saya.
Wallahu’alam.