Daripada Abi Malik al Asy'ari radhiyallahu 'anh berkata, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang maksudnya):
"Bersuci (berwudhu') ialah sebahagian daripada iman, ucapan 'Alhamdulillah' itu memenuhi timbangan al Mizan, ucapan 'Subhanallah' dan 'Alhamdulillah' kedua-duanya memenuhi timbangan apa yang ada di langit dan di bumi. Solat itu adalah cahaya (penyuluh jalan kebaikan), sedekah pula ialah bukti kebenaran iman, sabar adalah sinaran, al Quran pula ialah hujjah bagi kamu atau hujjah ke atas kamu. Semua manusia akan keluar berpagi-pagian berusaha untuk dirinya. Orang yang menjual dirinya kepada Allah maka dia telah membebaskan dirinya dari azabNya, atau sesiapa menjual dirinya kepada syaitan maka dia telah mengundang azab buat dirinya." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim, Ahmad, al Tirmizi, dan lain-lain) [1]
Salah satu kurniaan Allah yang paling besar untuk kita adalah diberikan keimanan kepada kita. Keimanan menuntut kepada bukti, maka salah satu bukti keimanan tersebut adalah kesanggupan dan kemampuan kita untuk bersedakah dan berinfaq harta ke jalan-Nya. Oleh sebab itu, manusia yang paling hebat imannya selain daripada para Nabi dan Rasul yakni Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq radhiyallahu 'anh telah menginfaqkan KESELURUHAN hartanya kepada baginda Rasulullah untuk kepentingan Islam. Kita tidak mungkin mampu melakukan sedemikian rupa, kerana keimanan kita tidak mungkin mampu menyaingi keimanan Sayyiduna Abu Bakar al Siddiq. Namun, bukan bermakna kita tidak boleh berusaha sedaya upaya kita untuk menyaingi tahap keimanan yang tinggi yang dimiliki oleh orang-orang soleh yang terdahulu.
Walaupun sedekah dan infaq harta ini bunyinya mudah, tetapi hakikatnya tidaklah semudah itu. Berapa ramai dalam kalangan kita, yang lebih banyak menghabiskan harta untuk rumah, kereta, dan keperluan diri, berbanding menghabiskan harta untuk kepentingan Islam? Kemungkinan, kita semua seperti itu - termasuk saya yang menulis ini. Kita lebih rela berhabis duit untuk keselesaan hidup di dunia yang sementara ini, sedangkan kita lupa bahawa harta yang kita sedekah dan infaqkan itulah bekalan yang akan kita bawa untuk dunia abadi.
Ayuh kita bersedekah dan berinfaq harta untuk kepentingan Islam, walaupun sedikit, kerana itu tanda kita masih ada sedikit keimanan.
-----
Untuk menyumbang kepada Tahfiz As-Sofa, berzakat, berwaqaf, mengadakan kerjasama, dsbnya, hubungi saya:
011-37251174 (Naim Zulkipli)
naim@yayasansofa.com.my