Benarkah Sambutan Maulid Nabi Itu Bid'ah?

Benarkah Sambutan Maulid Nabi Itu Bid'ah?

Ada seorang pelajar IPT bertanyakan saya, "benarkah sambutan maulid itu bid'ah"? Kasihan pelajar IPT kerana dikelirukan dengan persoalan lapuk yang sudah dijawab berjela-jela oleh para ulama semenjak zaman-berzaman.

Saya orang jahil, jadi saya pun tidak mampu mengeluarkan pandangan serta jawapan. Maka saya ingatkan kembali ajaran guru-guru kami, dan saya baca kitab kecil bertajuk "Maulid Nabi Dalam Neraca Nabawi" yang ditulis oleh Al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Muhammadi, terbitan Sofa Production (cetakan Mac 2005).



Kesimpulan yang saya dapat daripada kitab tersebut:

Pihak-pihak yang menuduh bid'ah (baca: bid'ah dholalah) sambutan maulid hanya menyandarkan tuduhan mereka itu kepada satu hadith sahaja, yakni hadith Nabi tentang "bid'ah". Mereka tidak mempunyai dalil lain yang jelas dan terang untuk menuduh perbuatan maulid sebagai bid'ah, melainkan mereka memutar belit maksud daripada nas atau menipu atas nama ulama.


Manakala bagi Ahli Sunnah wal Jamaah, mereka melakukan sambutan Maulid Nabi dengan bersandarkan kepada banyak dalil, naqli dan aqli. Antara dalil-dalilnya adalah:


1. Ayat al Quran, Surah al A'araf ayat 157. Dalam ayat ini Allah menyatakan bahawa orang yang memuliakan baginda Rasulullah adalah orang yang beruntung. Merayakan Maulid Nabi termasuk dalam rangka memuliakan baginda Rasulullah.


2. Surah al Haj, ayat 32. Membesarkan syiar Allah adalah tanda ketaqwaan. Rasulullah adalah antara syiar Allah.


3. Surah al Ahzab, ayat 56. Amalan selawat, yang merupakan intisari utama majlis Maulid Nabi, adalah antara amalan terpenting yang dikehendaki ke atas orang beriman.


4. Surah Yunus, ayat 58. Arahan Allah supaya bergembira dengan kurniaan dan rahmat Allah. Ibn Abbas berpendapat bahawa rahmat Allah itu adalah Rasululullah, sesuai dengan ayat 107 surah al Anbiya'.


5. Surah Hud, ayat 120. Hikmah menceritakan kisah para rasul adalah sebagai menambah kemantapan jiwa Rasulullah. Maka menceritakan kisah baginda Rasulullah pasti dapat menetapkan hati orang-orang Mukmin.


6. Hadith tentang azab neraka yang diringankan terhadap Abu Lahab kerana pernah bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad. Hadith ini disebutkan di dalam Sohih Bukhari.


7. Hadith tentang perbuatan Rasulullah yang berpuasa pada setiap hari Isnin, atas sebab baginda dilahirkan pada hari Isnin. Ini dalil yang menunjukkan bahawa baginda Rasulullah sendiri memperingati atau meraikan hari kelahiran baginda.


8. Secara logik akal, jika diamati semua perbuatan yang dilakukan di dalam majlis maulid adalah perbuatan mulia yang ada anjurannya dalam agama. Menceritakan kisah Nabi, memuji Nabi, berselawat ke atas Nabi, bersedekah, membaca al Quran, membuat kenduri dan menjamu tetamu, dan sebagainya adalah perkara-perkara mulia dan baik. Adakah dengan melakukan perkara seperti ini, seseorang itu dihumbankan ke dalam neraka?


Apakah kerana memuliakan seorang insan yang paling dikasihi dan dicintai oleh Allah, maka kita akan mendapat kecelakaan? Akal yang sihat boleh menemui jawapannya.


Wallahu'alam.


[ Rumusan daripada kitab "Maulid Nabi Dalam Neraca Nabawi" oleh Al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Muhammadi ]
Previous
Next Post »