Dalam keresahan masyarakat di negara ini mencari penerbangan MH370 yang hilang, terserlah kelemahan umat Islam di negara ini. Begitu ramai umat di negara ini yang rancak membincangkan pelbagai teori dan kemungkinan atas kehilangan penerbangan MH370 tersebut, namun tidak ramai yang benar-benar mampu ‘menerima’ dan ‘pasrah’ bahawa kehilangan penerbangan tersebut adalah takdir Allah Subhanahu wa ta’ala. Benar, memang kita perlu berusaha tetapi usaha tersebut haruslah didasari dengan kefahaman bahawa setiap yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala; tetapi apa yang berlaku hari ini adalah, setelah kita penat berusaha dan penat memikirkan segala teori, barulah kita pasrah terhadap kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Itu terbalik.
Kehidupan kita akan menjadi lebih terpandu sekiranya perjalan hidup kita sentiasa dipandu oleh ‘ulama. Di dalam kes kenderaan yang hilang, sudah ada panduannya daripada hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Seperti yang diterangkan oleh guru kami al ‘Allamah al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Sanusi, bahawa disebutkan di dalam sebuah hadith yang dirakamkan oleh Imam al Nawawi di dalam kitab beliau “Al Azkar”; hadith daripada Abdullah ibn Mas’ud, daripada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang telah bersabda (lebih kurang maksudnya): “Apabila terjadi seekor binatang (kenderaan) salah seorang dari kalian terlepas di bumi (tempat) yang luas (lapang) maka hendaklah ia berseru:
(Wahai hamba-hamba Allah, tahankanlah.. wahai hamba-hamba Allah, tahankanlah..)
Sesungguhnya bagi Allah Azza wa Jalla di bumi ini ada ditugaskan penjaga (haashir), ia akan menahannya.”
Hadith ini dimuatkan oleh Imam Nawawi di dalam kitab Al Azkar di bawah bab tentang musafir. Maka menurut al ‘Allamah al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki al Sanusi, hadith ini adalah tentang kenderaan yang terlepas daripada kawalan ataupun hilang daripada jagaan. Maka, sebagai seorang muslim yang beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, tidak seharusnya kita menjadikan teknologi sebagai sandaran utama dalam menyelesaikan masalah penerbangan yang hilang ini; tetapi sebaliknya hendaklah kita kembali kepada Al Qur’an dan Al Sunnah sebagai sumber utama kerana apabila kita menyerahkan segala-galanya kepada Allah maka Allah akan menguruskan segala permasalahan dunia kita.
Dalam hal ini juga, saya terpanggil untuk menyentuh sikap sekelompok parti politik (pemimpin dan para penyokong mereka) yang mengambil sikap (seperti biasa) untuk menyalahkan pihak kerajaan, mengkritik kelemahan kerajaan, serta meremeh-meremehkan usaha yang dilakukan dalam mencari penerbangan MH370 yang hilang. Kerakusan mereka dalam “menelanjangi” segala kelemahan kerajaan demi mengejar kekuasaan (kononnya atas nama “keadilan” dan “perjuangan Islam”) mengakibatkan banyak huru-hara dan keresahan dalam masyarakat. Nasihat saya kepada mereka, tundukkanlah diri kalian di hadapan seorang ‘ulama yang ‘aamiliin dan kembalilah kepada jalan yang benar.
Marilah kita sama-sama berdoa semoga penerbangan tersebut dapat dijumpai dengan segera, dan semoga Allah mengurniakan kekuatan kepada ahli keluarga yang terlibat serta semua yang terlibat di dalam misi "search and rescue".
Wallahu’alam.
#prayforMH370