Selamat Menyambut Kedatangan Bulan Rejab 1435H

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih. Segala lafaz pujian hanya selayaknya bagi Allah ‘azza wa jalla, Tuhan seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan agung Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, serta ke atas ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat yang terpuji.

Bulan Rejab 1435H sudah menyingkap tirainya.


Media sosial dan Internet semakin menjadi sebahagian besar daripada kehidupan manusia masa kini. Sesuatu berita atau teks boleh menjadi viral dalam masa yang sangat singkat dan seterusnya mencetuskan satu ‘fenomena’ jangka pendek yang segera. Pada awal bulan Rejab 1435H ini – seperti juga pada awal bulan Rejab tahun-tahun sebelumnya – tersebar satu teks yang menyatakan tentang kelebihan bulan Rejab, kelebihan amalan-amalan bulan Rejab, serta kelebihan-kelebihan mengingatkan orang lain tentang bulan Rejab. Ramai yang menyebarkannya, dan ramai juga yang membantah dan menolak isi kandungan teks tersebut.

Alhamdulillah, pada 30 April 2014 bersamaan 1 Rejab 1435H bertempat di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang, tuan guru yang mulia al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Sanusi telah memberikan penerangan tentang ‘fenomena’ teks fadhilat bulan Rejab tersebut.

Al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Sanusi menerangkan bahawa, al Hafiz Ibnu Hajar al Asqalani menyatakan bahawa tidak ada hadith sahih tentang kelebihan bulan Rejab atau hadith sahih tentang amalan-amalan di bulan Rejab yang boleh dijadikan sandaran. Namun, Al Muhaddith Dr. Mahmud Said bin Muhammad Mamduh al Syafi’i menyatakan bahawa walaupun tidak ada satu hadith pun tentang kemuliaan bulan Rejab, cukuplah kita memahami bulan Rejab adalah bulan yang mulia kerana ia termasuk salah satu bulan haram.

Hal yang penting difahami di sini adalah, pertama sekali, adalah merupakan satu kesalahan untuk menyebarkan teks tentang fadhilat Rejab dan menyatakan ia sebagai hadith sedangkan ia bukanlah hadith. Menyatakan sesuatu yang bukan hadith sebagai hadith (mendustai Rasulullah) adalah kesalahan besar dan balasan bagi perbuatan tersebut adalah neraka (sepertimana disebutkan di dalam hadith). Sekalipun isi kandungan sesuatu teks itu adalah sangat baik, tidaklah boleh kita mensabitkan teks tersebut sebagai sabdaan Rasulullah jika ternyata ia bukanlah hadith. Jika teks tersebut adalah kata-kata ulama, hendaklah dinyatakan teks tersebut adalah kata-kata dan pandangan ulama tersebut, bukan disandarkan kepada Rasulullah. Dalam hal ini, pihak yang sewenangnya menyebarkan teks tersebut, tanpa terlebih dahulu mengkaji kesahihannya, perlu insaf dan menilai kembali tindakan mereka.

Kemudiannya, perlu juga difahami bahawa ketiadaan hadith sahih tentang kelebihan amalan di bulan Rejab bukan bermakna tidak boleh ditingkatkan amalan di bulan ini. Sebaliknya, meningkatkan amalan di bulan Rejab adalah merupakan satu perkara yang baik dan boleh dilakukan kerana tidak ada nas qat’ie yang melarang peningkatan amalan di bulan Rejab. Maka, sesiapa yang ingin berpuasa sunat, membanyakkan sadaqah, menambahkan solat sunat dan sebagainya perlu digalakkan. Apa yang penting adalah amalan-amalan yang dilakukan itu tidak bercanggah dengan al Qur’an dan al Hadith. Dalam hal ini, pihak yang gelojoh menghukum bid’ah amalan-amalan yang dilakukan di bulan Rejab perlu insaf dan merenungi kembali dengan akal yang sejahtera dan hati yang murni akan tindakan mereka itu kerana perlakuan mereka menjauhkan manusia daripada kebaikan.

Perlu difahami bahawa kadang kala, para ulama menganjurkan amalan-amalan tertentu untuk dilakukan pada masa-masa tertentu – yang tidak disebutkan secara jelas dalam hadith – sebagai hikmah mereka untuk mendekatkan umat kepada Allah, dengan memahami keadaan dan situasi umat semasa. Kadang kala, melalui pengalaman mereka, mereka juga menyatakan fadhilat dan kelebihan sesuatu amalan tersebut. Justeru, apa yang diajar dan disampaikan oleh para ulama tersebut tidak boleh sama sekali disabitkan sebagai hadith. Namun, tidaklah bermakna apa yang disampaikan itu perlu ditolak dan tidak boleh diamalkan. Apa yang diajar oleh para ulama tersebut boleh ditolak dan boleh juga diterima dan diamalkan selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip daripada al Quran dan al Hadith.

Apapun, perkara yang terpenting yang perlu difahami adalah kita hendaklah sentiasa merujuk kepada para ulama yang benar-benar memiliki autoriti ilmu apabila kita tidak mempunyai ilmu tentang sesuatu perkara itu. Kita hendaklah tidak gelojoh dalam menerima, menyebar dan mengamalkan sesuatu perkara yang disebarkan. Sebaliknya hendaklah kita merujuk terlebih dahulu kepada para ulama, bukannya membuat kesimpulan sendiri dengan berbekalkan akal yang gersang daripada ilmu dan hati yang kontang daripada ma’rifah.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »