Pemansuhan sepenuhnya PPSMI perlu disegerakan

Pemansuhan sepenuhnya PPSMI perlu disegerakan

Keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) adalah sangat dialu-alukan oleh IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA (ISMA). Walau bagaimanapun, tarikh pemansuhan sepenuhnya yang hanya berkuatkuasa pada 2021 dilihat kurang wajar.
ISMA menganggap pengumuman ini adalah satu penangguhan. ISMA bimbang sikap tidak konsisten pembuat keputusan akan menimbulkan keresahan berterusan majoriti rakyat, terhadap masa depan pendidikan anak-anak mereka dan nasib Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan diperjudikan.

Ia berdasarkan kajian Kementerian Pendidikan sendiri menunjukkan hanya 5-7% sekolah seluruh negara telah menggunakan Bahasa Inggeris sepenuhnya sebelum ini, manfaat dari penangguhan ini adalah kurang jelas. Di samping itu, kajian-kajian lain juga jelas menunjukkan pencapaian pelajar dalam sains dan matematik lebih baik sebelum Dasar PPSMI dilaksanakan. Oleh itu, penangguhan ini akan lebih banyak memberi kesan buruk.
ISMA berpandangan pemartabatan Bahasa Melayu tidak dapat dicapai hanya melalui slogan-slogan dan saranan-saranan yang dilaungkan dalam Bulan Bahasa Kebangsaan sahaja. Iltizam yang kukuh perlu ditunjukkan melalui polisi pendaulatan Bahasa Melayu yang konsisten.
ISMA memberi amaran agar tidak ada pihak-pihak yang terus menerus mengambil kesempatan dalam senario politik semasa untuk mengugut kerajaan dengan risiko kehilangan sokongan, jika tidak meneruskan Dasar PPSMI.
ISMA menuntut agar kerajaan tidak berlembut dalam mempertahankan prinsip kenegaraan, terutama berkaitan kedudukan Bahasa Melayu, hanya disebabkan tekanan politik. Ini kerana, jika semua prinsip asas dan dasar kenegaraan dijadikan bahan berpolitik, negara akan terdedah kepada bahaya besar.
ISMA yakin kekayaan bahasa Melayu sebagai bahasa intelektual dan bahasa kebangsaan dan ia mampu menjadi bahasa penghantar yang berkesan untuk pelajaran Sains dan Matematik. Ia adalah bahasa yang setanding dengan pelbagai bahasa bangsa lain di dunia. Oleh itu, Malaysia akan tetap mampu menjadi negara maju seperti Jepun, German, Italy dan Perancis, walaupun tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa sains dan teknologi.
ISMA menyeru agar seluruh rakyat Malaysia terus memupuk rasa cinta dan bangga terhadap Bahasa Melayu kerana ia merupakan lambang jatidiri unggul dan keunikan yang perlu dipertahankan.
Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)






Sumber: Laman Web ISMA
Previous
Next Post »