Majlis Bicara Intelek


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan Empunya seluruh alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat seluruhnya.


Pagi tadi berkesempatan untuk menghadiri Majlis Bicara Intelek anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui Kolej Komuniti Kuching dengan kerjasama SABERKAS. Program di Hotel Hilton itu menampilkan Dato’ Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) serta Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg (Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, merangkap Presiden SABERKAS) sebagai panelis untuk ‘berbicara’ dengan lebih kurang 100 orang belia terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti, IPT-IPT lain serta wakil-wakil NGO belia.

Antara yang ditekankan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah adalah tentang pentingnya memperkasa budaya ilmu sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang cemerlang. Dato’ Saifuddin juga telah menerangkan tentang ciri-ciri masyarakat berbudaya ilmu, memetik daripada tulisan ‘disciple’ (memetik istilah beliau) kepada Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yakni Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Saya kira apa yang ditekankan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah itu harus diambil secara sangat serius, bukannya sekadar ditanggapi sebagai ucapan ‘kosmetik’ semata-mata. Saya tertarik untuk menghurai lebih lanjut daripada ciri-ciri masyarakat berbudaya ilmu yang disebut oleh Dato’ Saifuddin.

Ciri pertama masyarakat berbudaya ilmu adalah meletakkan ilmu dan ilmuan di kedudukan yang tertinggi. Hal ini, secara nyata, masih belum berlaku di dalam masyarakat kita. Buktinya, banyak keputusan-keputusan yang dibuat di dalam masyarakat tidak mengambil kira secara serius pandangan daripada para ilmuan. Di dalam sistem pendidikan kita, yang dijadikan penekanan kepada para pelajar adalah keputusan ujian yang diperolehi, bukannya kefahaman terhadap ilmu yang seharusnya dipelajari. (Mungkin perlu ditekankan: sistem peperiksaan yang ada sekarang TIDAK sepenuhnya menguji kefahaman terhadap ilmu.) Di dalam negara kita, aspek ekonomi serta pembangunan infrastruktur (jika ada pun pembangunan manusia, itu juga adalah untuk menjurus ke arah pembangunan ekonomi dan infrastruktur) diberikan keutamaan yang begitu tinggi sedangkan aspek pendidikan seolah-olah dipinggirkan. Masyarakat kita lebih mengenali artis daripada ilmuan, sedangkan rendahnya darjat seorang artis jika hendak dibandingkan dengan seorang ilmuan adalah ibarat langit dan bumi. Di dalam masyarakat kita juga, apabila ada majlis-majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa pun, bayaran kepada seorang artis untuk membuat persembahan selama satu jam adalah berpuluh kali ganda lebih tinggi daripada bayaran kepada seorang ilmuan untuk berceramah selama satu jam. Itu nilaian masyarakat kita terhadap ilmu dan ilmuan – menandakan masyarakat kita masih tidak berbudaya ilmu!

Masyarakat berbudaya ilmu adalah masyarakat yang sentiasa melibatkan diri mereka di dalam aktiviti keilmuan. Lihatlah sekeliling kita, adakah perkara ini berlaku? Pelajar yang masuk ke universiti tidak sabar-sabar hendak keluar dan bergraduat. Pesan ibu ayah, pakcik makcik: “cepat-cepat habis belajar”. Persoalan: kenapa perlu cepat-cepat? Seolah-olah universiti itu satu ‘penjara’ yang tidak wajar diduduki lama-lama. Sedangkan jika benar berbudaya ilmu, maka ambillah masa yang diperlukan walaupun lama untuk benar-benar menguasai bidang itu! (Ini mungkin lebih menjurus kepada permasalahan sistem.) Dan, apakah proses belajar itu ada ‘habisnya’? Proses belajar itu tidak akan pernah habis, walau sampai ke tua. Kerana ilmu Allah itu Maha Luas.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya: “Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Di dalam masyarakat kita fenomena merasakan diri sudah ‘habis belajar’ itu menular. Pengalaman saya sendiri yang sungguh menyedihkan, apabila kami menganjurkan program seminar bersiri yang ilmiah berkaitan pembentukan pandangan alam Islam, ada di kalangan generasi tua yang mengatakan bahawa dirinya sudah ‘tidak perlu’ menghadiri program-program seperti itu. Ini sikap anti-budaya ilmu.

Banyak dan panjang lagi perbincangan jika kita ingin menilai sejauh mana masyarakat kita berbudaya ilmu. Cukuplah dengan huraian di atas untuk kita memahami betapa masyarakat kita masih jauh daripada berbudaya ilmu – dan hal ini perlu kita risaukan kerana masyarakat yang tidak berbudaya ilmu adalah masyarakat yang lemah, masyarakat yang boleh dijajah serta dipengaruhi dengan mudah.

Apapun, program-program seperti Majlis Bicara Intelek yang dianjurkan pada pagi tadi (7 November 2010) perlu dibanyakkan lagi serta ditambahbaik dari segi pelaksanaannya. Mungkin boleh dinaiktaraf kepada bentuk bengkel atau kolokium yang lebih panjang, supaya lebih banyak masa untuk berdiskusi. Syabas dan tahniah kepada Dr. Abdul Rahman Junaidi dan jawatankuasa penganjur.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »