Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih.
Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Pemilik ‘Arasy yang agung, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.
Syukur ke hadrat Allah, pada 29 – 31 Oktober 2010 yang lalu kami telah selesai mengadakan program Bengkel Rakan Sebaya Belia Miri 2010 bertempat di Eastwood Golf & Country Resort, Miri. Walaupun pada asalnya program tersebut mensasarkan penyertaan sebanyak lebih kurang 100 orang belia Islam dari sekitar bahagian Miri, namun kehadiran sebanyak 34 orang peserta sudah lebih daripada memadai untuk membolehkan program dijalankan. Apa yang penting adalah mesej dan pengisian program boleh disampaikan kepada belia-belia Islam di Miri.
Sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk mengumpul para belia hadir ke program-program latihan dan pendidikan seumpama itu, apatah lagi di masa kini di mana para belia (termasuk juga orang yang lebih dewasa, sebenarnya) rata-rata semakin ‘asyik’ dan ‘mabuk’ dalam pelbagai bentuk hiburan dan ‘dunia fantasi’ seperti Facebook, Astro, dan sebagainya. Harus diketahui – juga difahami, dan diakui – bahawa kewujudan laman sosial di Internet (seperti Facebook) serta ledakan rancangan hiburan di kaca televisyen (seperti yang dibawa melalui Astro) sebenarnya telah menghakis kualiti perhubungan sesama insan. Perkara ini malah turut disedari di Barat (baca di sini), justeru seharusnya lebih patut disedari oleh kita yang beragama Islam kerana hubungan sesama manusia itu begitu banyak dibicarakan di dalam Islam.
Program kami selama 3 hari 2 malam di Miri tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Syukur, mungkin berkat daripada pembawaan Qasidah Nabawiyah sepanjang program. Qasidah puji-pujian terhadap penghulu segala makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang dikarang oleh para ‘ulama sudah tentu mengandungi rahsia-rahsia yang tersendiri, yang mampu melembutkan hati-hati insan. Syukur kepada Allah, sehingga ke hari ini, semua program-program kami yang kami bawakan Qasidah Nabawiyah di dalamnya tidak memerlukan kepada jawatankuasa disiplin untuk mengawal para peserta. Itu ‘barakah’ namanya, bagi yang tidak mengerti (atau tidak mahu mengerti).
Namun apa yang penting juga adalah sepanjang program tersebut kami telah membincangkan beberapa topik yang penting – yang memang seharusnya diutamakan. Topik-topik yang telah dibincangkan adalah “Aqidah Islam Sejati”, “Mengenali Rasulullah”, “Ilmu dan Pembudayaannya: Satu Keutamaan Masa Kini”, serta “Cabaran Umat Islam Hari Ini”. Melalui pengalaman peribadi saya, tema-tema seperti “Aqidah”, “Rasulullah”, dan “Ilmu” jarang sekali dibincangkan secara serius dan tuntas di dalam program-program latihan (termasuk di dalam gerakan-gerakan Islam). Tema-tema yang selalunya menjadi pilihan yang lebih popular adalah berkaitan “tanzim”, “khittah”, serta “isu-isu semasa”. Sedangkan, persoalan ‘aqidah serta hal-hal yang berkaitan dengannya adalah yang lebih utama – kerana itu dikategorikan oleh para ‘ulama sebagai “fardhu ‘ain”. Ternyata, melalui program kami di Miri – dan juga program-program kami yang lain sebelumnya – masih terlalu banyak yang perlu difahamkan kepada generasi belia hari ini (juga generasi dewasanya) akan hal ‘aqidah, syariat serta akhlaq.
Alangkah indahnya jika semua pihak yang aktif bergerak dalam dakwah Islam ini tahu mengutamakan yang utama.
Apapun, syabas dan tahniah kepada semua peserta program kerana telah memberikan komitmen. Mudah-mudahan apa yang kita rancangkan sebagai susulan daripada program akan dapat direalisasikan. Juga, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala memilih kalian untuk menjadi pendokong-pendokong Islam yang soleh di bumi Miri, serta menjadikan manfaat daripadanya buat kami di akhirat kelak. Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang telah sudi memenuhi undangan sebagai penceramah: Ustaz Al-Amin Daud, Ustaz Hasfa Bakhry, Ustaz Mohd. Hilmi Ramli dan Ustaz Ahmad Shaiful Alwi. Mudah-mudahan semuanya dirahmati Allah.