مَنْ سَلَكَ طَرِيْقًا يَلْتَمِسُ فِيْهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللهُ لَهُ طَرِيْقًا إِلَى الْجَنَّةِ
“Barangsiapa yang menuju suatu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan mempermudahkan baginya suatu jalan ke syurga.”
Menurut guru kami yang dikasihi Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, petikan daripada hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di atas telah dipilih oleh tokoh ulama agung era ini, Syeikhul-Masyayikh al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki untuk dilakarkan di hadapan pintu masuk ke rumah beliau di Makkah. Beliau memilih potongan hadith tersebut sebagai menunjukkan komitmen beliau terhadap hal-hal ilmu yang merupakan satu keutamaan bagi umat Islam.
Hadith di atas, beserta dengan banyak ayat-ayat al-Quran serta hadith-hadith yang lain, seharusnya menyampaikan kepada kita kefahaman yang jelas akan keutamaan serta kelebihan orang yang menuntut ilmu pengetahuan. Barangsiapa yang bersungguh-sungguh menuntut ilmu pengetahuan, maka Allah Subhanahu wa ta’ala akan menjadikannya semakin mudah untuk memasuki syurga Allah. Sudah tentu hal ini menjadi motivasi yang cukup besar untuk kita ‘meredah’ dan ‘menempuh’ jalan menuntut ilmu pengetahuan yang seringkali menuntut pengorbanan yang cukup besar.
Oleh sebab itulah, maksud daripada hadith ini seolah-olah memberitahu kita bahawa sekiranya kita telah bersusah-payah menuntut ilmu, maka Allah akan mempermudahkan jalan ke syurga. Tetapi sekiranya kita bermalas-malasan dalam menuntut ilmu, maka Allah akan menyukarkan pula jalan untuk kita ke syurga. Perkara ini tidak langsung bertentangan dengan kefahaman kita bahawa tujuan utama manusia diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Hal ini demikian kerana tanpa ilmu pengetahuan, mana mungkin seseorang itu dapat menyempurnakan tujuan tersebut dengan betul dan baik. Sepertimana disebut oleh Imam al-Ghazali bahawa “tidak sah sesuatu ‘ibadah, melainkan setelah dikenal yang disembah”.
Daripada perkara ini, dapat kita fahami bahawa “ilmu” yang dimaksudkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang apabila kita bersungguh-sungguh dengannya akan menyampaikan kita ke syurga itu, bukanlah merujuk kepada mempelajari apa sahaja jenis ilmu. Namun, secara lebih khusus yang dimaksudkan adalah ilmu agama; ataupun bidang ilmu yang dikategorikan oleh para ‘ulama sebagai ilmu fardhu ‘ain. Hal ini bukan bermaksud ilmu-ilmu lain seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya tidak penting dan tidak mendatangkan manfaat di hari akhirat. Mungkin sahaja ilmu-ilmu tersebut menjadi bermanfaat. Tetapi yang lebih penting dan utama adalah kita harus meletakkan setiap ilmu itu pada tempatnya yang wajar dan betul. Sudah tentu, ilmu agama itu kedudukannya lebih tinggi daripada ilmu-ilmu alat seperti sains, matematik dan sebagainya – justeru lebih wajar dipelajari, dan kerana itu dikategorikan sebagai ilmu fardhu ‘ain yang wajib dipelajari oleh semua orang.
Oleh sebab itulah di dalam sebuah hadith yang lain Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda:
مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهُ فِي الدِّينِ
“Barangsiapa yang Allah kehendaki baginya kebaikan, maka akan diberikannya kefahaman dalam agama.”
Justeru, kita perlu sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah. Bermuhasabahlah untuk kita menilai dan meneliti, sejauh manakah komitmen kita terhadap menuntut ilmu pengetahuan? Apakah usaha kita berterusan dalam memahami ilmu agama? Sejauh manakah pula kita bermujahadah dalam menuntut ilmu? Ingatlah pepatah Melayu, “yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Kita tidak akan dikurnikan dengan ilmu pengetahuan seandainya kita sendiri tidak menunjukkan kesungguhan untuk menuntut ilmu. Seringkali kita lebih cenderung untuk mengejar wang dan harta dunia, daripada kita melakukan pengorbanan seperti membelanjakan harta, berjauhan daripada keluarga, meninggalkan hiburan dan sebagainya untuk tujuan menuntut ilmu. Sedangkan, satu hakikat yang tidak ada sesiapa pun di dunia ini yang boleh menyangkal – tidak kira apa jua fahamannya – adalah bahawa kita semua akan mati. Setelah kita mati, kita akan dibangkitkan kembali dan akhirnya kita akan kembali ke rumah abadi – syurga atau neraka, buat selama-lamanya. Nah, bukankah telah diajarkan kepada kita melalui hadith di atas, bagaimanakah kaedahnya untuk kita mendapatkan rumah abadi di dalam syurga!
Ilmu pengetahuan itu adalah lebih utama daripada harta kekayaan.
Ilmu pengetahuan menjagamu, sedang engkau menjaga harta kekayaan.
Ilmu pengetahuan itu adalah hakim, sedang harta kekayaan yang dihukumkan.
Harta kekayaan akan berkurang bila dibelanjakan,
sedang ilmu pengetahuan akan terus bertambah bila dibelanjakan.
( Kalam Sayyiduna Ali karramallahu wajhah )