Berita Yayasan Sofa: Memuliakan 100 huffaz


[ Dipetik daripada Arkib Berita Kosmo di sini. ] 

Memuliakan 100 huffaz

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

PENERIMA Anugerah al-Syatibi 2010, Kamar Shah disarungkan sepersalinan jubah oleh Sheikh Muhammad Fuad.


KEMULIAAN para penghafal al-Quran banyak dinyatakan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dalam hadis Baginda dengan martabatnya yang pelbagai.

Salah satu yang masyhur diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy’ari yang bermaksud: “Di antara tanda membesarkan Allah adalah memuliakan orang tua Muslim, orang yang menghafal al-Quran dan memuliakan sultan yang adil.”

Menyedari kepentingan golongan huffaz Quran itu, Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) terpanggil untuk menyahut saranan itu yang merupakan amalan para ulama terdahulu.

Justeru, sejak tahun 2008, YSNS mewujudkan Program Ihtifal Takrim Huffaz al-Quran (Takrim al-Huffaz) yang dicetuskan oleh Penasihat YSNS, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki.

Menurut Sheikh Muhammad Fuad, 36, objektif penganjuran Takrim al-Huffaz itu bertujuan untuk memuliakan penghafaz al-Quran dan mengajak umat Islam meletakkan mereka di tempat yang tinggi dalam masyarakat.

Di samping itu, ia menjadi pendorong kepada para pelajar dan huffaz supaya lebih bersungguh-sungguh menghafaz dan menjaga hafalan mereka.


“Melalui program Takrim al-Huffaz ini, YSNS sentiasa memberi pengiktirafan kepada para penghafal al-Quran dengan niat untuk membesarkan keagungan Allah kerana mereka merupakan syiar agama Islam.

“Malah, kami berharap golongan ini akan mengambil peranan sebagai pemegang amanah Allah sekali gus mampu menjadi penggerak kepada tajdid umat Islam yang berlandaskan acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” kata beliau ketika ditemui pada majlis Takrim al-Huffaz di Kompleks YSNS, Chengkau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Tahun ini, seramai 100 huffaz dalam kalangan lelaki dan wanita berjaya dihimpunkan untuk menerima sumbangan berupa wang tunai dan kitab terbitan YSNS berjumlah RM600 setiap seorang. Sementara itu, Ketua Panitia Tahfiz di Institut Tahfiz al-Quran (Itqan), Gemencheh, Kamar Shah Ismail al-Hafiz, 38, dinobatkan sebagai penerima Anugerah al-Syatibi 2010.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, sepersalinan jubah, pakej mengerjakan umrah serta menerima elaun tetap sebanyak RM500 sebulan.


YSNS mengumpulkan 100 huffaz untuk menerima sumbangan wang tunai dan kitab di Chengkau, Negeri Sembilan baru-baru ini.


“Alhamdulillah, saya bersyukur di atas pengiktirafan yang diberikan pihak YSNS. Anugerah ini secara tidak langsung menguatkan semangat saya untuk terus menghulurkan bakti sebagai ahli al-Quran,” tutur Kamar Shah.

Huffaz cilik

Bagi mengiktiraf golongan pelajar yang cenderung dalam mengamalkan ilmu al-Quran, YSNS turut memperkenalkan Anugerah Tunas Harapan Imam Suyuti buat kali pertama tahun ini.

Selepas melakukan perbincangan, panel penilaian YSNS sepakat untuk memilih Muhammad Amir Naqiuddin Amir Zuhairi, 16, sebagai penerima sulung anugerah tersebut.

Pemilihan Muhammad Amir dibuat berdasarkan akhlak dan sahsiah tinggi yang ditunjukkannya sewaktu menuntut ilmu di Dar al-Quran dan Hadis, Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS).

Malah, anak kedua daripada lima adik-beradik itu tergolong sebagai pelajar yang mempunyai tahap prestasi cemerlang dalam bidang al-Quran sama ada dari segi hafalan mahupun bacaan.

Pada usia 15 tahun, Muhammad Amir sudah berjaya menghafaz al-Quran sepenuhnya dan bercita-cita untuk menjadi seorang pendakwah terkemuka satu hari nanti.

“Untuk menjadi huffaz, kita mesti menjaga pemakanan yang diambil pada setiap hari agar ia datang daripada sumber yang halal. Selain itu, saya banyak melakukan hafalan pada waktu malam sebab suasana ketika itu lebih tenang dan mendamaikan,” jelasnya sambil melahirkan rasa syukur atas anugerah yang diterima.

Muhammad Amir membawa pulang wang tunai RM5,000, selendang serta elaun tetap RM500 sebulan. Di samping itu, bermula saat ini pengajiannya akan dibiayai sepenuhnya sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D).

Semua elaun dan pembiayaan pengajian merupakan sumbangan peribadi Sheikh Muhammad Fuad sebagai tanda kasihnya kepada golongan huffaz.

Previous
Next Post »