Janganlah Biadab Dengan Sayyiduna Muhammad

Sambutan Maulidurrasul dihukum oleh sesetengah ‘ulama sebagai sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) memandangkan realiti umat pada hari ini yang sudah semakin jauh daripada mengenali baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sekaligus menjadikan umat hari ini semakin terasing daripada mengamalkan dan menghayati sunnah baginda. Buktinya, ada di kalangan umat pada hari ini yang dengan penuh biadab menyatakan bahawa Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam hanyalah seorang manusia biasa sebelum diturunkan wahyu ketika usia baginda 40 tahun; malah, mereka menyamakan Sayyiduna Muhammad itu dengan “muhammad-muhammad” lain seperti yang ada pada hari ini. Dakwaan tersebut adalah merupakan satu penghinaan kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana pada hakikatnya walaupun baginda adalah seorang manusia, tetapi baginda bukanlah seorang manusia biasa – kerana baginda manusia luarbiasa! Malah, kemuliaan baginda bukanlah bermula semenjak usia baginda 40 tahun, tetapi semenjak daripada awal penciptaan lagi!

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Husin ibnu Bisyran, antaranya melalui jalan Ibnu al-Jauzi di dalam kitab al-Wafa bi Fadhail al-Mustafa, dengan lafaz yang bermaksud: “Setelah Allah menjadikan bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu diciptakan tujuh langit dengan sempurna. Setelah itu, Allah menjadikan ‘Arasy, dan menulis pada tiang ‘Arasy ‘Muhammad Utusan Allah, Penutup Para Nabi’. Dia juga mencipta syurga yang didiami oleh Adam dan Hawa, lalu Dia menulis namaku pada pintu-pintu, daun-daun, kubah-kubah dan khemah-khemah syurga; sedangkan ketika itu Adam masih berada (dalam proses kejadiannya) di antara ruh dan jasad. Setelah Adam dihidupkan oleh Allah, dia memandang kepada ‘Arasy, maka dia melihat namaku. Lalu Allah memberitahu kepada Adam, ‘Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah penghulu keturunanmu.’ Ketika mereka (Adam dan Hawa) berjaya diperdayakan oleh syaitan, mereka bertaubat dan memohon syafa’at dengan (perantaraan dan keberkatan) namaku kepadaNya.” (Isnad riwayat ini kuat.)

Di dalam sebuah hadith lagi, daripada al-‘Irbadh ibn Sariyah, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah, penutup segala nabi, dan sesungguhnya ketika itu lembaga Adam ‘alayhissalam masih terdampar pada tanahnya. Aku akan mengkhabarkan kepada kalian tentang perkara tersebut. Aku adalah berkat doa ayahandaku, Nabi Ibrahim ‘alayhissalam, khabar gembira yang dibawa oleh Isa ‘alayhissalam dan ru’ya bondaku mengenai kenabianku. Demikian juga bonda-bonda para nabi melihat tanda-tanda kenabian anak-anak mereka. Sesungguhnya bonda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah melihat cahaya yang menerangi istana-istana Syam sehingga beliau dapat melihatnya ketika melahirkan Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.” (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi. Ibnu Hibban dan al-Hakim menghukumkan hadith ini sohih dan pentashihan ini diakui oleh al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani.)

Begitu juga dengan banyak kisah-kisah lain yang lebih masyhur yang menyampaikan kepada kita kefahaman yang jelas bahawa baginda Rasulullah adalah insan yang luarbiasa. Bayangkan, lahir sahaja baginda daripada perut ibu baginda dalam keadaan bersujud. Apakah ada anak-anak kita yang begitu? Api di biara majusi yang tidak pernah terpadam semenjak ratusan tahun tiba-tiba terpadam dengan kelahiran baginda. Saat Sayyiduna Muhammad diambil oleh Halimah as-Sa’diah, perjalanan mereka diiringi awan yang sentiasa menaungi baginda daripada panas terik mentari. Kambing-kambing peliharaan Halimah as-Sa’diah dan suaminya menjadi segar-bugar, penuh dengan susu. Saat kecilnya dan remajanya baginda didatangi malaikat yang membelah dada baginda dan membersihkan hati baginda – apakah ada anak kita yang mendapat peliharaan daripada Allah sebegitu rupa?

Janganlah kita biadab dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana tanpa baginda siapalah kita; beradablah dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana Allah Subhanahu wa ta’ala akan menghapuskan pahala amalan orang yang tidak beradab dengan baginda – dan dikhuatiri, jika terlampau biadabnya kita dengan Rasulullah, akan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Semoga Allah merahmati kita dan menghimpunkan kita bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

(Rujukan: kitab “40 Hadith Keistimewaan Rasulullah”, karangan asal Syeikh Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani yang diterjemah dan dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki)

Previous
Next Post »