Keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember 2009 yang membenarkan akhbar mingguan Kristian, “Herald – The Catholic Weekly” untuk menggunakan nama Allah sebagai terjemahan bagi perkataan “god”, yakni untuk merujuk kepada tuhan (seperti yang difahami oleh orang Kristian). Biarpun keputusan tersebut sudah dijangkakan kerana hakim yang membuat keputusan itu adalah seorang yang bukan beragama Islam, namun keputusan itu tetap menyedihkan dan menyakitkan hati. Bagaimana mungkin soal tentang penggunaan nama Allah diserahkan kepada mahkamah? Ini nama Tuhan! Seharusnya soal penggunaan nama Allah diserahkan kepada umat Islam.
Apapun, yang lebih menyedihkan dan menyakitkan hati adalah sikap segelintir di kalangan umat Islam sendiri yang menyokong dan menggambarkan persetujuan mereka dengan keputusan tersebut; seolah-olah memberikan izin dan kebenaran kepada orang Kristian untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada tuhan (seperti yang difahami oleh orang Kristian) di dalam tulisan-tulisan mereka. Cukup menyedihkan kerana di kalangan umat Islam sendiri seolah-olah tidak sensitif dengan nama Allah. Tambah menyakitkan hati, apabila mereka mengeluarkan hujah-hujah dan dalil-dalil yang lemah, termasuklah menggunakan akal fikiran mereka sendiri serta pandangan sesetengah ahli ilmu di kalangan mereka yang biadap. Mereka mengenepikan pandangan para ‘ulama dan para intelektual yang lebih kukuh. Ke mana perginya thiqah kita terhadap para ‘ulama kita? Mungkin kerana sudah terlalu ‘dibutakan’ dengan kefanatikan parti politik dan pemimpinnya, ketaksuban terhadap aliran pemikiran ‘kaum muda’ mereka, maka mereka dengan berani dan secara terbuka menentang orang-orang yang mahu mempertahankan nama Allah.
Justeru, saya hadirkan di dalam blog ini beberapa artikel dan penulisan ilmiah daripada para intelektual dan autoriti agama (semoga Allah meredhai dan merahmati mereka semua) sebagai penjelasan tentang mengapa kita tidak boleh membenarkan orang Kristian menggunakan nama Allah. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala membuka pintu hati kita semua – dengan keberkatan dan kemuliaan Nabi kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam – agar dapat menerima kebenaran dan seterusnya mendokongnya.