Tahun Baru dan Gerhana Bulan

Ramai di kalangan umat pada hari ini mungkin lebih ghairah menantikan kedatangan tahun baru Masihi (2010), daripada mereka ghairah menantikan dan menyambut kehadiran tahun baru Hijriah (1431). Sedangkan tahun baru Hijriah itu adalah kalendar orang Islam, tahun orang Islam; kalendar yang disusun dengan berdasarkan kepada peristiwa besar dalam sejarah Islam, yakni penghijrahan kekasih kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam dari Mekah ke Madinah al-Munawwarah.

Justeru, daripada kita membuang masa mengira-ngira bilakah detik ketibaan tahun 2010, seterusnya membuat aktiviti tidak berfaedah seperti melepak, melihat pertunjukan bunga api, menghadiri konsert, atau terlibat dengan hal-hal maksiat seperti berhimpun lelaki dan perempuan dalam keadaan lalai, melihat aurat dan meliarkan pandangan melihat perkara-perkara yang diharamkan, adalah lebih elok jika kita menghabiskan masa kita pada malam ini dengan aktiviti yang lebih berfaedah.

Pada malam ini akan berlaku satu peristiwa yang hebat yang seharusnya menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak lalai dalam mengingati Allah. Malam ini akan berlaku peristiwa gerhana bulan. Maka, daripada kita menghabiskan masa dengan kelalaian dan dengan aktiviti yang tidak berfaedah, marilah kita bersama-sama mengimarahkan masjid dengan melakukan ibadah sunat yang diajar oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersempena dengan peristiwa gerhana. Peristiwa gerhana bukan berlaku dengan selalu; maka adalah amat rugi jika kita melepaskan peluang ini untuk beribadah dan mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Di dalam sebuah hadith, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi.

Apatah lagi apabila peristiwa gerhana ini adalah peristiwa yang sebenarnya harus menghadirkan rasa cemas dan takut di dalam benak hati kita selaku hamba Allah Subhanahu wa ta’ala. Melalui peristiwa gerhana ini tergambar kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala, yang sepatutnya menggementarkan hati orang-orang yang berasa tenang dengan kelalaian dan dosa-dosa yang dilakukannya.

Maka, marilah kita bersama-sama berusaha untuk menghidupkan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kita gantikan perancangan kita untuk menyambut tahun baru Masihi (yang bukannya kalendar orang Islam) dengan beriktikaf dan mengimarahkan masjid. Daripada kita mengumpul dosa, lebih baik kita mengumpul pahala. Buat semua yang berada di sekitar kawasan KL & Selangor, program-program ibadah sempena gerhana bulan ada dianjurkan di beberapa masjid.

Program di Masjid Negara, yang melibatkan aktiviti Pencerapan Gerhana Bulan Separa, Pameran, Solat Sunat, Khutbah Gerhana, serta Pertandingan Kuiz akan dilaksanakan daripada jam 1.00 pagi hingga 6.00 pagi pada 1 Januari 2010 bersamaan 15 Muharram 1431. Ketika ramai orang yang lalai dengan keasyikkan sambutan tahun baru yang tidak ada faedahnya, ayuh ramai-ramai kita penuhkan masjid.

Di samping itu, tuan guru yang dikasihi Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki juga akan mengadakan program bersempena gerhana bulan di Masjid Taman TAR, Ampang. Program akan bermula pada jam 4.30 pagi (1 Januari 2010, 15 Muharram 1431) sehingga sekitar jam 8.00 pagi. Antara aktiviti yang akan dilakukan adalah Solat Sunat Gerhana, Khutbah Gerhana, Solat Subuh berjemaah, kemudian diikuti oleh sambungan pengijazahan baki kitab Musalsal Al-Asyraf, dan seterusnya diakhiri dengan sarapan pagi bersama-sama.

Ayuh, ajaklah seluruh keluarga kita untuk menghidupkan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Previous
Next Post »