Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Mulia, Maha Agung. Maha suci Allah, Pemilik ‘arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, semulia-mulia makhluk Allah yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.
Sebaik sahaja saya selesai mengerjakan solat Asar pada petang tadi (21 Ogos 2009) di Masjid UIAM, Gombak, terasa suatu perbezaan dan kelainan di jiwa. Terusik sekali jiwa, terasa seperti pertemuan dengan seorang teman yang begitu lama dirindui. Besar sungguh anugerah Allah, akhirnya Ramadhan tiba lagi dan saya – serta kita semua – masih lagi dipilih oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk menyertai “madrasah” terhebat ini.
Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang sangat mulia. Di bulan ini, umat Islam akan menjalani kewajipan berpuasa yang merupakan satu kewajipan yang sangat besar, dan terkandung di dalamnya begitu banyak rahsia dan khazanah yang sewajarnya direbut dan dikejar oleh semua umat Islam. Begitu besarnya erti dan nilai ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan ini tergambar melalui sabda baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di dalam sebuah hadith di mana baginda menyatakan bahawa sesiapa yang meninggalkan sehari puasa di bulan Ramadhan, tanpa keuzuran yang syari’i, maka dia tidak akan mampu membayar kesalahan itu sekalipun dia berpuasa seumur hidupnya.
Bulan ini adalah masa untuk umat Islam mengubah rutin harian mereka. Bulan ini adalah bulan “pesta ibadah”. Adalah suatu kerugian, malah tidak keterlaluan jika dikatakan suatu ‘kebodohan’, bagi sesiapa yang tidak mahu merebut dan mengaut sebanyak mungkin kebaikan yang boleh diperolehi di dalam bulan Ramadhan ini. Kadang-kadang terkilan juga, apabila melihat umat Islam pada hari ini apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka umat akan mula sibuk dengan juadah yang pelbagai. Rasanya, bermula beberapa hari sebelum bulan Ramadhan ini, beberapa rancangan masakan yang baru mula disiarkan di kaca televisyen. Seolah-olah, bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk ‘berpesta juadah’ ketika waktu berbuka puasa. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kefahaman yang kurang mendalam tentang falsafah dan erti ibadah puasa yang sebenar. Matlamat ibadah puasa di bulan Ramadhan bukan semata-mata untuk merasai pengalaman lapar dan dahaga, tetapi yang lebih penting dan lebih besar daripada itu matlamat yang perlu dicapai melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan ini adalah untuk mencapai darjat ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)
Di dalam khutbah Jumaat tengahari tadi, saya mendengar khatib berpesan kepada para jemaah bahawa ibadah puasa ini matlamatnya adalah taqwa, dan cara untuk melakukannya adalah dengan menambahkan taqwa yang sedia ada di dalam diri. Saya terfikir sejenak, apakah masyarakat pada hari ini sudah memahami apa yang dikatakan sebagai darjat ketaqwaan itu? Apakah masih ada orang yang akan sibuk dengan juadah berbuka puasa yang begitu banyak dan pelbagai apabila erti taqwa difahami? Apakah ada pihak yang akan sibuk menganjurkan “jualan hari raya” ketika bulan Ramadhan belum pun bermula, jika erti dan keutamaan mengejar taqwa itu difahami? Antara definisi taqwa yang diberikan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah sikap berhati-hati dengan segala hukum-hakam Allah di dalam menjalani kehidupan yang dianalogikan dengan sikap orang yang berjalan di jalanan yang penuh dengan duri. Sayidina Ali karamallahu wajhah pula menyebut empat ciri orang yang bertaqwa yakni: (1) redha dengan sedikit yang ada, (2) beriman dengan kitab yang diturunkan (al-Qur’an), (3) takut kepada Tuhan, dan (4) sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi hari akhirat. Nah, marilah kita bersama-sama menilai diri kita sendiri dengan panduan Al-Qur’an, Al-Hadith, dan guru murabbi yang mampu menunjukkan kita di mana kedudukan kita dalam meniti jalan menuju Allah Subhanahu wa ta’ala.
Apapun, apa yang penting sekarang ini adalah kita harus memanfaatkan dengan sebaik-baiknya kesempatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kita berjumpa sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Kesempatan untuk melaksanakan ibadah di dalam bulan mulia ini tidak mungkin sama dengan bulan yang lain. Bulan Ramadhan ini mempunyai nilainya yang tersendiri. Oleh sebab itu, di dalam kitab suci Al-Qur’an, bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut secara jelas namanya. Hal tersebut sudah tentu membayangkan kemuliaan dan kebesaran bulan Ramadhan, di samping banyaknya peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan Ramadhan yang sudah tentu juga membuktikan kemuliaan bulan ini. Antara keistimewaan besar bulan ini adalah peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kita meningkatkan kualiti kerohanian kita, berusaha mencapai darjat ketaqwaan yang merupakan maksud daripada ibadah puasa Ramadhan itu sendiri.
Inilah kesempatan yang paling besar untuk kita meningkatkan kualiti jiwa kita. Sesungguhnya manusia itu mempunyai dua musuh, syaitan dan nafsu syahwat. Di dalam bulan Ramadhan, disebutkan di dalam hadith bahawa syaitan-syaitan dikekang. Oleh sebab itulah lebih ramai orang dengan lebih mudah boleh melakukan kebaikan. Namun, harus difahami bahawa manusia masih punya nafsu syahwat untuk dikekang. Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah menyatakan bahawa musuh tersebut bagi seseorang manusia itu adalah nafsu syahwatnya. Di dalam Ihya’ Ulumuddin pula, Imam Ghazali menyebut bahawa dua syahwat terbesar manusia adalah syahwat perut dan kemaluan. Nah, bukankah melalui ibadah puasa, kedua-dua syahwat tersebut dikekang. Justeru, ibadah puasa Ramadhan ini memberikan kesempatan yang terbaik untuk kita mengekang, menundukkan dan menjinakkan nafsu syahwat yang begitu degil dan liar, yang akan melalaikan kita daripada mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala dan beribadah kepada-Nya seandainya tidak dikekang dan dikawal oleh hati yang bersih.
Ayuh, marilah kita berusaha membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membanyakkan membaca Al-Qur’an. Kita harus berusaha untuk melazimi membaca Al-Qur’an setiap hari di bulan Ramadhan ini kerana, antara lain, bulan Ramadhan ini adalah bulan di mana Al-Qur’an diturunkan di dalamnya. Gantikanlah dan isikanlah masa yang selalunya digunakan untuk makan dengan aktiviti membaca Al-Qur’an, walaupun sekadar sehelai jika itu sahaja yang kita mampu.
Di samping itu, banyakkanlah beristighfar kerana untuk mencapai kejernihan dan kesucian hati, sudah tentu hati itu perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada sebarang kekotoran. Malah, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri akan berdoa dengan doa yang digemarinya di bulan Ramadhan yakni doa yang bermaksud: “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun yang suka mengampunkan dosa-dosa, maka ampunilah aku.”
Seterusnya, berusahalah untuk melakukan sekurang-kurang satu amalan secara konsisten sepanjang bulan Ramadhan seperti solat sunat, berzikir, bersedekah atau sebagainya. Mudah-mudahan dengan latihan beribadah secara konsisten yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan akan memberikan kita keringanan dan kemudahan untuk meneruskan ibadah tersebut sepanjang tahun.
Selamat datang wahai Ramadhan yang mulia dan selamat berpesta ibadah wahai sahabat sekalian!
1 comments:
Click here for commentsAskm,
selamat dtg ya ramadhan.sungguh pantas seminggu berlalu.cuma tinggal 3 minggu lagi.kalau boleh biarlah sepjg tahun bulan romadhan ini.selamat berpuasa