Saya teringat beberapa bulan lepas ketika sampai ke lapangan terbang antarabangsa Kuching, semasa melalui pemeriksaan imigresen, saya melihat hampir semua staf imigresen memakai topeng muka. Pada ketika itu virus selesema babi (yang kini dipanggil dengan nama H1N1) baru sahaja menular. Kemudian, awal bulan ini, semasa melalui negara Brunei untuk ke Limbang, kami terpaksa mengisi borang deklarasi kesihatan dan diperiksa suhu badan untuk memastikan kami tidak demam. Ternyata, penularan virus H1N1 telah menggemparkan satu dunia. Berita tentang wabak ini terus bermain di kaca televisyen, hampir setiap hari.
Baru pagi tadi saya melihat di kaca televisyen, Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa menjadi satu kewajipan untuk semua orang yang masuk ke negara ini untuk mengisi borang deklarasi kesihatan. Pelbagai kempen juga telah dilakukan. Antaranya, dalam Berita Harian pada hari ini rakyat negara ini digalakkan untuk tidak mengembara ke negara-negara yang telah dikenalpasti sebagai negara yang berisiko tinggi dijangkiti virus H1N1. Syukurlah, para pemimpin negara ini telah mengambil langkah dengan cepat untuk berusaha membendung virus tersebut daripada menular ke dalam negara ini. Namun, ternyata ada juga yang terlepas masuk.
Namun, dalam kerisauan kita berusaha untuk membendung penularan virus H1N1 di negara ini, saya kira kita tertinggal satu dimensi yang lebih penting yang seharusnya dikempenkan dengan lebih giat dan lebih besar. Dimensi itu, sudah tentu, adalah kebergantungan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Kuasa. Telah banyak pesanan dan peringatan yang disebarkan kepada rakyat di negara ini untuk memastikan penularan virus H1N1 dapat dikekang, tetapi agak menyedihkan apabila hampir tiada langsung kempen di media, atau kempen yang dibuat secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam agar melazimkan solat sunat, doa, zikir dan sebagainya sebagai kaedah untuk mengelakkan dijangkiti virus tersebut.
Manusia perlu berusaha, dan ternyata usaha-usaha yang boleh dilakukan telah dilakukan. Tetapi, usaha manusia takkan mungkin mampu mengatasi ketentuan dan kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh sebab itulah dalam Islam, manusia hanya disuruh untuk berusaha mengikut kadar kemampuan. Adapun, keputusan dan natijah daripada usaha itu hendaklah diserahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Malah, bolehlah dikatakan doa dan zikir itu sebagai usaha manusia untuk meraih Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala. Apabila manusia meletakkan pergantungan dan usaha mengemis Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala itu di bawah usaha-usaha manusiawi, maka hal tersebut menggambarkan sikap manusia yang biadap, seolah-olah manusia itu begitu hebat untuk menyelesaikan masalahnya sendiri. Sedangkan, pada hakikatnya, segala daya dan upaya manusia itu pun adalah Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala semata-mata.
“Cukuplah bagiku Allah yang menolong dan memeliharaku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, dan kepada-Nya aku menyerahkan diriku.”
Allah jua yang Maha Mengetahui.
2 comments
Click here for commentsaok, setuju. replikasi virus pun terjadi dengan kehendakNya. :) maka Dia lah yang berhak menentukan tiap sesuatu..
Replybukan H1N1 shj...sekrg ni, malaysia seolah2 dilanda wabak epidemik denggi dan viral fever yg lain...
Replysemua makhluk di langit dan di bumi boleh menjadi tentera Allah..