Sudah Awal Rejab

Semalam berlangsung majlis Ihya’ Awal Rejab di Masjid Taman TAR, Ampang. Majlis tersebut dilakukan sempena menyambut kedatangan bulan Rejab yang mulia. Menurut Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, biarpun tidak ada hadith yang benar-benar boleh diterima yang menyatakan tentang anjuran ataupun kelebihan melakukan ibadah khusus seperti berpuasa dalam bulan Rejab, namun bulan Rejab adalah tetap bulan yang mulia dan istimewa. Salah satu sebabnya adalah kerana bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan mulia yang Allah Subhanahu wa ta’ala haramkan untuk umat Islam berperang di dalamnya, melakukan penganiayaan dan sebagainya. Status bulan haram itu sahaja sudah menunjukkan bahawa bulan Rejab adalah bulan yang istimewa.

Bulan Rejab juga adalah merupakan bulan yang istimewa kerana di dalam bulan Rejab inilah berlakunya peristiwa terbesar ke atas kekasih kita, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Peristiwa itu, sudah tentu, tidak lain dan tidak bukan adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Hakikat bahawa peristiwa besar Isra’ dan Mi’raj berlaku dalam bulan Rejab sudah tentu menjadikan bulan Rejab itu sebagai satu bulan yang mulia. Justeru, melakukan ibadah dengan sebanyak-banyaknya dalam bulan Rejab sudah tentu adalah satu hal yang terpuji.

Walaupun tidak ada dalil yang menunjukkan adanya ibadah khusus, seperti puasa khusus dalam bulan Rejab, namun itu tidak bermakna kita boleh melarang orang daripada berpuasa sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang jahil. Imam Nawawi pernah ditanyakan tentang soal puasa di dalam bulan Rejab, dan beliau menjawab (dengan terjemahan yang mungkin kurang tepat): “Tiada suruhan berpuasa pada bulan Rejab, dan tiada juga larangan berpuasa dalamnya. Dan puasa itu secara umumnya adalah digalakkan.” Justeru, bagi sesiapa yang ingin mengamalkan puasa sunat di dalam bulan Rejab, maka itu bukanlah suatu kesalahan malah merupakan suatu ibadah yang mulia.

Apa yang signifikan juga dalam menyambut kehadiran bulan Rejab ini adalah kerana kehadiran bulan ini menandakan bahawa kita sudah semakin hampir tiba ke bulan mulia yang kita rindui, yakni bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan Rejab seharusnya menjadi titik mula untuk kita mempersiapkan kualiti diri bagi menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, dan mendapatkan manfaat yang optimum daripada bulan tersebut. Hal ini seharusnya tergambar melalui doa yang diamalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang pernah saya muatkan dalam entri terdahulu yang boleh anda baca di sini.

Para ‘ulama menyatakan bahawa bulan Rejab ini adalah bulan kita membersihkan ladang tanaman kita. Bulan Sya’ban pula adalah bulan kita menanam benih di ladang kita. Dan seterusnya, bulan Ramadhan adalah bulan kita menuai hasil daripada tanaman tersebut. Ertinya, bulan Rejab ini adalah bulan kita mengosongkan diri kita, membersihkan diri daripada dosa-dosa. Oleh sebab itu di dalam bulan Rejab ini kita digalakkan untuk membanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar hati kita dibersihkan daripada kekotoran noda dan dosa. Kemudian, bulan Sya’ban adalah bulan kita menghiasi diri kita, dengan cara berselawat ke atas Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Bulan Sya’ban adalah bulan di mana kita digalakkan membanyakkan selawat. Seterusnya, bulan Ramadhan adalah bulan di mana Allah Subhanahu wa ta’ala akan melimpahkan ke dalam hati kita dengan kebaikan. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana kita meningkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Maka, untuk kita mendapatkan ganjaran yang terbaik daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dalam bulan Ramadhan kelak, marilah kita bermula daripada sekarang. Marilah kita mempersiapkan diri kita dengan amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para ulama, agar kita dapat menyediakan jiwa kita untuk mendapatkan manfaat yang optimum di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak kelak!

Allah jua Yang Maha Mengetahui.

Previous
Next Post »