SALAM MAULIDURRASUL!

Maha Suci Tuhan, Raja yang telah mencipta Nur NabiNya, Muhammad s.a.w., daripada cahaya ciptaanNya, sebelum diciptaNya Adam dari tanah liat.

Kemudian, Tuhan bentangkan makhluk kemegahanNya itu di hadapan segala sesuatu seraya berfirman, “Inilah Penghulu para nabi, semulia-mulia manusia pilihan dan sebaik-baik orang yang dicintai.”

Maka malaikat bertanya, “Adakah nur itu ialah Adam a.s.?”. Allah menerangkan, “Bukan, bahkan dengan sebabnyalah Aku mengurniakan kepada Adam a.s. martabat yang tinggi.”

Ditanya lagi, “Adakah Nuh a.s. orangnya?” Allah menerangkan, “Bukan, bahkan dengan sebabnya juga Nuh a.s. selamat dalam bahteranya daripada tenggelam dan musnah semua keluarga dan kerabatnya yang ingkar kepadanya.”

Ditanyakan lagi, “Adakah Ibrahim a.s. orangnya?” Allah menerangkan, “Bukan, bahkan dengan sebabnyalah Ibrahim a.s. dapat menegakkan hujahnya atas penyembah berhala dan bintang-bintang.”

Ditanyakan lagi, “Musa a.s. kah orangnya?” Allah menerangkan, “Bukan, Musa a.s. itu saudaranya, tetapi orang ini kekasihKu. Musa a.s. hanya dapat berkata-kata denganKu.”

Ditanyakan lagi, “Isa a.s. kah orangnya?” Allah menerangkan, “Isa a.s. hanya akan membawa berita baik tentang kerasulannya, Isa a.s. hanya laksana pengawal di hadapan istana kenabiannya.”

“Maka siapakah dia kekasih yang mulia ini, yang telah Engkau kurniakan dengan pakaian kesopanan dan Engkau mahkotakan dengan mahkota kehebatan dan kemegahan, serta Engkau kibarkan atas kepalanya Panji-panji kebesaran?”

Firman Allah, “Dia ialah seorang Nabi yang Aku pilih daripada keturunan Lu’ai ibn Ghalib. Ayahanda dan bondanya wafat, lalu dipelihara oleh nendanya, kemudian dipelihara pula oleh bapa saudaranya yang bernama Abu Talib.”

Dia dibangkitkan dari kawasan Tihamah. Kebangkitannya adalah salah satu tanda Kiamat. Di belakang badannya terdapat tanda kenabiannya. Jika berjalan, dia dinaungi awan. Ditaati oleh awan yang menurunkan hujan. Bercahaya dahinya, hitam rambutnya, hidungnya mancung berdiri tegak bagaikan huruf alif, mulutnya bulat seperti huruf mim dan keningnya melengkung bagaikan huruf nun. Pendengarannya menjangkau bunyi Qalam yang menulis, penglihatannya menembusi tujuh petala langit. Dua tapak kakinya pernah dikucup unta, lalu hilang apa yang dideritai oleh unta itu daripada bebanan dan kesusahan. Dhob pernah menyaksikan kerasulannya. Pohon-pohon mengucapkan salam kepadanya, batu-batu berbicara dengannya dan batang kurma meratapinya bagaikan ratapan orang yang sedih merintih kerana cinta terhadapnya. Keberkatan dua tangannya terlihat pada makanan dan minuman. Hatinya tidak pernah lalai, dan tidak pernah tidur; tetapi sentiasa berkhidmat dan tertumpu mengingati Allah. Jika disakiti, dia memaafkan dan tidak membalasnya. Jika dimusuhi, dia berdiam dan tidak menjawab. Ketika Isra’ dan Mikraj, darjatnya Aku angkat ke suatu tempat yang tinggi; yang belum pernah ditempuh oleh makhluk yang terdahulu dan yang kemudian. Diarak oleh serombongan malaikat, yang mengatasi segala perarakan. Hinggalah apabila dia berlepas dan berpisah daripada dua alam (bumi dan langit) serta sampai dekat sekali sekadar dua busar panah, maka Akulah yang menemani dan berbicara dengannya.

Kemudian Aku kembalikannya dari ‘Arasy (Mi’raj) sebelum tilamnya menjadi dingin, sedangkan segala tujuannya telah berhasil. Ingatlah ketika bumi Toibah (Madinah) mendapat kemuliaan dengan ketibaannya. Maka berbondong-bondong para kekasihnya datang mendapatkannya dengan berjalan kaki dan berkenderaan.

Pengiring unta mendendangkan lagu dengan kata-kata yang menawan hati; Lalu unta mengangguk-anggukkan kepalanya mengikut irama lagu kerana gembira. Apakah kamu tidak melihat unta memanjangkan (mempercepatkan) langkahnya; Dan mengalirkan air mata yang bercucuran. Dan langkahnya begitu asyik, berjalan menuju ke bumi kekasihnya; Hatinya merintih ingin lekas sampai ke tempat itu. Maka biarkanlah ia. Jangan dipegang tali kekangnya dan jangan dipandu; Kerinduannya sendiri akan memandunya ke kampung tujuannya. Hendaklah kamu berasa gembira dan asyik seperti hal unta itu; Jika tidak, maka sebenarnya kecintaanmu itu adalah palsu. Ini dia (lembah) al-Aqiiq (Madinah) telah kelihatan; dan inilah puncak-puncak rumah di kampung itu dan khemah-khemah telah kelihatan. Dan itulah Qubah Hijau tempat bermaqam; Seorang Nabi yang telah menyinari alam yang gelap. Keredhaan Allah telah tercapai, saat pertemuan hampir tiba; Rasa gembira melanda segenap sudut di dalam hati. Bisikkanlah ke dalam jiwa, bersenang-senanglah memandang kekasih; Pada hari ini, tiada yang menghalang daripada menemui orang yang dicintai. Puaskanlah hati bertemu kekasih Allah, dengan tercapainya segala impian; Maka terhasillah rasa gembira dan hilanglah kedukaan. Nabi Allah itu adalah sebaik-baik makhluk seluruhnya; baginya darjat dan martabat yang tinggi. Baginya juga kehormatan yang sangat tinggi dan segala ketinggian; Baginya kemuliaan yang kekal abadi. Sekiranya setiap masa kita mengunjunginya dengan; Berjalan di atas dahi bukan di atas kenderaan. Dan sekiranya setiap hari kita membuat maulid, memperingatinya; Boleh juga dikatakan sebagai suatu kewajipan (ke atas kami).

Semoga rahmat Allah Yang Menguasai segala sesuatu, berkekalan ke atasnya; Selama cahaya bintang bergemerlapan. Meliputi keluarga dan sahabatnya sekalian; Juga keturunannya yang baik lagi suci.

*****

Kisah dan kata-kata pujian di atas dipetik daripada teks terjemahan oleh al-Fadhil Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaluddin al-Maliki bagi Maulid ad-Daiba’i. Kata-kata tersebut menggambarkan kemuliaan, keistimewaan dan kehebatan kekasih Allah, insan agung yang menjadi model unggul buat seluruh umat, Rasulullah Muhammad s.a.w. Bukanlah kata-kata pujian yang kita hamburkan bertujuan untuk menyamaratakan Rasulullah s.a.w. dengan Tuhan, tetapi sekadar menzahirkan kecintaan kita serta memuliakan baginda sesuai dengan tarafnya sebagai makhluk Tuhan yang paling mulia.

Maka, pada hari ini, 12 Rabiulawwal 1429H (bersamaan 20 Mac 2008), hari yang penuh bermakna bagi seluruh umat Islam; malah bagi seluruh dunia sekalipun. Pada hari ini, sekitar 1479 tahun yang lampau, seluruh dunia menjadi saksi kepada kelahiran insan agung yang ditunggu-tunggu, yang kedatangannya telah diwar-warkan oleh Nabi Isa a.s. sebelumnya. Maka, andai selalunya kita meraikan sambutan ulangtahun hari kelahiran diri sendiri, hari kelahiran rakan, maka adalah sangat wajar dan paling patut untuk kita meraikan pula hari kelahiran insan paling mulia yang dengan kelahirannya telah memungkinkan Islam tersebar sehingga ke ceruk nusantara ini. Adapaun, meraikan ulangtahun hari kelahiran Rasulullah s.a.w. tidaklah sama seperti kita meraikan ulangtahun kelahiran sesama kita. Kita meraikan ulangtahun kelahiran dengan penuh rasa cinta dan sayang kepada baginda, serta menzahirkannya dengan cara mengikuti segala tunjuk ajar baginda, mencontohi akhlak baginda serta meneruskan misi kerasulan yang dipikulkan ke atas baginda dan umatnya.

Firman Allah S.W.T., yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya, dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab siksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)’
(Surah At-Taubah, ayat ke-24)

Seharusnya jelas kepada kita bahawa kecintaan tertinggi itu wajib kepada Allah dan Rasulullah s.a.w., bukanlah kepada segala perkara-perkara yang dianggap sebagai kesenangan dunia. Untuk membuktikan kecintaan kita kepada Rasulullah, bukanlah sekadar kita melafazkannya di bibir, bukan juga dengan kita sekadar melakukan perarakan selama beberapa kilometer, dan tidak juga dengan sekadar kita menganjurkan forum-forum dan ceramah-ceramah untuk menyampaikan kisah Rasulullah s.a.w. Namun, yang lebih penting daripada itu adalah kita menjadikan apa yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w. itu yang berupa petunjuk, panduan dan pengajaran untuk kita menjalani kehidupan dengan pandangan hidup Islam yang benar, sebagai ikutan kita yang paling utama.

Rasulullah s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik yang pernah dilahirkan pada sepanjang zaman, sepanjang sejarah kehidupan manusia. Tidak ada walau seorang pun ‘tokoh’ lain yang boleh dinobatkan sebagai model terbaik kerana hanya Rasulullah s.a.w. sahajalah seorang model yang lengkap, yang peribadinya serta sejarah hidupnya meliputi segenap aspek kehidupan, serta dirakam secara kemas dan lengkap dalam dokumen-dokumen sejarah serta kitab-kitab yang diajarkan serta diwariskan oleh para ulama’. Atas sebab itulah, seorang penulis Barat, Michael H. Hart memilih Rasulullah s.a.w. untuk diletakkan sebagai peribadi pertama dalam bukunya ‘History’s 100 Most Influential People’.

Michael H. Hart menulis di dalam bukunya: “My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels.” Terjemahan saya: “Pemilihan yang saya lakukan untuk meletakkan Muhammad sebagai orang yang paling berpengaruh di dunia di kalangan tokoh-tokoh dunia mungkin mengejutkan sesetengah pembaca dan mungkin dipersoalkan oleh sebilangan orang, namun beliau adalah satu-satunya peribadi dalam sejarah yang sangat berjaya di bidang keagamaan dan sekular.”

Penulis Barat pun mengakui bahawa Rasulullah s.a.w. adalah seorang manusia yang sangat berpengaruh, sangat berjaya, dan justeru sangat layak untuk dijadikan model. Namun, sebagai orang Islam, kita tidaklah memerlukan pengiktirafan daripada Barat untuk mengakui kehebatan Rasulullah s.a.w. kerana kita sememangnya sedia maklum akan hal itu. Malah, selain daripada pengiktirafan Michael H. Hart kepada Rasulullah s.a.w. sebagai manusia paling berpengaruh dalam sejarah, fakta-fakta lainnya tentang Rasulullah s.a.w. tidak berapa tepat. Michael H. Hart beranggapan Rasulullah s.a.w. itu adalah pengasas kepada agama Islam, serta Al-Qur’an itu adalah buah fikiran Rasulullah s.a.w. Sedangkan bagi kita umat Islam, agama Islam itu adalah agama fitrah yang telah wujud sejak dahulu lagi, yang sumbernya adalah Tuhan Yang Maha Agung, dan Al-Qur’an itu juga adalah merupakan ayat-ayat Allah S.W.T. yang diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. hanyalah seorang hamba Allah yang istimewa, baginda juga seorang manusia seperti kita.

Firman Allah S.W.T., yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Sesungguhnya aku ini hanya seorang manusia seperti kamu, yang diwahyukan kepadaku: ‘Bahawa sesungguhnya Tuhan kamu itu adalah Tuhan Yang Esa.’…
(Surah Al-Kahfi, ayat ke-110)

Keadaan Rasulullah s.a.w. yang merupakan seorang manusia biasa itulah yang menjadikan beliau istimewa, dan menjadikan beliau sebagai contoh ikutan yang terbaik. Atas sebab itulah kita dapat menjumpai pelbagai contoh kebaikan akhlak serta adab dalam diri baginda yang boleh kita ikuti. Memang benar akhlak baginda Rasulullah s.a.w. itu adalah terlalu hebat, sehingga mustahil untuk kita ikuti semuanya. Namun, itulah hebatnya Rasulullah s.a.w., dan kerana kehebatannya itulah kita seharusnya berusaha sedaya upaya untuk mengikuti sebanyak mungkin sunnah baginda.

Antaranya kita perhatikan bagaimana mulianya akhlak baginda Rasulullah s.a.w. terhadap sesama manusia. Bagaimana pada sesuatu ketika itu terdapat seorang wanita yahudi tua yang buta, yang makan minumnya dijaga oleh Rasulullah s.a.w. Setiap hari baginda Rasulullah s.a.w. akan pergi kepada wanita itu, dan menyuapkan makanan ke dalam mulut wanita itu dengan penuh lemah lembut. Setiap hari itu jugalah, wanita itu akan mengutuk, memaki dan menghina Rasulullah s.a.w. di hadapan baginda sendiri, tanpa wanita tua itu mengetahui bahawa yang menyuapkan makanan ke mulutnya setiap hari adalah Rasulullah s.a.w. yang sangat dibencinya itu. Sehinggalah apabila baginda Rasulullah s.a.w. wafat, tugasnya diambil-alih oleh Saidina Abu Bakr as-Siddiq. Namun, apabila disuapkan oleh Saidina Abu Bakr, wanita tua itu enggan menerimanya kerana ternyata lemah-lembutnya Rasulullah s.a.w. dalam menyuap makanan kepada wanita itu tidak mampu ditandingi oleh Saidina Abu Bakr. Lalu menangislah sahabat baik Rasulullah s.a.w. itu, dan apabila dikisahkan kepada wanita tua itu akan orang yang selama ini selalu menyuapnya, berderai air mata wanita tua itu lalu mengucap dua kalimah syahadah! Perhatikanlah bagaimana akhlak mulia Rasulullah s.a.w. mampu menyelamatkan akidah seorang wanita tua, walau tanpa perlu baginda bersuara!

Begitu juga dalam hal rumahtangga, Rasulullah s.a.w. menunjukkan contoh yang sangat mulia sebagai model suami terbaik. Bukan setakat itu, malah didikan dan ajaran Rasulullah s.a.w. menjadikan isteri baginda juga sebagai model isteri yang solehah. Pernah pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. pulang lewat ke rumah, dalam keadaan Saidatina Aisyah r.a. sudah tertidur. Apabila diketuk pintu rumah, isteri baginda tidak membukanya kerana sudah tertidur. Namun, Rasulullah s.a.w. tidak marah. Sebaliknya, beliau menjadikan kain serbannya sebagai lapik dan tidur di hadapan pintu rumahnya! Bayangkan, seorang kekasih Allah, pemimpin umat sepanjang zaman, sanggup tidur di hadapan pintu rumah kerana tidak mahu mengganggu isterinya yang sudah tertidur. Apabila keesokan paginya Saidatina Aisyah r.a. membuka pintu dan mendapati baginda Rasulullah s.a.w. tidur di hadapan muka pintu, bayangkanlah bagaimana perasannya pada ketika itu. Segera beliau ingin meminta maaf, namun Rasulullah s.a.w. terlebih dahulu meminta maaf kerana pulang lewat. Dan mereka berdua pun saling ingin meminta-maaf di antara satu sama lain. Maha Suci Allah, lihatlah betapa mulianya akhlak Rasulullah s.a.w. dan isterinya.

Begitulah juga pendidikan Rasulullah s.a.w. kepada para sahabatnya. Insan-insan yang berada di sekeliling Rasulullah s.a.w. semuanya menjadi insan-insan hebat. Mereka inilah insan-insan yang dijoloki oleh Syed Qutb sebagai jil al-Qur’an al-farid (generasi Qurani yang unik). Watak-watak seperti Abu Bakr as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman ibn Affan, Ali ibn Abi Talib, Bilal ibn Rabah, Amar ibn Yasir, dan lain-lainnya ternyata adalah insan-insan unggul yang mencetus kepada revolusi besar dunia, sehingga akhirnya tamadun Islam menguasai tiga-perempat dunia.

Maka, keunggulan akhlak Rasulullah s.a.w. serta kecintaannya kepada umat, yang terbukti melalui kesungguhan baginda menjalankan tanggungjawab untuk meratakan rahmat ke seluruh alam, adalah patut untuk kita semua contohi. Bersempena dengan sambutan Maulidurrasul pada tahun ini, sewajarnya kita menanamkan azam yang baru serta memasak semangat yang lebih tinggi untuk lebih menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w., melebihi segala kecintaan kita yang lain kepada kesenangan-kesenangan dunia.

Firman Allah S.W.T., yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah akan mengasihi kamu.
(Surah Ali Imran, ayat ke-31)

Begitu juga, marilah kita bersama-sama membanyakkan selawat dan salam ke atas junjungan besar kita, Rasulullah s.a.w. Para ulama’ ramai yang berpandangan bahawa amalan selawat ke atas baginda Rasulullah s.a.w. adalah amalan yang tidak akan ditolak oleh Allah S.W.T. sekalipun dilakukan oleh orang yang fasiq. Banyakkan selawat, salam, serta kata-kata pujian seperti yang sering didendangkan melalui maulid dan qasidah. Apabila kita mencintai seseorang, maka semestinya kita akan banyak menyebut tentangnya dan mengingatinya. Maka, hendaklah kita juga banyak berselawat dan memuji Rasulullah s.a.w. sebagai tanda ingatan dan kasih kita kepada baginda.

“Ya Allah! Limpahkanlah rahmat ke atas junjungan kami, Nabi Muhammad, pembuka bagi sesuatu yang terkunci, penyudah segala nabi yang terdahulu, pembela kebenaran dengan kebenaran dan petunjuk ke jalanMu yang lurus. Limpahkanlah juga rahmat ke atas keluarganya dan sahabat-sahabatnya dengan kurniaan yang layak dengan kadar dan darjatnya yang agung.” (Selawat Al-Fatih)

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
1:13 pm ×

salam akhi fillah.,
Ana sangat suka pengisian ni.ana mohon izin utk print dan simapan buat rujukan.terima kasih. ya, pasal jemputan, teima kasih, maaf tak dapat hadir.ada komitmen lain =)_
salam perjuangan

Reply
avatar
Unknown
admin
8:44 am ×

Ana juga sangat tersentuh dgn bicara ini.. Mohon keizinan utk share..

Reply
avatar