PKPIM SAMBUT BAIK HASRAT MENTERI PENGAJIAN TINGGI PINDA AUKU

Hasrat murni yang telah disuarakan oleh Menteri Pengajian Tinggi yang baru, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memberi pelajar dan universiti lebih kebebasan adalah sangat dialu-alukan. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyatakan sokongan penuh terhadap hasrat tersebut yang pastinya akan menjadi perangsang kepada golongan mahasiswa untuk menjadi lebih matang dan meningkatkan kepedulian sosial.

PKPIM berharap agar pindaan yang hendak dibuat terhadap AUKU akan mengembalikan hak kepada golongan mahasiswa supaya mempunyai kebebasan untuk berpersatuan. Hal ini kerana penglibatan golongan mahasiswa dalam persatuan adalah penting sebagai medan latihan kepimpinan serta platform untuk para mahasiswa menyalurkan kreativiti dan semangat muda mereka secara baik, khususnya dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu semasa.

Keterlibatan dalam persatuan luar seperti badan-badan bukan kerajaan (NGO) juga adalah penting bagi meningkatkan kepedulian sosial di kalangan mahasiswa agar mereka lebih memahami suasana masyarakat kerana akhirnya kelak golongan mahasiswa inilah yang akan menjadi pemimpin kepada masyarakat tersebut. Malah, keterlibatan aktif mahasiswa dalam masyarakat sudah pasti akan dapat memberikan kesan yang positif kepada masyarakat itu sendiri, sepertimana yang dibuktikan oleh gerakan mahasiswa era 60-an dan 70-an.

PKPIM berharap agar pindaan yang hendak dibuat terhadap AUKU akan turut membantu meningkatkan kualiti pendidikan, khususnya dalam aspek pembinaan modul akademik, serta pengembangan penyelidikan dan pembangunan (research & development). Kebebasan akademik yang lebih luas perlu diberikan kepada pensyarah dan para pelajar demi memastikan proses pengembangan ilmu pengetahuan, bukan semata-mata pembelajaran, dapat dilaksanakan dengan baik.

PKPIM juga berharap agar pihak kementerian akan melibatkan sekali para intelektual tanahair, selain daripada tokoh akademik, serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) pelajar dalam membincangkan tentang pindaan AUKU. Pandangan daripada semua pihak ini adalah penting bagi memastikan pindaan yang akan dibuat kelak benar-benar memberikan kesan yang positif kepada pelajar, masyarakat dan negara dan bukan hanya menguntungkan sesetengah pihak yang berkepentingan sahaja.

ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI
Setiausaha Agung PKPIM

Previous
Next Post »