Sunday, 14 November 2010

Tidak boleh memerangi pemerintah


Di dalam kitab “ad-Da’wah at-Tāmmah wa al-Tažkirah al-‘Āmmah” (Da’wah Yang Sempurna, Peringatan Yang Utama) karangan al-Imam Habib Abdullah al-Haddad radhiyallahu ‘anh, diriwayatkan oleh al-Imam akan satu pengajaran daripada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang seharusnya direnungi dengan penuh insaf dan serius oleh kita semua pada hari ini. Sungguh, pengajaran daripada al-Imam Habib Abdullah al-Haddad adalah terlebih wajar untuk kita jadikan ikutan dan pegangan berbanding dengan pandangan para ‘ulama masa kini.

Di dalam kitab tersebut, diriwayatkan satu kisah tatkala Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sedang berbicara tentang pemimpin-pemimpin yang zalim. Lalu para sahabat bertanya kepada baginda: “Wahai Rasulullah! Apakah boleh kita menentang mereka?” Lalu dijawab oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam: “Tidak boleh, selama mereka mendirikan solat.” Kemudian baginda menambah lagi: “Jika mereka berbuat baik, maka kebaikannya itu untuk kamu dan untuk mereka, tetapi jika mereka berbuat jahat, maka kejahatannya itu menimpa kamu dan mereka.

Renung-renungkan dan fikir-fikirkan dengan akal yang sihat. Mohonlah kefahaman daripada Allah Subhanahu wa ta’ala, kerana kefahaman itu kurniaan Allah.

Bagi seluruh umat Islam, ingatlah bahawa ‘memerangi’ pemerintah – selagi mana pemerintah itu masih Islam – walaupun mereka bersikap zalim dan tidak memenuhi tanggungjawab mereka dengan sepenuhnya – adalah sesuatu yang perlu dijauhi kerana perbuatan tersebut hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar. Bagi pemerintah pula, prinsip ‘tidak boleh memerangi pemerintah’ itu janganlah disalahertikan sebagai pemerintah tidak boleh ditegur dan dinasihati.

Wallahu’alam.

Kisah Ibrahim Bin Adham


Kisah tentang seorang wali Allah yang tidak asing lagi di dalam dunia Islam, Sayyidi Ibrahim bin Adham radhiyallahu ‘anh. Kisah ini dipetik (dengan pengolahan semula) daripada kitab “Kanzul Minan ‘Ala Hikami Abi Madyan”, yakni sebuah kitab yang mensyarahkan Hikam Abi Madyan radhiyallahu ‘anh yang telah disusun/diterjemah oleh Syeikh Daud Abdullah al-Fatani.

Pada suatu hari, Sayyidi Ibrahim bin Adham sedang berjalan-jalan di pasar. Kemudian, beliau bertembung dengan seorang tentera (atau polis). Mungkin diakibatkan oleh salah faham, atau mungkin diakibatkan oleh sikap tentera itu yang mahu menunjuk-nunjuk kuasanya, tentera itu telah memukul kepala Ibrahim bin Adham beberapa kali. Pada ketika itu, tentera itu tidak mengetahui bahawa yang dipukulnya itu adalah Ibrahim bin Adham. Sayyidi Ibrahim bin Adham langsung tidak membalas pukulan tersebut bahkan beliau hanya bersabar dengan perbuatan tentera tersebut.

Setelah kejadian tersebut berlaku, dan Sayyidi Ibrahim bin Adham pun berlalu, maka sampailah pengetahuan kepada tentera tadi bahawa yang dipukulnya tadi adalah Ibrahim bin Adham. Tentera tersebut dengan segera mendapatkan Ibrahim bin Adham serta terus meminta maaf dengan bersungguh-sungguh kepada beliau. Ibrahim bin Adham lantas menyatakan kepada tentera itu: “Semenjak daripada pukulan pertama engkau kepadaku, aku telah berdoa agar Allah mengampunkan dosa engkau.”

Tentera itu agak kehairanan dengan perbuatan Sayyidi Ibrahim bin Adham tersebut, kerana begitu biadabnya perbuatannya terhadap Ibrahim bin Adham dibalasi dengan kemafaan daripada Ibrahim bin Adham. Tentera itu bertanya kepada Ibrahim bin Adham: “Kenapa begitu, wahai tuan?” Lantas dijawab oleh Sayyidi Ibrahim bin Adham: “Masakan tidak. Disebabkan pukulan daripada engkau (lalu aku bersabar dengannya) aku akan masuk ke dalam syurga. Maka seharusnya lah aku berterima kasih kepada engkau, justeru itu aku balasi dengan doa semoga Allah mengampuni kesilapan engkau.”

Semenjak daripada saat itu, tentera itu terus beradab dengan Sayyidi Ibrahim bin Adham dan menjadi anak murid beliau.

Begitulah contoh akhlak dan sikap seorang wali Allah, seorang yang mempunyai kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Seharusnya kita sebagai orang Islam berusaha untuk mencontohi akhlak mulia yang ditunjukkan oleh para ‘ulama dan awliya’, yang semuanya pada hakikatnya adalah merupakan limpahan daripada cahaya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wallahu’alam.

Friday, 12 November 2010

Tazkirah Bencana Banjir

Artikel ringkas ini saya tulis untuk bahan tazkirah bagi mangsa banjir di kawasan utara, melalui Skuad Prihatin ABIM.




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala di atas segala limpahan nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat yang terpimpin.

Ucapan takziah buat semua yang terjejas dengan bencana banjir yang melanda kawasan utara negara kita ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah dengan iringan doa, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan kemudahan dan kekuatan dalam menghadapi ketentuan-Nya, serta memberikan ganti yang lebih baik buat mereka yang redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala ini. Al-Fatihah.

Pepatah Melayu ada mengatakan, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Bagaimana sekalipun ungkapan simpati serta rasa empati cuba dikongsikan, sudah tentu tidak akan sama dengan apa yang dirasai oleh mereka yang menjadi mangsa kepada bencana tersebut. Begitupun, atas dasar semangat persaudaraan se-agama serta semangat kemanusiaan maka pertolongan, sokongan dan dokongan harus juga diberikan untuk sekurang-kurangnya membantu meringankan beban yang dihadapi. Malah, boleh juga kita perhatikan bahawa antara hikmah Allah Subhanahu wa ta’ala menjadikan hanya segelintir kawasan yang dilanda banjir, dan bukannya seluruh negara, adalah supaya orang-orang yang berada di kawasan yang tidak dilanda banjir boleh turun membantu mereka yang dilanda musibah banjir tersebut. Mungkin dengan cara itulah baru semangat ukhuwwah, semangat kemanusiaan, sikap rendah diri, sikap murah hati dan sebagainya diperkukuhkan.

Bencana alam – sama ada banjir, gempa bumi, gunung berapi dan lain-lain – pada hakikatnya datang daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apabila kita berhadapan dengan bencana alam seperti ini, maka hendaklah kita mencari hikmah dan pengajaran yang tersembunyi di sebaliknya kerana mustahil Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Mungkin sahaja, Allah menjadikan bencana alam itu sebagai satu peringatan dan teguran supaya kita tidak lalai daripada mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala, dan supaya kita sentiasa beringat bahawa kita datang daripada Allah, akan kembali kepada-Nya, dan kepada-Nya sahajalah tempat kita bergantung segala harapan.

Selain daripada itu, orang-orang yang menjadi mangsa kepada banjir ini adalah orang-orang yang diiktiraf mempunyai kekuatan dan keteguhan. Allah Subhanahu wa ta’ala telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan memberikan kepada seseorang itu sesuatu bebanan yang tidak mampu dipikul olehnya. Oleh sebab itulah, dijadikan banjir itu hanya melanda sesetengah kawasan dan tidak seluruh negara, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala mengetahui bahawa orang-orang yang diuji dengan bencana banjir itu adalah orang-orang yang mampu memikul bebanan ujian itu. Sedangkan, mungkin di kawasan-kawasan lain para penduduknya tidak punya kekuatan untuk menghadapi ujian bencana alam. Maka, hendaklah kita memohon keteguhan hati dan kekuatan kesabaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dalam menghadapi ujian bencana ini. Pastinya, ujian ini akan menjadikan mangsa banjir sebagai orang yang bertambah teguh hati dan cekal dalam melalui liku-liku kehidupan.

Di samping itu juga, hendaklah kita berpegang teguh dengan janji Allah dan Rasul-Nya, sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam bahawa sesiapa yang ditimpa musibah lalu mengucapkan lafaz “innalillahi wa inna ilaihi raaji‘uun” (daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali) – yakni ucapan yang melambangkan rasa penuh redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala – maka pasti Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Justeru, hendaklah kita bersabar dan redha dengan apa yang berlaku, kemudian pohonlah supaya Allah Subhanahu wa ta’ala menggantikan apa yang kehilangan ketika bencana ini dengan sesuatu yang lebih baik.

Di akhirnya, ingatlah bahawa ujian dan dugaan yang melanda adalah merupakan lumrah kehidupan. Semenjak daripada awal penciptaan manusia lagi, ujian dan dugaan Allah timpakan kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk menguji keimanan serta meneguhkan ketaqwaan. Ada di kalangan umat nabi terdahulu yang pernah diuji dengan ditanam separuh badannya di dalam tanah oleh musuh-musuh Allah, kemudian digergaji daripada kepala sampai badannya – namun itu tidak sedikitpun menggoyahkan keimanannya. Begitu juga dengan kekasih agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, ahli keluarga serta para sahabat baginda yang pada peringkat awal penyebaran Islam menghadapi ujian dan dugaan yang teramat sukar. Bayangkan, ketika mereka dipulaukan selama tiga tahun lamanya oleh puak kuffar Quraisy, keadaan mereka begitu menyedihkan sehingga terpaksa memakan pasir untuk menahan lapar. Insan yang paling dicintai oleh Rasulullah, Sayyidah Khadijah al-Kubro radhiyallahu ‘anha, yang sudah berusia pada ketika itu bertambah uzur dek kerana dhaifnya keadaan mereka pada ketika itu. Namun, kesabaran dan keredhaan mereka dalam menempuhi ujian itu, Allah gantikan dengan ganjaran yang lumayan di dunia dan akhirat.

Ujian yang melanda kita belum seteruk ujian yang melanda para kekasih-kekasih kita. Maka hendaklah kita melapangkan dada kita dan janganlah gundah, yakinlah bahawa di sebalik setiap musibah yang melanda itu tersisip kasih sayang Allah Subhanahu wa ta’ala.

Wallahu’alam.

Sunday, 7 November 2010

Bengkel Rakan Sebaya Belia Miri 2010

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih.

Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Pemilik ‘Arasy yang agung, Pencipta dan Pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Syukur ke hadrat Allah, pada 29 – 31 Oktober 2010 yang lalu kami telah selesai mengadakan program Bengkel Rakan Sebaya Belia Miri 2010 bertempat di Eastwood Golf & Country Resort, Miri. Walaupun pada asalnya program tersebut mensasarkan penyertaan sebanyak lebih kurang 100 orang belia Islam dari sekitar bahagian Miri, namun kehadiran sebanyak 34 orang peserta sudah lebih daripada memadai untuk membolehkan program dijalankan. Apa yang penting adalah mesej dan pengisian program boleh disampaikan kepada belia-belia Islam di Miri.

Sememangnya bukan suatu perkara yang mudah untuk mengumpul para belia hadir ke program-program latihan dan pendidikan seumpama itu, apatah lagi di masa kini di mana para belia (termasuk juga orang yang lebih dewasa, sebenarnya) rata-rata semakin ‘asyik’ dan ‘mabuk’ dalam pelbagai bentuk hiburan dan ‘dunia fantasi’ seperti Facebook, Astro, dan sebagainya. Harus diketahui – juga difahami, dan diakui – bahawa kewujudan laman sosial di Internet (seperti Facebook) serta ledakan rancangan hiburan di kaca televisyen (seperti yang dibawa melalui Astro) sebenarnya telah menghakis kualiti perhubungan sesama insan. Perkara ini malah turut disedari di Barat (baca di sini), justeru seharusnya lebih patut disedari oleh kita yang beragama Islam kerana hubungan sesama manusia itu begitu banyak dibicarakan di dalam Islam.

Program kami selama 3 hari 2 malam di Miri tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Syukur, mungkin berkat daripada pembawaan Qasidah Nabawiyah sepanjang program. Qasidah puji-pujian terhadap penghulu segala makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam yang dikarang oleh para ‘ulama sudah tentu mengandungi rahsia-rahsia yang tersendiri, yang mampu melembutkan hati-hati insan. Syukur kepada Allah, sehingga ke hari ini, semua program-program kami yang kami bawakan Qasidah Nabawiyah di dalamnya tidak memerlukan kepada jawatankuasa disiplin untuk mengawal para peserta. Itu ‘barakah’ namanya, bagi yang tidak mengerti (atau tidak mahu mengerti).

Namun apa yang penting juga adalah sepanjang program tersebut kami telah membincangkan beberapa topik yang penting – yang memang seharusnya diutamakan. Topik-topik yang telah dibincangkan adalah “Aqidah Islam Sejati”, “Mengenali Rasulullah”, “Ilmu dan Pembudayaannya: Satu Keutamaan Masa Kini”, serta “Cabaran Umat Islam Hari Ini”. Melalui pengalaman peribadi saya, tema-tema seperti “Aqidah”, “Rasulullah”, dan “Ilmu” jarang sekali dibincangkan secara serius dan tuntas di dalam program-program latihan (termasuk di dalam gerakan-gerakan Islam). Tema-tema yang selalunya menjadi pilihan yang lebih popular adalah berkaitan “tanzim”, “khittah”, serta “isu-isu semasa”. Sedangkan, persoalan ‘aqidah serta hal-hal yang berkaitan dengannya adalah yang lebih utama – kerana itu dikategorikan oleh para ‘ulama sebagai “fardhu ‘ain”. Ternyata, melalui program kami di Miri – dan juga program-program kami yang lain sebelumnya – masih terlalu banyak yang perlu difahamkan kepada generasi belia hari ini (juga generasi dewasanya) akan hal ‘aqidah, syariat serta akhlaq.

Alangkah indahnya jika semua pihak yang aktif bergerak dalam dakwah Islam ini tahu mengutamakan yang utama.

Apapun, syabas dan tahniah kepada semua peserta program kerana telah memberikan komitmen. Mudah-mudahan apa yang kita rancangkan sebagai susulan daripada program akan dapat direalisasikan. Juga, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala memilih kalian untuk menjadi pendokong-pendokong Islam yang soleh di bumi Miri, serta menjadikan manfaat daripadanya buat kami di akhirat kelak. Terima kasih juga kepada sahabat-sahabat yang telah sudi memenuhi undangan sebagai penceramah: Ustaz Al-Amin Daud, Ustaz Hasfa Bakhry, Ustaz Mohd. Hilmi Ramli dan Ustaz Ahmad Shaiful Alwi. Mudah-mudahan semuanya dirahmati Allah.

Sedikit rakaman bergambar program di bawah ini...









Majlis Bicara Intelek


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan Empunya seluruh alam. Selawat dan salam ke atas penghulu kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat seluruhnya.

Pagi tadi berkesempatan untuk menghadiri Majlis Bicara Intelek anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia melalui Kolej Komuniti Kuching dengan kerjasama SABERKAS. Program di Hotel Hilton itu menampilkan Dato’ Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) serta Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg (Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak, merangkap Presiden SABERKAS) sebagai panelis untuk ‘berbicara’ dengan lebih kurang 100 orang belia terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti, IPT-IPT lain serta wakil-wakil NGO belia.

Antara yang ditekankan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah adalah tentang pentingnya memperkasa budaya ilmu sebagai asas kepada pembinaan masyarakat yang cemerlang. Dato’ Saifuddin juga telah menerangkan tentang ciri-ciri masyarakat berbudaya ilmu, memetik daripada tulisan ‘disciple’ (memetik istilah beliau) kepada Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas yakni Prof. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud. Saya kira apa yang ditekankan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah itu harus diambil secara sangat serius, bukannya sekadar ditanggapi sebagai ucapan ‘kosmetik’ semata-mata. Saya tertarik untuk menghurai lebih lanjut daripada ciri-ciri masyarakat berbudaya ilmu yang disebut oleh Dato’ Saifuddin.

Ciri pertama masyarakat berbudaya ilmu adalah meletakkan ilmu dan ilmuan di kedudukan yang tertinggi. Hal ini, secara nyata, masih belum berlaku di dalam masyarakat kita. Buktinya, banyak keputusan-keputusan yang dibuat di dalam masyarakat tidak mengambil kira secara serius pandangan daripada para ilmuan. Di dalam sistem pendidikan kita, yang dijadikan penekanan kepada para pelajar adalah keputusan ujian yang diperolehi, bukannya kefahaman terhadap ilmu yang seharusnya dipelajari. (Mungkin perlu ditekankan: sistem peperiksaan yang ada sekarang TIDAK sepenuhnya menguji kefahaman terhadap ilmu.) Di dalam negara kita, aspek ekonomi serta pembangunan infrastruktur (jika ada pun pembangunan manusia, itu juga adalah untuk menjurus ke arah pembangunan ekonomi dan infrastruktur) diberikan keutamaan yang begitu tinggi sedangkan aspek pendidikan seolah-olah dipinggirkan. Masyarakat kita lebih mengenali artis daripada ilmuan, sedangkan rendahnya darjat seorang artis jika hendak dibandingkan dengan seorang ilmuan adalah ibarat langit dan bumi. Di dalam masyarakat kita juga, apabila ada majlis-majlis dan aktiviti yang dianjurkan oleh sesiapa pun, bayaran kepada seorang artis untuk membuat persembahan selama satu jam adalah berpuluh kali ganda lebih tinggi daripada bayaran kepada seorang ilmuan untuk berceramah selama satu jam. Itu nilaian masyarakat kita terhadap ilmu dan ilmuan – menandakan masyarakat kita masih tidak berbudaya ilmu!

Masyarakat berbudaya ilmu adalah masyarakat yang sentiasa melibatkan diri mereka di dalam aktiviti keilmuan. Lihatlah sekeliling kita, adakah perkara ini berlaku? Pelajar yang masuk ke universiti tidak sabar-sabar hendak keluar dan bergraduat. Pesan ibu ayah, pakcik makcik: “cepat-cepat habis belajar”. Persoalan: kenapa perlu cepat-cepat? Seolah-olah universiti itu satu ‘penjara’ yang tidak wajar diduduki lama-lama. Sedangkan jika benar berbudaya ilmu, maka ambillah masa yang diperlukan walaupun lama untuk benar-benar menguasai bidang itu! (Ini mungkin lebih menjurus kepada permasalahan sistem.) Dan, apakah proses belajar itu ada ‘habisnya’? Proses belajar itu tidak akan pernah habis, walau sampai ke tua. Kerana ilmu Allah itu Maha Luas.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya: “Katakanlah: sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Di dalam masyarakat kita fenomena merasakan diri sudah ‘habis belajar’ itu menular. Pengalaman saya sendiri yang sungguh menyedihkan, apabila kami menganjurkan program seminar bersiri yang ilmiah berkaitan pembentukan pandangan alam Islam, ada di kalangan generasi tua yang mengatakan bahawa dirinya sudah ‘tidak perlu’ menghadiri program-program seperti itu. Ini sikap anti-budaya ilmu.

Banyak dan panjang lagi perbincangan jika kita ingin menilai sejauh mana masyarakat kita berbudaya ilmu. Cukuplah dengan huraian di atas untuk kita memahami betapa masyarakat kita masih jauh daripada berbudaya ilmu – dan hal ini perlu kita risaukan kerana masyarakat yang tidak berbudaya ilmu adalah masyarakat yang lemah, masyarakat yang boleh dijajah serta dipengaruhi dengan mudah.

Apapun, program-program seperti Majlis Bicara Intelek yang dianjurkan pada pagi tadi (7 November 2010) perlu dibanyakkan lagi serta ditambahbaik dari segi pelaksanaannya. Mungkin boleh dinaiktaraf kepada bentuk bengkel atau kolokium yang lebih panjang, supaya lebih banyak masa untuk berdiskusi. Syabas dan tahniah kepada Dr. Abdul Rahman Junaidi dan jawatankuasa penganjur.

Wallahu’alam.