Sumber: Malaysiakini.com |
Laporan portal berita
online Malaysiakini semalam (17 Mei 2016) menyatakan bahawa Jawatankuasa
Transgender Pulau Pinang telahpun ditubuhkan secara rasminya [baca di sini].
Jawatankuasa tersebut diketuai oleh ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu (DAP).
Penubuhan jawatankuasa tersebut adalah merupakan gambaran jelas akan ancaman
faham sekular-liberal yang dibawa oleh DAP secara khususnya. Tindakan beberapa
orang ADUN daripada PKR yang turut bersama di dalam jawatankuasa tersebut
tidaklah mengejutkan, memandangkan PKR memang dikenali sebagai parti yang turut
memegang ideologi sekular-liberal. Namun, tindakan beberapa orang ADUN daripada
Barisan Nasional (BN) – yang berbangsa Melayu – untuk turut menyertai
jawatankuasa tersebut (jika benar laporan portal akhbar Malaysiakini), adalah
amat mengecewakan. Jika BN boleh menentang DAP dan PKR untuk hal-hal yang lebih
trivial, mengapa pula BN bersatu dengan mereka dalam hal yang lebih
penting? Jika laporan tersebut benar, maka besarlah harapan saya agar barisan
pimpinan BN pusat mengeluarkan arahan kepada para ADUN tersebut untuk menarik
diri daripada jawatankuasa tersebut. Laporan tersebut juga menyebut ada seorang
ADUN PAS yang diambil sebagai ahli jawatankuasa tersebut; saya berharap laporan
ini juga tidak benar.
Isu penubuhan
Jawatankuasa Transgender ini bukanlah semata-mata isu tentang perjuangan hak “golongan
minoriti”. Malah, saya juga tidak bersetuju jika golongan transgender
dikategorikan sebagai “golongan minoriti”, kerana mereka bukan golongan yang
asalnya ada di negara ini, juga bukan golongan yang mempunyai kewujudan yang “haq”.
Kategori yang tepat untuk mereka adalah “golongan bermasalah”. Saya juga tidak
bersetuju jika mereka dianiaya, kerana mereka juga manusia. Saya juga tidak
bersetuju jika mereka dizalimi; cuma, perlu difahami jika wujud permasalahan
terhadap mereka di mana-mana tempat awam seperti di tandas mahupun hospital,
maka masalah itu wujud kerana golongan transgender itu sendiri yang terlebih
dahulu menzalimi diri mereka. Bukan masyarakat yang patut dipersalahkan, tetapi
mereka yang patut dipersalahkan kerana melakukan sesuatu di luar batas panduan
agama dan undang-undang negara.
Apa yang dilakukan
oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ini tidak harus kita lihat hanya sebagai satu
upaya kecil oleh sebuah kerajaan negeri untuk memperjuangkan satu isu yang
remeh. Jika kita melihat dengan pandangan yang lebih luas, dan mengambil kira
apa yang telah diperjuangkan dan dilakukan oleh DAP selama ini, maka penubuhan
jawatankuasa ini bagi kita umat Melayu-Islam adalah satu upaya untuk menentang negara
Malaysia, kerana Malaysia adalah negara Islam. Dengan peruntukan dalam
Perlembagaan Persekutuan yang memateri agama Islam sebagai agama persekutuan,
maka menjadi tanggungjawab kita umat Melayu-Islam bersama-sama dengan para
pemimpin Islam di negara ini untuk mempertahankan status quo agama Islam
di negara ini. Isu transgender adalah isu akhlak. Agama atau fahaman lain tidak
mempunyai panduan akhlak (dalam istilah mereka dikatakan moral atau etika) yang
lengkap sempurna seperti Islam. Justeru, mereka tidak akan mungkin mampu
melihat isu transgender sebagai isu akhlak yang serius sepertimana kita umat
Melayu-Islam. Pentingnya akhlak dalam pandangan hidup Islam tergambar dalam
hadith baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang kira-kira bermaksud:
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”
Akhlak yang mulia
adalah misi baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kita belajar
dalam sejarah Islam bagaimana umat Nabi Luth ‘alayhissalam diturunkan
bala oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kerana berperilaku di luar tabi’ie –
perilaku luar tabi’ie inilah masalah golongan transgender. Kita tidak boleh
bersikap naïf, atau berpura-pura bahawa isu transgender ini tidak mengundang
perilaku luar tabi’ie. Transgender itu sendiri adalah perbuatan luar tabi’ie –
mengubah kejadian diri yang telah diciptakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.
Melainkan seseorang manusia itu adalah wali Allah seperti Rabi’ah al Adawiyah
yang memadai temannya adalah Allah semata-mata – semua manusia sentiasa
memerlukan teman daripada kalangan manusia lain. Seorang lelaki yang mengubah
dirinya menjadi seorang wanita, ingin bertemankan siapa? Sebagai seorang yang
asalnya lelaki, tidak ada lelaki normal yang mahu bersama seorang lelaki.
Dengan perubahan fizikal dan perwatakan sebagai wanita, tidak ada wanita normal
yang mahu bersama seorang wanita. Maka, yang mahu bersama seorang transgender
adalah seseorang yang sama-sama mempunyai masalah akhlak, yang cenderung ke arah
perhubungan luar tabi’ie.
Jawatankuasa
Transgender ini cuba untuk mencabar Malaysia sebagai negara Islam – dengan kononnya
ingin memperjuangkan “hak” golongan ini. Sebagai negara Islam, sudah tentu
sistem dan perundangan negara ini perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip
Islam. Ya, memang apa yang dipraktikkan tidak sempurna dan sepenuhnya selari
dengan segala prinsip-prinsip Islam tetapi itu bukan bermakna kita boleh
menjadikan itu alasan untuk membenarkan segala perkara yang menyeleweng
daripada prinsip Islam dibuat sesuka hati di negara ini. Berdasarkan
perundangan dan prinsip-prinsip Islam, golongan transgender ini bukan golongan
yang “haq” (benar), tetapi mereka adalah golongan yang “batil” (salah).
Justeru, mereka tidak boleh diberikan “hak-hak” seperti yang ingin dituntut dan
diperjuangkan oleh Jawatankuasa Transgender tersebut kerana hal itu akan
membawa maksud bahawa golongan transgender diiktiraf di negara ini sebagai
golongan yang benar. Sepertimana, kita tidak mengiktiraf di dalam negara ini
golongan penagih dadah sebagai golongan yang benar. Penagih dadah adalah
golongan yang salah. Sesiapa yang dijumpai menagih dadah akan ditangkap dan
dihukum. Begitulah yang sepatutnya dengan golongan transgender ini. Mak nyah
dan pondan-pondan yang memperaga diri di jalanan pada malam-malam hari di
negara ini, patut ditahan dan ditangkap.
Pada hemat saya,
Jawatankuasa Transgender yang ditubuhkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ini
bukanlah sangat ingin memperjuangkan nasib golongan transgender. Sebaliknya,
tindakan tersebut adalah satu usaha untuk mencabar status quo Islam di
negara ini. Permasalahan akhlak tidak disentuh melalui undang-undang sivil,
tetapi melalui undang-undang syariah. Sekiranya usaha kecil DAP Pulau Pinang
itu terus berkembang dan berjaya, sehingga akhirnya golongan transgender ini
diterima dan diiktiraf oleh masyarakat dan negara ini, maka tercabarlah wibawa
dan autoriti undang-undang syariah. Kepentingan Islam dalam negara inilah yang
sepatutnya menjadi kemuncak perjuangan parti-parti politik Melayu-Islam seperti
UMNO dan PAS; bukannya bertelagah hal harta, wang dan salah guna kuasa (yang
sepatutnya tidak wujud pun di dalam parti-parti politik Melayu-Islam).
Kerajaan Malaysia
perlu mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang kerana
menubuhkan jawatankuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan
Persekutuan.