Wednesday, 24 June 2009

Bait Qasidah Yang Menyentak Jiwa

Cukuplah bagiku pengetahuan Tuhanku
Daripada permintaan dan usahaku
Doa serta permohonanku
Sebagai bukti kefakiranku

Bait qasidah di atas adalah sebahagian daripada qasidah yang dinukilkan oleh seorang ulama besar abda ke-12, al-Imam Abdullah ibn ‘Alawi al-Haddad r.a. Beliau adalah merupakan seorang ulama besar yang dipelihara oleh Allah Subhanahu wa ta’ala semenjak kecilnya. Antara nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kepada beliau adalah membuka pintu hatinya semenjak kecil lagi. Setiap kali beliau membaca surah Yaasiin, maka beliau akan begitu terkesan dan menangis teresak-esak sehingga hampir-hampir tidak mampu meneruskan bacaan beliau. Maka, hayatilah sebahagian daripada bait qasidah karangan seorang ulama yang benar-benar mengenali Tuhannya; bait-bait tersebut menusuk lembut ke dalam jiw-jiwa kita. Menyentakkan jiwa yang lalai; mengingatkan tentang hakikat kehambaan kita di hadapan Allah Subhanahu wa ta’ala. Hakikatnya, kita hanyalah hamba Allah yang fakir yang sentiasa memerlukan kepada-Nya.

Wallahu’alam.

Sudah Awal Rejab

Semalam berlangsung majlis Ihya’ Awal Rejab di Masjid Taman TAR, Ampang. Majlis tersebut dilakukan sempena menyambut kedatangan bulan Rejab yang mulia. Menurut Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, biarpun tidak ada hadith yang benar-benar boleh diterima yang menyatakan tentang anjuran ataupun kelebihan melakukan ibadah khusus seperti berpuasa dalam bulan Rejab, namun bulan Rejab adalah tetap bulan yang mulia dan istimewa. Salah satu sebabnya adalah kerana bulan Rejab adalah salah satu daripada empat bulan haram, yakni bulan mulia yang Allah Subhanahu wa ta’ala haramkan untuk umat Islam berperang di dalamnya, melakukan penganiayaan dan sebagainya. Status bulan haram itu sahaja sudah menunjukkan bahawa bulan Rejab adalah bulan yang istimewa.

Bulan Rejab juga adalah merupakan bulan yang istimewa kerana di dalam bulan Rejab inilah berlakunya peristiwa terbesar ke atas kekasih kita, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Peristiwa itu, sudah tentu, tidak lain dan tidak bukan adalah peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Hakikat bahawa peristiwa besar Isra’ dan Mi’raj berlaku dalam bulan Rejab sudah tentu menjadikan bulan Rejab itu sebagai satu bulan yang mulia. Justeru, melakukan ibadah dengan sebanyak-banyaknya dalam bulan Rejab sudah tentu adalah satu hal yang terpuji.

Walaupun tidak ada dalil yang menunjukkan adanya ibadah khusus, seperti puasa khusus dalam bulan Rejab, namun itu tidak bermakna kita boleh melarang orang daripada berpuasa sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah pihak yang jahil. Imam Nawawi pernah ditanyakan tentang soal puasa di dalam bulan Rejab, dan beliau menjawab (dengan terjemahan yang mungkin kurang tepat): “Tiada suruhan berpuasa pada bulan Rejab, dan tiada juga larangan berpuasa dalamnya. Dan puasa itu secara umumnya adalah digalakkan.” Justeru, bagi sesiapa yang ingin mengamalkan puasa sunat di dalam bulan Rejab, maka itu bukanlah suatu kesalahan malah merupakan suatu ibadah yang mulia.

Apa yang signifikan juga dalam menyambut kehadiran bulan Rejab ini adalah kerana kehadiran bulan ini menandakan bahawa kita sudah semakin hampir tiba ke bulan mulia yang kita rindui, yakni bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan Rejab seharusnya menjadi titik mula untuk kita mempersiapkan kualiti diri bagi menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, dan mendapatkan manfaat yang optimum daripada bulan tersebut. Hal ini seharusnya tergambar melalui doa yang diamalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang pernah saya muatkan dalam entri terdahulu yang boleh anda baca di sini.

Para ‘ulama menyatakan bahawa bulan Rejab ini adalah bulan kita membersihkan ladang tanaman kita. Bulan Sya’ban pula adalah bulan kita menanam benih di ladang kita. Dan seterusnya, bulan Ramadhan adalah bulan kita menuai hasil daripada tanaman tersebut. Ertinya, bulan Rejab ini adalah bulan kita mengosongkan diri kita, membersihkan diri daripada dosa-dosa. Oleh sebab itu di dalam bulan Rejab ini kita digalakkan untuk membanyakkan istighfar, memohon keampunan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar hati kita dibersihkan daripada kekotoran noda dan dosa. Kemudian, bulan Sya’ban adalah bulan kita menghiasi diri kita, dengan cara berselawat ke atas Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Bulan Sya’ban adalah bulan di mana kita digalakkan membanyakkan selawat. Seterusnya, bulan Ramadhan adalah bulan di mana Allah Subhanahu wa ta’ala akan melimpahkan ke dalam hati kita dengan kebaikan. Bulan Ramadhan adalah bulan di mana kita meningkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Maka, untuk kita mendapatkan ganjaran yang terbaik daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dalam bulan Ramadhan kelak, marilah kita bermula daripada sekarang. Marilah kita mempersiapkan diri kita dengan amalan-amalan yang diajar oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dan para ulama, agar kita dapat menyediakan jiwa kita untuk mendapatkan manfaat yang optimum di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak kelak!

Allah jua Yang Maha Mengetahui.

JUST AN UPDATE

Assalaamu’alaikum,

I’m experiencing a very bad Internet connection at the moment; and I expect it to be so for at least another month. It seems like where I’m staying right now, Celcom Broadband isn’t sending their best signal. Therefore, my friends, you might catch me less online nowadays. Bad internet connection makes it almost impossible for me to logon to Yahoo Messenger. Even using Pidgin (a third-party instant messaging software) is still hard. Even if I do manage to connect, sometimes messages get lost during transaction and it doesn’t arrive at the destination, making it look like I’m not responding, or the other way around. Friends, I suggest it’s better that you send me an email if there’s anything important to discuss.

Well, I might’ve just been slightly exaggerative just now! (Hehe...) Anyway, I’m looking forward to an exciting few months ahead of me. Lots of exciting events to look forward to. The past few months have been a very refreshing training and learning process for me. Training from Allah Subhanahu wa ta’ala. I’ve learned a lot, through real-life experience, that there’s none better to put your hopes on than to Allah Subhanahu wa ta’ala. When you’re feeling down, then there’s none better for you to share your problems with than with Allah Subhanahu wa ta’ala; and for sure He’ll bless you with something better than whatever hardship or struggle you’re currently going through. Make lots of du’a, and He’ll definitely answer. That’s one of the blessings given to the ummah of Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. The only thing is: how much faith do you have in Allah?, and how well do you take care of your relationship with Allah Subhanahu wa ta’ala?

Okay then, I’ll post updates here in my blog. Do keep visiting.

Wassalam.

Thursday, 18 June 2009

Wabak H1N1: Mohon Bantuan Tuhan!

Saya teringat beberapa bulan lepas ketika sampai ke lapangan terbang antarabangsa Kuching, semasa melalui pemeriksaan imigresen, saya melihat hampir semua staf imigresen memakai topeng muka. Pada ketika itu virus selesema babi (yang kini dipanggil dengan nama H1N1) baru sahaja menular. Kemudian, awal bulan ini, semasa melalui negara Brunei untuk ke Limbang, kami terpaksa mengisi borang deklarasi kesihatan dan diperiksa suhu badan untuk memastikan kami tidak demam. Ternyata, penularan virus H1N1 telah menggemparkan satu dunia. Berita tentang wabak ini terus bermain di kaca televisyen, hampir setiap hari.

Baru pagi tadi saya melihat di kaca televisyen, Timbalan Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa menjadi satu kewajipan untuk semua orang yang masuk ke negara ini untuk mengisi borang deklarasi kesihatan. Pelbagai kempen juga telah dilakukan. Antaranya, dalam Berita Harian pada hari ini rakyat negara ini digalakkan untuk tidak mengembara ke negara-negara yang telah dikenalpasti sebagai negara yang berisiko tinggi dijangkiti virus H1N1. Syukurlah, para pemimpin negara ini telah mengambil langkah dengan cepat untuk berusaha membendung virus tersebut daripada menular ke dalam negara ini. Namun, ternyata ada juga yang terlepas masuk.

Namun, dalam kerisauan kita berusaha untuk membendung penularan virus H1N1 di negara ini, saya kira kita tertinggal satu dimensi yang lebih penting yang seharusnya dikempenkan dengan lebih giat dan lebih besar. Dimensi itu, sudah tentu, adalah kebergantungan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Kuasa. Telah banyak pesanan dan peringatan yang disebarkan kepada rakyat di negara ini untuk memastikan penularan virus H1N1 dapat dikekang, tetapi agak menyedihkan apabila hampir tiada langsung kempen di media, atau kempen yang dibuat secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat di negara ini yang majoritinya beragama Islam agar melazimkan solat sunat, doa, zikir dan sebagainya sebagai kaedah untuk mengelakkan dijangkiti virus tersebut.

Manusia perlu berusaha, dan ternyata usaha-usaha yang boleh dilakukan telah dilakukan. Tetapi, usaha manusia takkan mungkin mampu mengatasi ketentuan dan kekuasaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Oleh sebab itulah dalam Islam, manusia hanya disuruh untuk berusaha mengikut kadar kemampuan. Adapun, keputusan dan natijah daripada usaha itu hendaklah diserahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Malah, bolehlah dikatakan doa dan zikir itu sebagai usaha manusia untuk meraih Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala. Apabila manusia meletakkan pergantungan dan usaha mengemis Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala itu di bawah usaha-usaha manusiawi, maka hal tersebut menggambarkan sikap manusia yang biadap, seolah-olah manusia itu begitu hebat untuk menyelesaikan masalahnya sendiri. Sedangkan, pada hakikatnya, segala daya dan upaya manusia itu pun adalah Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala semata-mata.

Cukuplah bagiku Allah yang menolong dan memeliharaku, tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, dan kepada-Nya aku menyerahkan diriku.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Tuesday, 16 June 2009

Seminar Motivasi Solat


Solat itu tiang agama. Meruntuhkan solat bererti meruntuhkan agama. Ayuh, hantarlah anak-anak anda, adik-beradik anda, untuk menghadiri Seminar Motivasi Solat di Maahad As-Sofa di Rembau ini agar mereka dapat belajar cara-cara solat dengan betul sepertimana yang diajar oleh Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam, serta memahami falsafah di sebaliknya di samping belajar menghayati solat dengan baik agar benar-benar solat itu dapat meninggalkan kesan kepada peribadi mereka.

Wednesday, 10 June 2009

MUKAH OH MUKAH

Semalam (8 Jun), selesailah program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak Siri 2/2009 di Mukah. Program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini adalah merupakan siri yang kedua, selepas siri yang pertama telah diadakan di Miri bersempena dengan sambutan Maulidurrasul 1430H yang lepas. Tujuan program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini adalah untuk menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mengenali, menghayati serta mengamalkan sunnah baginda; dan juga untuk menyemai dalam diri para peserta sikap yang betul yakni dengan menjadikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai uswatun hasanah (contoh ikutan terbaik) dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang belia Islam Sarawak.

Kami (pasukan jurulatih muda program-program belia di bawah Unit Sosio-Budaya BPP-MIS) melaksanakan program rintis di kawasan Mukah ini, dengan tujuan dan matlamat yang sama sepertimana kami melaksanakan program rintis di kawasan Limbang, yakni untuk menyebarluaskan usaha membangunkan kualiti dan upaya belia Islam di serata negeri Sarawak. Kawasan Mukah adalah kawasan yang agak jauh, hampir sembilan jam perjalanan daripada Miri ke Mukah, termasuk lebih kurang dua jam perjalanan melalui jalan yang berbatu-batu. Walau bagaimanapun, Mukah adalah sebuah bandar yang mempunyai kemudahan serta fasiliti-fasiliti moden. Dari segi pembangunan fizikalnya, Mukah tidak kurang hebatnya berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kami diberitahu bahawa untuk melaksanakan program di Mukah, kami akan berhadapan dengan cabaran yang tersendiri. Antara cabarannya adalah bahawa rata-rata masyarakat di Mukah mempunyai ego yang tersendiri, sehinggakan memang sudah ada kes beberapa program yang cuba dianjurkan di Mukah sebelum ini menemui kegagalan. Ternyata, kami sendiri mengalami beberapa kesukaran dan cabaran dalam melaksanakan program di Mukah. Saya bukanlah anti kepada mana-mana kelompok atau masyarakat mana-mana bahagian di Sarawak, tetapi saya cukup tidak gemar apabila ada kelompok manusia yang berasa sombong dan angkuh dengan merasakan diri mereka lebih istimewa, lebih pandai dan tidak lagi memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada orang lain.

Pada asalnya, program kami di Mukah dijadualkan untuk dilaksanakan di salah sebuah sekolah menengah di situ. Namun, setelah mendapati keadaan tempat penginapan yang sangat tidak sesuai dan tidak selesa, ditambah dengan layanan dingin yang diberikan oleh pihak sekolah, maka kami mengambil keputusan untuk mengubah tempat program pada saat-saat akhir. Setelah meneliti beberapa tempat, akhirnya kami memutuskan untuk menjalankan program kami di Hotel Kingwood. Walaupun tempat program agak mewah, tetapi ternyata perubahan tempat program itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Setelah selesai sesi pendaftaran, ternyata kami hanya mendapat penyertaan sebanyak 18 orang peserta; 5 lelaki dan 13 perempuan. Perkara tersebut tidaklah mematahkan semangat kami untuk terus menjalankan program sepertimana yang telah dirancang, tetapi hal tersebut menggambarkan kepada kami betapa memang tidak mudah untuk mengadakan program di Mukah.

Apapun, syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan izin-Nya program tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Bilangan peserta yang agak sedikit membawa hikmah yang tersendiri. Antaranya adalah kos program dapat dikurangkan. Yang lebih penting pula, kami mampu memberikan penumpuan yang lebih peribadi sifatnya kepada para peserta. Di samping itu, program kami juga berjalan dengan santai dan seronok; mudah diuruskan kerana bilangan peserta yang sedikit. Beberapa pengubahsuaian daripada segi modul dan aktiviti dilakukan, sudah tentu, untuk menyesuaikannya dengan bilangan peserta yang sedikit. Bagi para fasilitator, para pendidik, para pendakwah, sikap dinamik dan fleksibel ini harus ada, kerana situasi dan keadaan latihan dan pembelajaran mungkin sahaja berubah-ubah.

Bagi program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak, antara elemen penting yang dibawa sepanjang program adalah bacaan Qasidah-qasidah yang dipetik daripada kitab Maulid Ad-Daiba’ie. Bacaan Qasidah dan Maulid tersebut adalah merupakan elemen unik dalam program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini. Di samping untuk mengambil keberkatan dengan menyanyikan syair-syair yang mengisahkan tentang kelahiran serta kemuliaan makhluk yang paling mulia, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, pelaziman bacaan Qasidan dan Maulid ini juga bertujuan untuk memperkenalkan para belia Islam dengan budaya serta tradisi Islam yang diwarisi daripada para ulama’, agar dapat membentuk peribadi yang benar-benar utuh dengan jatidiri Islamnya. Syukur, ternyata dalam kedua-dua program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak, di Miri dan di Mukah, keberkatan bacaan Maulid yang memuji Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah membantu melicinkan perjalanan program tanpa ada sebarang masalah besar. Kami malah tidak memerlukan kepada Kem Komanden ataupun ‘Bad Boy’ untuk menjaga disiplin peserta sepertimana yang lazimnya dilakukan dalam kem-kem latihan. Semuanya Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Di Mukah, apa yang kami dapati hasil perbincangan dan perkongsian bersama para peserta adalah rata-ratanya masyarakat Islam di Mukah, khususnya di kalangan generasi muda, mempunyai masalah yang sama sepertimana masyarakat Islam di kawasan kampung-kampung Melayu yang lain di sekitar Sarawak. Daripada apa yang kami perhatikan, seolah-olah pembangunan fizikal di Mukah tidak seiring dengan pembangunan mentaliti serta nilai yang ada pada masyarakat setempat. Masalah kelahiran anak luar nikah adalah antara masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat di Mukah. Oleh sebab itu, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Cawangan Mukah mengambil langkah dengan menganjurkan agar pasangan muda yang sedang giat bercinta agar melangsungkan pernikahan; kerana itu juga di Mukah agak banyak yang berkahwin pada usia muda. Itu satu perkara yang sangat baik kerana pernikahan itu adalah antara perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam agar disegerakan. Banyak faedah yang boleh diperolehi daripada pernikahan ketika usia muda. Cuma, saya merasakan perlu ada usaha yang intensif untuk mendidik generasi muda agar sedar dan faham akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam kerangka pandangan alam Islam yang benar.

Di hujung program, ternyata para peserta, khususnya peserta lelaki, yang menyatakan rasa penghargaan mereka dengan apa yang telah mereka belajar dan alami sepanjang mengikuti program tersebut. Mereka mencadangkan agar kami melaksanakan program-program seumpama itu di kawasan kampung-kampung mereka, agar generasi muda Islam di kampung-kampung mereka itu dapat diberikan kesedaran dan pendedahan yang sama, demi membentuk peribadi Muslim yang soleh dan solehah. Ada di kalangan para peserta yang menawarkan diri untuk menjadi orang perhubungan kami bagi membantu urusan melaksanakan program itu di kampung-kampung mereka. Syukur, biarpun program kami kali ini tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, namun ternyata program rintis ini telah berjaya membuka ruang dan peluang yang baru untuk kami terus menggiatkan usaha dakwah ini ke seluruh ceruk dan pelusuk negeri Sarawak.

Allah Maha Kuasa!

Saturday, 6 June 2009

Program Rintis di Limbang

Segala pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala. Kelmarin (4 Jun 2009), usailah program yang kami namakan dengan “Kolokium Rakan Sebaya dan Kepimpinan Pelajar Siri 1/2009” di SMK(A) Limbang. Program tersebut diadakan di kawasan Limbang, bahagian yang paling timur di negeri Sarawak; yakni sebuah bahagian yang boleh dianggap sebagai bahagian yang agak terasing dalam negeri Sarawak kerana akses darat ke Limbang perlu melalui sebuah negara lain yakni Brunei dan kerana masyarakat Limbang tidak tahu berbahasa dengan dialek Sarawak. Apapun, program tersebut mencatat sejarah peribadi yang tersendiri buat saya. Pertamanya, saya buat pertama kali menjejakkan kaki ke negara Brunei. Kedua, kehadiran saya ke Limbang untuk program ini bermakna lengkaplah kesemua sebelas (11) Bahagian di negeri Sarawak telah saya jejaki.

Program kami di Limbang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 rendah, serta sebilangan kecil pelajar tingkatan 2 dan 3 daripada empat buah sekolah menengah di sekitar Limbang yakni SMK(A) Limbang, SMK Limbang, SMK Seri Patiambun, dan SMK Kubong. Disebabkan program tersebut diadakan di SMK(A) Limbang, maka majoriti peserta adalah daripada SMK(A) Limbang; hampir 50%. Ketidakseimbangan bilangan peserta tersebut, ditambah lagi dengan keadaan bahawa program tersebut diadakan di sekolah mereka yang membentuk majoriti peserta, telah mengakibatkan sedikit ketidakseimbangan daripada segi komitmen, keterlibatan dan keyakinan peserta di peringkat awal program. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit hal tersebut cuba diatasi, dan syukurlah menjelang penghujung program partisipasi para peserta program daripada semua sekolah yang terlibat adalah agak baik.

Antara tujuan kami melaksanakan program “Kolokium Rakan Sebaya dan Kepimpinan Pelajar” di Limbang ini adalah untuk membuka lebih banyak jaringan dan hubungan dengan golongan remaja Islam dan masyarakat di Limbang; yang mana program tersebut adalah merupakan program yang julung kali kami adakan di Limbang. Selain daripada itu, program ini juga diadakan dengan tujuan untuk menggilap bakat dan potensi kepimpinan belia Islam yang berada di Limbang, agar akhirnya untuk jangka masa panjang akan lahirlah lebih ramai pemimpin-pemimpin Islam yang dapat memimpin masyarakat, dan yang lebih penting lagi memainkan peranan mereka dalam menyambung misi kerasulan di serata negeri Sarawak. Ternyata, para pelajar Islam Limbang yang mengikuti program kami mempunyai potensi kepimpinan yang cukup baik; dan mereka juga begitu bersemangat mengikuti program yang dijalankan. Mudah-mudahan mereka akan menjadi pemimpin Islam yang soleh dan solehah, serta memimpin masyarakat Islam di Limbang dan di Sarawak secara amnya mencapai kemuncak ketamadunan manusia.

Apa yang menarik sepanjang program tersebut adalah apabila ada beberapa pihak yang mempersoalkan program yang kami jalankan sebagai tidak serius dan nampak kurang baik kerana agak kurang penekanan daripada segi disiplin yang diberikan. Ada peserta yang memakai selipar untuk hadir ke sesi-sesi yang kami jalankan, dan pakaian yang digunakan juga tidak diberikan apa-apa syarat. Bagi kami, sememangnya seperti itulah program-program kami selalunya. Kami memang tidak akan memberikan penekanan yang terlalu banyak terhadap perkara disiplin yang sebenarnya sifatnya hanya superficial seperti soal pemakaian. Hal ini demikian kerana untuk mengubah dan mendidik manusia, bukanlah melalui cara paksaan dan penekanan tentang hal-hal fizikal. Sebaliknya, mencontohi manhaj Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam serta para ulama yang menjadi pewaris misi kerasulan, apa yang penting adalah soal ilmu dan kefahaman yang perlu diterapkan ke dalam diri para peserta program, dengan penuh rasa kasih dan sayang. Kaedah dan pendekatan yang kami bawa ini sememangnya akan banyak bertentangan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional yang dipraktikkan di sekolah-sekolah pada hari ini. Namun, kami yakin dan percaya bahawa kaedah dan pendekatan yang kami bawa ini adalah pendekatan yang lebih efektif dalam mendidik generasi muda.

Penekanan disiplin yang seringkali ditekankan kepada para peserta dalam program-program latihan seperti soal berpakaian, cara menyapa fasilitator, benda-benda yang wajib dibawa sepanjang masa, dan sebagainya, adalah lebih bersifat latihan untuk aspek fizikal manusia. Sedangkan, seperti yang telah saya tulis sebelum ini, manusia itu adalah makhluk fizikal dan spiritual. Aspek spiritual manusia itu lebih penting daripada fizikal. Justeru, bagi kami, apa yang penting adalah penumpuan yang lebih harus diberikan kepada aspek spiritual, bukannya fizikal. Penumpuan kepada aspek spiritual itulah seperti soal zikir dan doa yang diamalkan, soal persediaan fasilitator dalam menyampaikan mesej yang harus terbit daripada hati, solat secara berjemaah, serta penyampaian ilmu yang benar yang menjadi makanan kepada ‘aql yang merupakan elemen spiritual manusia. Di samping itu, hubungan antara fasilitator dan para peserta haruslah berdasarkan rasa kasih dan sayang yang tulus, yang termanifestasi daripada hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan seseorang itu sehingga ia menyintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri.” Kecintaan itu pula, haruslah yang merujuk kepada hal spiritual, bukannya semata-mata fizikal.

Syukur, program kami berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Beberapa perancangan telah diatur bersama para pelajar yang menyertai program tersebut, agar selepas ini ada beberapa tindakan susulan yang akan diambil oleh para pelajar Islam di Limbang. Mudah-mudahan akan muncul satu generasi pelajar Islam yang benar-benar komited dalam perjuangan menegakkan agama Islam, dengan daya kepimpinan yang mantap dan hebat bagi mewarisi kepimpinan negeri.

Allah jua yang Maha Hebat.

Monday, 1 June 2009

TAHNIAH FASILITATOR KOTA SAMARAHAN

Semalam (31 Mei 2009) berakhirnya Program Motivasi dan Jatidiri Samarahan 2009. Program tersebut adalah merupakan program susulan bagi projek Latihan Kefasilitatoran yang telah kami mulakan di bawah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) yang bertujuan untuk melahirkan lebih ramai fasilitator terlatih bagi mengembangkan lagi projek pembangunan remaja Islam Sarawak yang dinamakan sebagai PEWARIS. Walaupun fasilitator yang telah mengikuti Latihan Kefasilitatoran Asas pada Disember 2008 yang terlibat dengan program susulan ini hanya tiga orang, namun beberapa orang rakan mereka yang lain yang turut membantu dalam program tersebut juga mempunyai potensi yang besar untuk menjadi fasilitator yang baik.

Para peserta yang seramai 59 orang, datangnya daripada sekitar Kota Samarahan dan Kampung Melayu Balai Ringin. Mereka terdiri daripada remaja-remaja Islam yang majoritinya sudah tidak lagi bersekolah; sama ada telah tamat persekolahan tetapi tidak melanjutkan pengajian ataupun sememangnya mereka tidak menamatkan persekolahan. Justeru, program ini disusun oleh para peserta Latihan Kefasilitatoran Asas daripada Kota Samarahan dengan tujuan untuk menyuntik motivasi dan membina kesedaran di kalangan para peserta agar mereka bertindak untuk meningkatkan potensi diri mereka dan seterusnya mengubah keadaan diri, keluarga dan masyarakat.

Selain daripada permasalahan pendidikan formal, kebanyakan para peserta juga datang daripada keluarga yang mempunyai masalah. Hasilnya, kebanyakan peserta mempunyai pendidikan agama yang terlalu sedikit; itupun difahami secara superficial sahaja, sebagai adat dan ritual tanpa asas ‘aqidah yang kukuh. Oleh sebab itulah kami menekankan kepada para fasilitator dalam program tersebut bahawa untuk menjadi seorang fasilitator Muslim yang baik, budaya ilmu harus dijadikan sebagai teras. Malah, kami juga memberikan penekanan bahawa dalam proses latihan, untuk memberikan kesan jangka panjang yang lebih kekal, maka pengisian yang lebih substantial adalah diperlukan. Pengisian yang lebih substantial itu sudah tentu adalah pengisian yang terasnya adalah ilmu kerana ilmu lebih kekal berbanding semangat, motivasi ataupun tabiat paksaan yang seringkali bertahan hanya untuk tempoh waktu yang tertentu.

Apa yang penting juga adalah niat dan sikap fasilitator itu sendiri. Kami memberikan penekanan bahawa fasilitator haruslah melihat setiap peserta dengan penuh kasih sayang; bahawa setiap seseorang daripada mereka berpotensi untuk menjadi seseorang yang luarbiasa hebat. Fasilitator haruslah melihat mereka dengan pandangan kasih, dengan suatu keinginan agar mereka juga dapat sama-sama mengecapi erti kebahagiaan yang hakiki. Itulah sikap yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam; baginda begitu kasih dan sayangkan umat baginda, sehinggakan baginda tidak redha seandainya masih ada di kalangan umatnya yang tidak masuk ke syurga. Justeru, sikap itulah yang perlu dicontohi. Mudah-mudahan hasil usaha kami yang kecil, akan dapat mencetuskan perubahan yang lebih besar.

Apapun, program tersebut telah berjalan dengan sangat baik. Biarpun tidak ramai fasilitator yang betul-betul berpengalaman, namun keikhlasan dan kesungguhan mereka dalam melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan masyarakat ternyata memberikan kesan yang positif kepada program tersebut. Di samping itu, para urusetia program – yang juga terdiri daripada mereka yang tidak berpengalaman – telah menjalankan tugas dengan sangat baik dan mereka cukup banyak membantu dalam menjayakan program tersebut.

Tahniah kepada fasilitator dan urusetia Kota Samarahan!