Kalungan Al-Fatihah buat Allahyarham Dato’ Ishak Baharom

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘ash r.a. berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bahawasanya Allah S.W.T. tidak mencabut (menghilangkan) akan ilmu itu dengan sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah S.W.T. menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim-ulama. Maka apabila sudah ditiadakan alim-ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain.” (Hadith riwayat Muslim)

Pemergian Allahyarham Dato’ Ishak Baharom adalah satu kehilangan besar buat umat Islam di negara ini. Beliau meninggalkan dunia ini untuk bertemu kekasihnya pada hari Rabu, 30 Januari 2008 pada jam 2.50 petang di Hospital Sungai Buloh. Kita bersama-sama mendoakan semoga roh Allahyarham Dato’ Ishak Baharom ditempatkan di kedudukan mulia bersama-sama orang-orang yang soleh.

Pemergian Dato’ Ishak Baharom meninggalkan satu lagi kelompongan buat umat, kerana perginya seorang ulama’ bukanlah mudah untuk diganti. Allahyarham meninggalkan legasi yang wajar disanjungi, gelaran ‘bekas’ Mufti Selangor diperolehi setelah dipecat apabila menyuarakan pandangannya dalam isu pertandingan ratu cantik. Allahyarham adalah contoh seorang ulama’ yang jujur dengan ilmunya, berani dan tegas dalam mempertahankan kebenaran!

Namun, cukup mengecewakan apabila pemergian seorang tokoh besar seperti ini tidak mendapat liputan dalam media-media perdana, tetapi pemergian artis-artis kadang-kala sehingga memuatkan muka depan akhbar. Nyata masyarakat kita celaru, ingin menjadikan artis dan orang jahil sebagai pemimpin!

Semoga roh Allahyarham Dato’ Ishak Baharom tenang dan bahagia dalam cinta kekasih agungnya. Salam takziah buat keluarga Allahyarham; bergembiralah kalian kerana Tuhan menjemput beliau dalam kemuliaan...

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
8:26 pm ×

tidak dinafikan saudara loloq menyumbangkan karya yang berharga dan wajar dihargai. tetapi apabila berita tentang dirinya saja yang jadi tajuk utama... terasa ketidak adilan wujud di sini.

adakah kerana allahyarham dato' ishak baharom pernah dipecat maka pemergiannya tidak begitu dipedulikan?

wallahualam..

alfatihah buat kedua2 insan tersebut, dato'ishak baharom dan rosli khamis @ loloq

Congrats bro norlina alfan you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar