Perkaya Bekal Pahala Dengan Ibadah Sunat

Imam Hujjatul Islam al-Ghazali rahimahullahu ta’ala berkata (yang bermaksud):

“Ketahui olehmu wahai pelajar, bahawasanya segala ibadah yang disuruh oleh Allah ta’ala yang Maha Mulia dan Maha Tinggi itu ada kalanya fardhu dan ada kalanya sunat. Maka fardhu itu ra’sul-maal yakni modal perniagaan. Dan dengan dia asal perniagaan kita, dan dengan dia kita dapat selamat. Dan sunat itu iaitu laba daripada perniagaan, dan dengan dia dapat kemenangan dan darjat di dalam akhirat dan hampir kepada Allah ta’ala.”

(Dipetik daripada Bab Kedua kitab Hidayatus-Salikin Fi Suluki Maslakil-Muttaqin susunan Syeikh Abdus-Shamad Al-Falimbani, disunting dan disempurnakan oleh Syeikh Ahmad Fahmi ZamZam Al-Banjari An-Nadwi Al-Maliki.)

Imam al-Ghazali membayangkan bahawa dalam hal ibadah, ada dua bentuk yakni ibadah yang fardhu (wajib) dan ibadah yang sunat. Ibadah yang wajib adalah wajib dikerjakan, dan apabila selesai dikerjakan dengan sempurna dan memenuhi segala syaratnya bererti kita terlepas daripada tanggungjawab. Imam Ghazali membayangkan, kalau dalam perniagaan, itu seolah-olah modal. Dalam erti kata lain, kalau modal perniagaan kita adalah sebanyak $10,000, maka kita mendapat pulangan sebanyak $10,000. Kita tidak mendapat untung, tetapi kita tidak mengalami kerugian. Begitulah ibaratnya orang yang mengerjakan ibadah wajib semata-mata.

Ibadah sunat pula adalah ibarat keuntungan. Ibarat modal $10,000, tetapi kita mendapat pulangan $20,000, $30,000 dan sebagainya. Kerana itu, orang yang banyak mengerjakan ibadah sunat ini lebih dikasihi Allah dan lebih hampir kepada Allah. Justeru, orang yang banyak mengerjakan ibadah sunat pastinya orang yang akan mendapat ganjaran yang lebih lumayan di akhirat kelak.

Mungkin ramai umat Islam pada hari ini berasa selamat dengan sekadar mengerjakan ibadah wajib semata-mata. Namun, kita harus ingat bahawa sebagai manusia biasa kita punya banyak kelemahan dan tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan. Sebab itulah, adab yang baik sebagai hamba Allah yang lemah adalah kita membanyakkan aktiviti ibadah sunat sebagai merealisasikan peranan kita yang utama sebagai hamba Allah, sekaligus membantu untuk menampung kesilapan-kesilapan yang mungkin kita lakukan dalam ibadah-ibadah wajib.

Peringatan buat diri saya sendiri dan untuk semua; kita giat bekerja mengumpul seberapa banyak harta yang boleh untuk kesenangan hidup kita di dunia. Tetapi, cuba fikirkan, sekuat mana usaha kita untuk mengumpul seberapa banyak pahala buat kesenangan hidup di dunia abadi?

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »