Sedekah Kepada Pencuri?


Antara perkara yang menjadi penghalang kepada sesetengah orang Islam untuk mengeluarkan sedekah adalah kerana risau sedekah itu diberikan kepada pihak yang akan menyalahgunakannya untuk kepentingan peribadi. Ini adalah salah satu kelemahan atau masalah yang sedang menular dalam masyarakat kita pada hari ini; yakni semakin ramai orang yang menghabiskan masa mereka mengambil peranan pada perkara-perkara yang bukan tanggungjawab mereka.

Dalam konteks sedekah ini, ada orang-orang yang sibuk mempersoalkan tentang pengurusan kewangan, tentang ke mana wang sedekah itu akan disalurkan, dan sebagainya; sehingga akhirnya mereka sendiri terlepas peluang untuk bersedekah.

Ada satu hadith yang menarik untuk diperhatikan berkaitan dengan hal ini. Terjemahan hadith tersebut adalah kira-kiranya seperti berikut;

Daripada Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda: Telah berkata seorang lelaki: ‘Demi sesungguhnya aku hendak bersedekah dengan satu sedekah’, lalu ia keluar dengan membawa sedekahnya itu maka diletakkannya pada tangan pencuri, kemudian berpagi-pagi mereka (orang ramai) menceritakan bahawa engkau bersedekah kepada pencuri! Lalu ia berkata: ‘Hai Tuhanku, bagi Engkaulah pujian. Sesungguhnya aku hendak sedekah dengan satu sedekah’, lalu ia keluar dengan sedekahnya itu maka diletakkannya pada tangan perempuan zina, maka berpagi-pagi mereka itu menceritakan: ‘Engkau bersedekah semalam ke atas perempuan zina!’ Maka berkata ia: ‘Wahai Tuhanku, bagi Engkau pujian. Sesungguhnya aku hendak bersedekah dengan satu sedekah’, maka keluar ia dengan sedekahnya, lalu diletakkannya pada tangan orang kaya, kemudian berpagi-pagi mereka itu menceritakan: ‘Engkau bersedekah kepada orang kaya!’ Maka berkata ia: ‘Wahai Tuhanku! Bagi Engkaulah pujian atas pencuri, dan atas perempuan zina dan atas orang kaya.’ Maka didatangi kepadanya, lalu dikatakan baginya, ‘Adapun sedekah-sedekah engkau kepada orang pencuri itu mudah-mudahan ia akan berhenti daripada pencuriannya. Dan adapun kepada perempuan zina itu mudah-mudahan ia akan berhenti daripada pekerjaan zinanya dan adapaun kepada orang kaya itu mudah-mudahan ia akan mengambil i’tibar (teladan) lalu iapun belanjakan daripada harta yang diberikan kepadanya oleh Allah ‘Azza wa Jalla (untuk kebaikan pula).’(Hadith Riwayat al Bukhari)

Ada pengajaran penting yang boleh kita praktiskan dalam kehidupan kita daripada hadith di atas. Sedekah yang kita berikan kepada tempat yang salah (dalam keadaan kita tidak mengetahuinya secara pasti), tetap akan ada kebaikan dan pahalanya untuk kita. Apatah lagi jika sedekah itu diberikan kepada tempat yang betul. Oleh sebab itu, sebagai seorang muslim, apabila Allah Subhanahu wa ta’ala telah menghadirkan kepada kita satu peluang untuk bersedekah, keluarkanlah sedekah. Dikhuatiri apabila semakin banyak saluran bersedekah yang kita tolak, kelak Allah Subhanahu wa ta’ala menutup terus pintu-pintu sedekah bagi kita.

Apabila kita tidak mengetahui sama ada sesuatu tempat sedekah itu adalah betul atau tidak, berikan sahaja sedekah dengan niat untuk membantu dan memberikan kebaikan. Bukan tanggungjawab kita untuk menyiasat dan mempersoalkan secara mendalam sama ada sesuatu tempat sedekah itu adalah tempat yang betul atau tidak – itu adalah tugas pemerintah. Jika tempat itu akhirnya didapati bukan saluran yang betul, dan kita telah memberikan sedekah, kita tetap mendapat pahala dan kebaikan daripada sedekah kita itu.


Naim Zulkipli
6 Februari 2023


-----
Sedekah secara online untuk pembangunan institusi Tahfiz & Turath: https://bit.ly/infaqTahfiz

Previous
Next Post »