Isrā` & Mi’rāj Ujian Keimanan Umat


Peristiwa Isrā` & Mi’rāj adalah peristiwa yang sangat besar dan agung dalam sejarah dunia, khususnya bagi umat Islām. Peristiwa tersebut yang mengandungi sangat banyak signifikasi buat umat Islām, juga membawa erti yang sangat besar buat baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam. Peristiwa tersebut adalah merupakan salah satu mu’jizāt yang dikurniakan kepada baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam. Maksud mu’jizāt adalah perkara yang mencarik adat, atau menyalahi tabiat biasa sesuatu, dan hanya dikurniakan kepada para Nabi dan Rasul. Salah satu fungsi mu’jizāt adalah untuk membuktikan kebenaran seseorang Nabi atau Rasul itu, kerana perkara mu’jizāt ini adalah perkara yang sangat menyalahi tabiat kebiasaan sehingga akal manusia yang sihat boleh memahami bahawa hal tersebut bukanlah sesuatu yang boleh dibuat-buat sendiri oleh Nabi atau Rasul itu atas kapasitinya sebagai seorang manusia, melainkan ia adalah merupakan kurniaan daripada Tuhan Yang Maha Kuasa jua.

Besarnya peristiwa Isrā` & Mi’rāj ini sehingga, semenjak daripada hari Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam kembali daripada perjalanan agung itu sampailah ke hari ini, peristiwa ini menjadi satu peristiwa yang menguji tahap keimanan seseorang muslim itu. Mereka yang teguh keimanan akan mempercayai dan meyakini berlakunya peristiwa ini secara hakikat, manakala yang lemah keimanan akan terus menafikan peristiwa ini sebagai satu dongengan ataupun cuba menjustifikasikan peristiwa ini supaya sesuai dengan batas-batas kepercayaan mereka seperti mengatakan bahawa peristiwa ini hanya berlaku dengan roh dan bukan jasad (seperti mimpi). Semenjak daripada zaman Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam lagi, golongan kuffār dengan bersungguh-sungguh menentang dan mengejek kebenaran peristiwa ini, dan golongan muslim yang lemah iman mereka terus berpaling tadah dan menjadi murtad apabila mendengar perkhabaran peristiwa ini.

Seorang muslim yang mempunyai pandangan alam Islām yang jelas, yang berpegang kepada prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal Jamā’ah atas landasan ilmu, akan meyakini dan memahami tanpa keraguan bahawa peristiwa Isrā` & Mi’rāj ini adalah peristiwa yang benar-benar berlaku dan baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam melaluinya dengan jasad dan roh. Pada hari ini ada dalam kalangan umat Islām yang terpengaruh dengan aliran pemikiran yang asing dan menyeleweng mendakwa bahawa perjalanan baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam itu hanya berlaku dengan roh sahaja, kerana pada hemat mereka adalah sesuatu yang mustahil bagi seseorang manusia untuk melalui perjalanan yang begitu panjang dalam masa yang begitu singkat dan mengalami pula peristiwa-peristiwa yang aneh seperti pertemuan dengan para Nabi dan Rasul yang terdahulu dan naik sehingga menembusi lapisan langit ketujuh.

Hakikatnya, ada banyak bukti yang menunjukkan bahawa Isrā` & Mi’rāj itu berlaku ke atas Baginda sallallāhu ‘alayhi wasallam dengan roh dan jasad. Antaranya adalah penentangan yang ditunjukkan oleh golongan kuffār Makkah, dan murtadnya orang-orang Islām yang lemah keimanan mereka pada zaman Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam. Sekiranya peristiwa tersebut hanya berlaku dengan roh sahaja, maka sudah tentu penduduk Makkah tidak akan menunjukkan penentangan yang begitu dahsyat kerana dalam mimpi apa-apa sahaja boleh berlaku. Penentangan yang dibuat oleh golongan kuffār Makkah adalah kerana mereka memahami tanpa ragu bahawa baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam memaksudkan perjalanan yang dilalui oleh Baginda sallallāhu ‘alayhi wasallam itu adalah benar berlaku dengan roh dan jasad.

Kemudian, ada beberapa ayat-ayat al Qur`ān berkaitan peristiwa Isrā` & Mi’rāj ini yang menunjukkan bahawa Baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam melalui peristiwa tersebut dengan jasad, dan secara jaga. Menurut al ‘Allāmah Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al Maliki al Hasani, istilah bi‘abdihī (hambaNya) dalam Surah al Isrā` ayat 1, dan istilah al-baśaru (penglihatan) dalam Surah al Najm ayat 17, adalah istilah yang merujuk kepada bahagian jasad (fizikal).

Begitu juga apabila kita memahami bahawa peristiwa Isrā` & Mi’rāj ini adalah antara mu’jizāt yang dikurniakan oleh Allāh Subhānahu wa ta’āla kepada Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam, kita akan memahami bahawa peristiwa itu memang semestinya berlaku dengan roh dan jasad. Sekiranya peristiwa itu berlaku hanya dengan roh (dalam mimpi), maka sudah tentu peristiwa itu bukannya satu mu’jizāt kerana perkara aneh dalam mimpi bukanlah sesuatu yang mencarik adat. Malah, manusia biasa seperti kita juga boleh mengalami mimpi kejadian yang aneh-aneh. Justeru, adalah jelas tanpa ragu bahawa peristiwa Isrā` & Mi’rāj itu berlaku dengan benar dan baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam diperjalankan dengan roh dan jasad secara jaga dan sedar.

Sekiranya masih ada dalam kalangan umat Islām yang meragui akan kebenaran peristiwa Isrā` & Mi’rāj kerana dianggap terlalu “mistikal”, itu adalah kerana mereka sudah terpengaruh dengan tradisi ilmu Barat, atau tradisi ilmu asing yang bertentangan dengan tradisi ilmu Islām. Tradisi ilmu Barat yang sangat mengagungkan ilmu sains (disebabkan sejarah kehampaan mereka dalam mencari makna kehidupan beragama), beranggapan bahawa saluran ilmu itu hanyalah ‘pancaindera’ yang lima. Kebenaran diukur melalui apa yang boleh dilihat, didengar, dihidu, dirasa, atau disentuh. Sedangkan, dalam tradisi Islām saluran ilmu itu bukan hanya melalui pancaindera sahaja kerana bukan semua hakikat kebenaran boleh dicapai melalui pancaindera semata-mata. Imam al Nasafī dalam kitab ilmu ‘aqīdah beliau menerangkan bahawa saluran ilmu itu ada tiga yang utama iaitu khabar (periwayatan) yang benar, pancaindera yang sihat, dan akal. Saluran ilmu paling tinggi adalah khabar; dan memahami susunan keutamaan saluran ini adalah sangat penting. Dalam tradisi Islām, saluran ilmu melalui khabar yang paling tinggi pula adalah khabar daripada baginda Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam. Melalui Bagindalah kitab suci al Qur`ān dan segala ilmu agama disampaikan kepada manusia. Daripada saluran utama itulah para ‘ulamā` menyusun keutamaan sumber ilmu dalam Islām yang didahului oleh al Qur`ān dan al Hadīth. Seorang muslim yang terpengaruh dengan tradisi ilmu Barat dan mempercayai bahawa saluran ilmu yang paling utama adalah pancaindera yang lima, akhirnya akan cenderung untuk mengenepikan peranan Rasulullāh sallallāhu ‘alayhi wasallam sebagai sumber ilmu yang paling utama. Maka, disebabkan peristiwa Isrā` & Mi’rāj itu tidak dapat dibuktikan dengan pancaindera manusia, mereka beranggapan bahawa peristiwa itu hanyalah dongengan belaka.

Apa yang disampaikan kepada kita tentang peristiwa Isrā` & Mi’rāj adalah sebenarnya sesuatu yang dapat diterima oleh akal yang sihat. Telah disebutkan di atas bahawa mu’jizāt itu adalah sesuatu yang mencarik adat. Sifat mu’jizāt ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditiru atau dilakukan oleh manusia. Allāh Subhānahu wa ta’āla pernah menjadikan api yang tinggi membara itu menjadi sejuk dan nyaman untuk Nabi Ibrāhīm ‘alayhissalām. Api yang membara itu sifatnya panas dan membakar, tetapi Allāh mencabut sifat itu daripada api tersebut buat seketika. Hal tersebut adalah sangat mudah bagi Allāh Yang Maha Kuasa; sepertimana firman Allāh dalam al Qur`ān yang kira-kira bermaksud, “Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Dia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepada (hakikat) benda itu: ‘Jadilah engkau!’. Maka ia terus menjadi.” (Surah Yāsīn, ayat 82). Perkara yang dianggap mustahil apabila dinilai melalui pancaindera semata-mata, hakikatnya adalah sangat mudah bagi Allāh Yang Maha Kuasa.

Sesungguhnya ada sangat banyak lagi pengajaran dan faedah yang besar buat umat Nabi Muhammad sallallāhu ‘alayhi wasallam melalui peristiwa Isrā` & Mi’rāj ini. Namun, buat umat Islām yang masih meragui hakikat kebenaran peristiwa ini, mohonlah kepada Allāh Subhānahu wa ta’āla agar dilapangkan dada kalian dan dibukakan pintu hati untuk dapat melihat kebenaran sebagai kebenaran. Fahami hakikat peristiwa ini melalui tradisi ilmu Islām (yang menuntut seseorang itu untuk mempelajarinya) dan bukannya melalui tradisi ilmu Barat yang penuh kekeliruan dan tidak mungkin akan mampu untuk menilai peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam sejarah secara ‘adil.

Malaysia ini adalah negara yang diberkati kerana kita tidak kekeringan ‘ulamā`. Dalam tempoh beberapa hari ini ada sangat banyak majlis ilmu yang menceritkan tentang peristiwa Isrā` & Mi’rāj di seluruh negara. Ambil masa untuk hadir dan belajar daripada para ‘ulamā` Ahli Sunnah wal Jamā’ah yang ada di negara kita ini, sebelum kelak Allāh mengambil mereka kembali.

Selamat menyambut dan memperingati peristiwa Isrā` & Mi’rāj.

Naim Zulkipli
18 Februari 2023

Previous
Next Post »