![]() |
al ‘Allamah Dr. Sayyid Nafi’ ibn Sayyid al-‘Arabi ibn Sayyid Ahmad as-Sharif ibn Sayyid Muhammad as-Sharif ibn Sayyid Muhammad ‘Ali as-Sanusi |
Sepanjang minggu lepas, kami disibukkan (teramat)
dengan kehadiran guru kami yang mulia, al ‘Allamah Dr. Sayyid Nafi’ ibn Sayyid al-‘Arabi
ibn Sayyid Ahmad as-Sharif ibn Sayyid Muhammad as-Sharif ibn Sayyid Muhammad ‘Ali
as-Sanusi. Alhamdulillah, pagi tadi (26 Disember 2012), guru kami tersebut telah
berangkat pulang ke Mesir dan semalam kami telah sempat bersama beliau untuk
majlis wida’ (perpisahan) di Ampang, Selangor. Sungguh, setelah sekian lama
keluarga Sanusiyyah terkubur – setelah zaman kegemilangan mereka menentang
penjajah Eropah serta membangunkan negara Libya sebelum digulingkan oleh
Muammar Gaddafi – jelas tergambar kegembiraan di hati al ‘Allamah Dr. Sayyid
Nafi’ tatkala dapat bersama guru kami al Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad bin
Kamaludin serta ratusan para ikhwan.
Ketika menyampaikan amanat beberapa jam sebelum berangkat ke lapangan
terbang, terasa kesayuan di hati kami. Begitu bersungguh-sungguh guru kami
menceritakan tentang sejarah kegemilangan keluarga Sanusiyyah, lantas
memberikan harapan beliau agar kami semua bersungguh-sungguh berusaha bagi
mengembalikan kegemilangan tersebut demi kegemilangan Islam. Beliau berpesan
agar kami sentiasa berpegang kepada al Quran dan as Sunnah, menjaga hubungan
ukhuwwah dan mahabbah serta sentiasa berpegang kepada guru (murabbi) yang akan
membimbing kami dalam perjalanan menuju Allah ini.
Sungguh terasa sayu di hati apabila terpaksa berpisah dengan guru kami
yang dikasihi ini. Semoga Allah terus memelihara hubungan roh yang telah
dibina. Benarlah kata Syeikh as Syuyukh al Imam Abi Madyan al Ghauth;
ما لذة العيش إلا
صحبة الفقرا... هم السلاطين والسادات والأمر
“Tidak
ada kelazatan hidup melainkan bersahabat dengan fuqara’ (orang yang berhajat
kepada Allah);
Mereka
adalah sultan-sultan dan penghulu-penghulu dan ketua-ketua.”
Semoga Allah sentiasa meletakkan guru kami al ‘Allamah Dr.
Sayyid Nafi’ ibn al ‘Arabi as Sanusi dan guru kami al Musnid Dato’ Syeikh
Muhammad Fuad bin Kamaludin dalam kebaikan.