Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam
ke atas junjungan kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam
dan ahli keluarga baginda yang mulia.
Saya
teringat satu kisah benar yang pernah diceritakan oleh guru kami yang mulia,
al-‘Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al-Maliki, beberapa
tahun yang lepas yang saya ingat kisahnya sampai ke hari ini. Kisah tersebut
benar-benar telah membuka satu kotak pemahaman yang lebih jelas kepada saya
tentang ‘aqidah. Kisah tersebut tentang seorang ustaz muda yang berdakwah di
kampung orang asli. Kegigihan berdakwah ustaz tersebut membuahkan hasil apabila
ada di kalangan orang asli tersebut yang menyatakan hasrat untuk memeluk agama
Islam. Walau bagaimanapun, ustaz tersebut terkesima dan mengalami dilema
apabila orang asli tersebut menyatakan:
“Ustaz,
saya nak masuk Islam... tapi saya tak nak tinggalkan makan babi. Boleh tak?”
Soalan
ini mungkin nampak remeh, tetapi melalui pengalaman saya, saya tahu bahawa
jawapan yang terbaik hanya mungkin boleh diberi oleh orang yang mantap ilmu
agamanya (lengkap dimensi Aqidah-Syariat-Tasawuf). Ustaz tadi yang ditanyakan
soalan tersebut, tidak pasti bagaimana hendak menjawab lalu mengajukan masalah
tersebut kepada Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki (semoga
Allah merahmati beliau). Jawapan Al-Musnid Syeikh cukup mudah:
Gambar hiasan |
“Katakan
kepadanya: masuklah Islam. Nak makan babi pun, makanlah.”
Kenapa boleh
begitu?
Penjelasannya
cukup mudah; kerana orang asli itu tadi jika tidak dibenarkan memeluk agama
Islam, maka dia akan kekal dalam kekufuran. Tetapi jika dia masuk Islam, dan
dibenarkan makan babi (dek kerana sudah menjadi kebiasaan sehingga mungkin
sukar untuk ditinggalkan kebiasaan itu), maka dia adalah seorang Islam yang
melakukan dosa – fasiq. Antara “fasiq” dan “kufur”, darjat manakah yang lebih
teruk? Sudah tentu “kufur”! Malah, terlalu jauh beza antara “fasiq” dan “kufur”.
Kekufuran adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah – balasan bagi
orang yang kufur adalah azab neraka. Tetapi sebaliknya bagi orang Islam,
walaupun fasiq, akhirnya kelak tetap akan ke syurga Allah berdasarkan kepada sabda
Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa
yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’, akan masuk syurga.”
(Maksud hadith). Malah, bagi orang yang fasiq, jika Allah berkenan untuk
mengampunkan segala dosanya di saat penghujung nyawanya, orang itu akan mati
dalam keadaan suci dan bersih daripada dosa! Dan hal tersebut sangatlah mudah
bagi Allah. Bukankah Allah itu Maha Pengampun?!
Kenapa
saya membawakan cerita ini?
Cerita
ini harus menjadi pengajaran penting kepada umat Islam di Malaysia pada hari
ini. Pada hari ini, kita menyaksikan wujud kelompok-kelompok umat di negara ini
yang semudah-mudahnya memperlekeh ‘aqidah kelompok yang lain. Atas pentas
politik, malah dalam surau dan masjid-masjid, wujud kelompok umat yang
menghukum “kufur” atas kelompok yang lain! Lebih menyedihkan, seringkali
tuduhan “kufur” (termasuk menggunakan istilah lain seperti: ‘tidak Islam’, ‘sesat’,
‘bid’ah (dholalah)’, ‘aqidah menyeleweng’, dan sebagainya) dilemparkan atas
sebab-sebab yang bukannya termasuk dalam ruang lingkup ‘aqidah!
Apakah
mereka tidak pernah mendengar sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam
yang lebih kurang maksudnya: “Jika seseorang berkata kepada saudaranya, ‘Wahai
kafir!’ Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di
antara keduanya.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu
Hurairah). Hadith ini merupakan satu amaran yang sangat besar, bahawa jika kita
seseorang itu tersalah dalam menghukum “kafir”, maka kekufuran itu akan
ditimpakan terhadap orang yang menghukum tersebut!
Inilah
yang berlaku hari ini. Ada di kalangan umat ini yang menganggap isu-isu seperti
kezaliman, rasuah, salahguna kuasa, penipuan dalam pilihanraya, fitnah terhadap
akhlak seseorang, dan sebagainya sebagai isu ‘aqidah – sedangkan semua itu
bukan isu ‘aqidah! Ya, semua perlakuan di atas adalah ditegah dalam agama dan
pelakunya adalah orang yang melakukan maksiat dan dosa, mereka fasiq.
Selagimana mereka masih berpegang kepada dua kalimah syahadah, mereka tetap
Islam!
Dalam hal
ini, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda dalam hadith yang
diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang lebih kurang maksudnya: “Tiga
perkara daripada asas keimanan ialah: menahan diri daripada (mengkafirkan)
orang yang mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’, kami tidak mengkafirkannya kerana
dia berbuat dosa dan kami tidak mengeluarkannya daripada Islam hanya kerana dia
melakukan maksiat... (sehingga akhir hadith)” (Hadith riwayat
Abu Daud)
Kegagalan
dalam memahami secara teliti yang mana satukah isu ‘aqidah dan yang manakah
bukannya isu ‘aqidah atau bukan secara langsungnya isu ‘aqidah inilah yang
menyebabkan berlakukan pergeseran dan pertelagahan di kalangan umat Islam di
negara ini, khususnya di dalam parti-parti politik. Keadaan ini menyebabkan
umat Islam semakin terpecah dan semakin mudah dipijak-pijak oleh musuh Islam.
Sebarkanlah
mesej ini: tundukkanlah ego masing-masing dan kembalilah belajar. Belajar itu
wajib hukumnya. Sepertimana wajibnya solat, menuntut ilmu itu juga wajib!
Jangan anggap apabila kita telah punya ijazah, telah menjadi “boss”,
menteri, ketua parti pembangkang dan sebagainya, maka kita tidak perlu lagi
belajar. Belajar itu adalah proses yang mesti berterusan, sampailah kita
kembali menemui-Nya. Belajarlah daripada para ‘alim ulama, belajarlah daripada
ahlinya. Dan fahamilah bahawa selalunya yang popular itu bukanlah yang paling ‘alim.
Dalami dan fahami benar-benar ilmu ‘aqidah.
Kemudian
berusahalah untuk mendalami ilmu akhlak, ilmu tasawwuf. Semoga apabila hati
kita terdidik untuk sentiasa terpaut kepada Allah dan Rasul-Nya, kita akan
mampu untuk mendepani segala pelaku maksiat – yang melakukan kezaliman, rasuah,
penindasan, penyalahgunaan kuasa, fitnah, rompakan dan sebagainya – dengan penuh
kasih sayang dan hikmah, bukannya dengan kekerasaan, kutukan atau hinaan.
Kerana sesungguhnya, teras utama agama Islam adalah kasih sayang (rahmah),
yang dengannya Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan
kepada kita.
Wallahu’alam.
2 comments
Click here for commentsinteresting...=) sy nak kongi artikel ni =)
Replynak kongsi lah artikel ni...=)
Reply