Sumber: http://adf.ly/1AbhE
MENARA As Sofa bakal menjadi mercu tanda Ahli Sunnah Wal Jamaah apabila ia siap dibina kelak.
ALUNAN irama merdu qasidah yang memuji Rasulullah S.A.W berselang-seli dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang diperdengarkan kepada khalayak oleh sekumpulan anak muda.
Kelihatan seragam dengan jubah berona coklat muda dan ketayap putih di kepala, persembahan yang ditampilkan kumpulan qasidah itu mampu mengajak hadirin yang hadir menginsafi diri dan mengenang kisah pengorbanan seorang manusia agung yang tersebar ke seluruh pelosok alam.
Bukan sahaja terharu, bahkan ramai yang mengalirkan air mata apabila nama Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W disebut-sebut dalam bait-bait syair Arab yang dikumandangkan kumpulan berkenaan.
Situasi berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang mengisi ruang sempena berlangsungnya majlis pecah tanah pembinaan Menara As Sofa di kawasan emas, Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Idea pembinaan menara tersebut dicetuskan oleh Penasihat Yayasan Sofa, Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki dalam usaha untuk mengukuhkan martabat Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) di negara ini.
Beliau yang turut memegang beberapa portfolio penting dalam kerajaan Negeri Sembilan seperti pengerusi akidah, ahli Majlis Agama Islam dan Ahli Majlis Fatwa Negeri memberitahu acara tersebut menyaksikan satu tanda aras baru dalam usaha dakwah yang digerakkan oleh Yayasan Sofa.
“Sesungguhnya dakwah dan risalah Islam harus dirasai impaknya oleh seluruh peringkat masyarakat terutama di pusat-pusat kehidupan umat.
“Sehubungan itu, adalah tidak wajar jika dakwah Islamiyyah hanya menjadi fenomena pinggiran dan ditandai dengan imej dhaif dan mundur. Sebaliknya, gerakan dakwah harus tampil dengan wajah yang dinamik, segar dan meyakinkan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Tambah beliau, bagi merealisasi hasrat itu, segala prasarana, infrastruktur dan keperluan dakwah ASWJ perlu dipastikan berada pada tahap terbaik dan terkini seiring dengan realiti zaman dan medan dakwah yang dihadapi.
MAJLIS Pecah Tanah Menara As Sofa turut menarik minat penduduk Kampung Baru untuk sama-sama hadir memberi sokongan.
Institusi pendidikan
“Dengan semangat tersebut kita berharap agar pembinaan Menara As Sofa ini akan mampu menempatkan usaha dakwah kami pada tahap yang lebih efektif bagi memenangi hati khalayak,” ujarnya sambil melahirkan harapan agar menara itu menjadi mercu tanda yang dapat diimarahkan oleh semua pencinta ASWJ.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad menjelaskan, apabila siap kelak mereka akan menempatkan beberapa institusi dakwah dan pendidikan yang bernaung di bawah yayasan berkenaan.
“Di samping itu, pembinaan menara setinggi 19 tingkat ini akan turut dilengkapi dengan pelbagai prasarana moden dan canggih demi memastikan kemajuan sahsiah, perkembangan ilmu Islam dan dakwah hakiki dapat dicapai kelak,” kata Yusri yang merupakan Pensyarah Kuliyah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pada majlis itu juga turut diadakan pameran berkaitan sejarah awal penubuhan Yayasan Sofa dan perkembangan dakwah mereka sama ada di dalam mahu pun di luar negara.
Tidak ketinggalan, acara yang berlangsung pada malam 15 Muharam 1543H itu turut diisi dengan majlis pelancaran Kitab Tafsir Surah Al-Ikhlas karangan Sheikh Muhammad Fuad sendiri yang kemudian dihadiahkan kepada lebih 2,000 tetamu yang hadir.
1 comments:
Click here for commentsalhamdulillah alhamdulillah alhamdulillah.
Allahumma Adim 'Alaina Nikmatak Warzuqna Syukraha Litazidana Minha.
Amin.