Bahang Gerakan Tabdi'

Berikut adalah sebuah artikel yang telah ditulis oleh al-Fadhil Ustaz Awang Pon Awang Sebon (semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh beliau, dan semoga ditempatkan di kalangan orang-orang Soleh). Artikel bertajuk "Bahang Gerakan Tabdi'" ini beliau terbitkan di dalam blog beliau pada 2 April 2009. Saya kongsikan bersama di dalam blog ini, dengan sedikit suntingan dari segi ejaan dan struktur ayat, untuk pedoman kita bersama. Baca dan hayatilah – khususnya bagi mereka yang terpengaruh dengan fahaman Wahabiyyah-Salafiyyah.


Allahyarham Ustaz Hj. Awang Pon Bin Awang Sebon

Bahang Gerakan Tabdi'

Gerakan Tabdi’ (membida’ah) mula terasa bahangnya. Pada mulanya saya tidak berminat untuk menulisnya dalam blog ini tetapi memandangkan sudah ada bibit-bibit perpecahan berpunca dari sikap agresif sebahagian daripada pengikut-pengikut kumpulan ini tanpa berbekalkan kebijaksanaan dan belum berupaya mengaplikasi ilmunya bila berhadapan dengan mad’u dan persekitaran, maka saya terpanggil untuk menjadikannya bahan blog Dewan Syura kali ini. Ia bukan bertujuan untuk menghentam asas-asas dan dasar yang menjadi sandaran pegangan mereka tetapi cara penyampaian dan persoalan urutan keutamaan tidak dicermati.



Memerangi kemungkaran yang sudah jelas kedudukan haramnya memang menjadi tanggungjawab untuk dibasmi dan dihapuskan. Walau bagaimanapun, sekiranya dengan menegah suatu kemungkaran boleh mencetuskan kemungkaran yang lebih besar dan lebih dahsyat lagi, maka lebih baik didiamkan buat sementera waktu sehingga tiba masanya yang sesuai. Kalaulah demikian anjuran para mujahid dakwah yang terunggul dan teragoung seperti Dr Ali Garisyah, Prof Dr Yusuf Qardhawi, As-Syahid Hassan Al-Banna dan lain-lain lagi dalam mendepani perkara yang sudah jelas tentang haram hukumnya secara qatie, sudah barang tentu dalam menangani masalah khilafiah yang dalilnya berdasarkan zanni/samar-samar, lebih memerlukan sikap tasamuh dan toleransi yang amat tinggi lagi.

Pesanan Syeikh Muhd Najib al-Muti’e

Saya teringat dengan pesanan Syikh Muhd Najib al-Muti’e sewaktu saya berkunjung ke kedai beliau di jalan Abbasiah, Kaherah. Beliau adalah penyambung/pelengkap kitab al-Majmuk, oleh Imam An-Nawawi. Saya bertanya kepada beliau sikap yang semestinya, bila berhadapan dengan kumpulan yang rigid dalam masalah khilafiah. Pesan beliau kepada saya, "Ya ibni (wahai anaku) kena berlapang dada dan berhujah dengan bijaksana." Prof. Dr Yusuf Qardhawi juga mengigatkan kita supaya berekerjasama dalam perkara yang disepakati dan bertoleransi dalam perkara yang berbeza pendapat.

Nampaknya perkara yang menjadi perhatian serius dan keutamaan kumpulan ini ialah masalah qunut, doa selepas solat berjemaah, azan dua kali solat juma’at, sunat qabliah jumaat, qabliah maghrib dan lain-lain lagi. Masalah ini sudah lama dibincangkan oleh ulama-ulama mujtahidin. Bagi saya sesiapa yang sudah mengambil keputusan dan yakin dengan mana-mana pendapat tersebut silakan tetapi elakkan diri dari tuduh-menuduh dan semacam memaksa orang lain mesti mengikuti pendirian diri. Dan yang kurang menyenangkan hati sebelah pihak lain ialah cara berkomunkasi dan cara penyampaian sehingga sampai ke peringkat ghuluw (melampau), sama ada mereka menjadi tamu kepada tuan rumah atau surau atau masjid atau sebaliknya bila ternampak suatu yang berbeza dengan pegangan mereka, mereka secara terbuka mengkritik atau menegur sehingga manjatuhkan air muka tuan rumah atau menimbulkan konflik dan kegusaran di kalangan masyarakat.

Saya tidak bercadang untuk mengemukakan sandaran hukum kedua-dua kumpulan ini sama ada yang pro maupun yang kontra, tak tahulah di lain masa, tetapi yang saya cuba sentuh, itupun secara ringkas perkara-perkara yang berikut:

Saya tertanya-tanya kenapa kumpulan ini beriya-iya sangat menyerang masalah khilafiah dalam bahagian ibadah khususiah sahaja seperti contoh-contoh yang saya sebutkan di atas tetapi diam membisu seribu bahasa dalam banyak hal yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah saw tetapi masih dilakukan oleh orang Islam seperti dalam sistem ekonomi, politik, pendidikan, maksiat berleluasa, rasuah dan seumpamanya. Apakah perkara ini bukan masalah pokok dan tidak mendatangkan kesan yang buruk dalam kehidupan bermasyarakat dan beragama?

Saya selalu mengigatkan diri saya dan juga mereka yang rapat dengan saya termasuklah jemaah masjid di taman saya dan siapa sahaja yang cuba meninjau pendapat saya yang serba cetek ini, bukan sahaja dalam yang hal yang kita bincang ini, malah dalam perkara yang lain juga, saya selalu berpesan agar banyak membaca, banyak berguru sama ada secara formal atau non-formal seperti dengan bermuzakarah. Jangan fanatik membuta tuli. Bila berbincang tentang hukum, tidak cukup dengan hanya berpegang kepada terjemahan al-Quran sahaja tetapi perlu membaca tafsirannya. Tafsir pula berbagai-bagai. Ada tafsir yang memfokuskan tentang sebab turun al-Quran, tafsir ahkam, tafsir berkaitan dengan sains dan bahasa dan tafsir gerakan dan lain-lain lagi. Selain daripada berminat dalam hukum hakam dan Hadis jangan lupa membaca buku-buku yang berkaitan dengan dakwah dan fiqhud-dakwah untuk bekalan berhadapan dengan mad’u / sasaran dakwah.

Mujahid-mujahid dakwah berpesan elakkan diri dari menimbulkan masalah-masalah khilafiah dalam organisasi kerana ahli-ahli dalam organisasi mungkin terdiri dari berbagai-bagai latar belakang mazhab kecuali dengan tujuan ilmiah. Dipantangkan sekali membincangkannya secara terbuka, lebih-lagi menggunakan pentas / khalayak ramai untuk menjaja dan memasarkan produk masalah khilafiah dengan tujuan menafikan amalan khilafiah yang sudah establish, yang masih dalam kerangka yang dibenarkan berbeza pendapat. Berlainan dengan masalah rasuah, kezaliman, judi, arak dan seumpamanya. Sekiranya pandakwah / pendidik / ustaz menimbulkan masalah khilafiah, ia akan menjauhkan mad’u. Ya, memang ada pengikut-penyikut dan peminat-peminat fanatik anda. Bukankah lebih baik tanpa menyentuhnya, peminat anda akan bertambah ramai lagi.

Enough Is Enough

Yang sudah itu sudahlah. Enough Is Enough. Banyak sebab yang boleh menimbulkan berbagai-bagai salah faham sehingga menyebabkan perselisihan yang boleh membawa kepada kebencian dan akhirnya mengundang musibah perpecahan telah berlaku dan sedang berlaku. Jangan ditambah lagi dengan masalah membid’ah. Punca-puncanya banyak. Kalau hendak disenaraikan bukan sedikit, banyak tetapi blog Dewan Syura tidak berminat menggunakan pendekatan seperti itu.

Di permulaan tulisan saya di atas ada diperkatakan tentang bibit-bibit, bunga-bunga perpecahan kerena masalah khilafiah. Di sekitar bandar dan di kampung-kampung sudah ada pengikut-pengikut yang mengasingkan diri dari kelompok masyarakat lain, yang sebelum ini hubungan mereka dengan masyarakat setaman dan sekampung bagitu akrab. Puncanya amalan-amalan yang dilakukan di masjid dan di surau berkenaan yang pernah diamalkannya juga sebelum ini sebelum mengikut kumpulan ini, seperti berqunut, berdoa selepas solat berjemaah, bersalam sejurus selesai solat jemaah, membaca yasin malam jumaat, nisfu syaaban sudah bercanggah dengan pendirian dan doktrin pegangannya. Kalau pun hadir ke majlis walimah atau majlis kematian sekadar bersalaman, selepas itu mohon beredar - sekadar menunjuk muka. Ini membuktikan rasa kekitaan dan ukhuwah Islamiah secara secara senyap-senyap mula terhakis dan akhirnya mengundang musibah perpecahan. Bila perkara ini terjadi musuh bertepuk tangan dan imej Islam ikut tercalar. Sebenarnya inilah yang mereka tunggu. Pucuk dicita, ulam mendatang. Perangkap samar yang ditanam musuh terlalu banyak, secara kasar mahupun secara halus. Masalah khilafiah pun mereka pergunakan sebagai perangkap samar melalui hero-hero dalam cerita khilafiah. Sebagai buktinya cuba anda rujuk semula dalam blog ini (blog Dewan Syura) di bawah tajuk perjanjian camp david dan masalah khilafiah.

Jabatan Agama dan Jabatan Mufti

Sebelum masalah gerakan tabdi’ ini mengancam kerhormonian penduduk setempat secara berleluasa, perlulah pihak-pihak yang berkenaan dan pihak yang berwajib bersemuka dengan kumpulan ini untuk mencari jalan penyelsaian jika belum diusahakan. Jika sudah dilakukan alhamdulillah. Pihak berwajib yang saya maksudkan ialah Jabatan Agama Islam dan Jabatan Mufti. Selain daripada itu, program-program dakwah atau apa sahaja namanya, untuk pelajar-pelajar di pusat pengajian tinggi awam dan swasta perlu diaktifkan lagi kerana sepanjang pengetahuan saya, kurang ada prgogram secara rasmi yang dikelola oleh pihak berwajib secara konsisten. Saya berkayakinan dengan keupayaan dan kebolehan pihak yang berwajib mampu melakukannya.

Wihdatul Fikri di antara Mahasiswa dan Pelajar-Pelajar Menengah dengan badan yang berwajib amat perlu diusahakan. Mana mungkin mereka sehaluan dengan halatuju badan yang berwajib kalau mereka tidak ditarbiah mengikut acuan badan yang berwajib. Acuan yang berwajib sudah pastinya tidak lain dari acuan Allah swt.

Akhir kalam saya suka mengetengahkan adab para ulama dalam manangani masalah khilafiah.

1. Imam Alhafiz Abu Musa bin Abdul A’Ala al-Masriyy pernah berkata” Tidak aku dapati orang yang berakal (lebih cerdas) selain daripada Imam Syafie. Pada suatu hari aku pernah berdebat dalam satu masalah dan kami bertelingkah lalu beliau menemuiku serta memegang tanganku, kemudian berkata: Wahai Abu Musa, hendaklah kita sentiasa bersaudara sekalipun kita tidak bersepakat dalam satu masalahpun.

2. Imam Syafie rahimahullah pernah solat Subuh di masjid dekat makam Imam Abu Hanifah dan beliau tidak melakukan qunut sebagaimana mazhab beliau dan itu beliau lakukan kerana menghormati Imam Abu Hanifah, pada hal Imam Abu Hanifah telah wafat tepat pada tahun Imam Syafiee rahimahullah dilahirkan.

3. Diceritakan daripada Imam Abu Ya’la al-Hanbali bahawa pernah ada seorang ulama fiqh yang datang kepada beliau untuk belajar dan membaca kitab fiqh berdasarkan mazhab Imam Ahmad bin Hanbal. Beliau (Imam Abu Ya’la) bertanya tentang negeri asalnya, maka dia pun memberitahukannya kepada beliau, maka beliau berkata kepadanya: Sesungguhnya penduduk negerimu seluruhnya mengikut mazhab Imam Syafi’e, lalu mengapakah engkau meninggalkannya dan ingin beralih kepada mazhab kami? Dia menjawab: Saya meninggalkan mazhab ini kerana saya berasa lapang dan tertarik hati denganmu. Selanjutnya Imam Abu Ya’la berkata: Ini tidak dibenarkan kerana jika engkau di negerimu bermazhab dengan mazhab Ahmad rahimahullah sedangkan seluruh masyarakat di sana mengikut mazhab Imam Syafi’e maka engkau tidak akan mandapatkan seorangpun yang beribadat (di dalam mazhab Ahmad rahimahullah) bersamamu dan tidak pula yang belajar denganmu. Bahkan boleh jadi engkau akan membangkitkan permusuhan dan menimbulkan pertentangan. Maka sepatutnya kamu berada di mazhab as-Syafi’e adalah lebih utama dan lebih baik.

4. Imam Syafi’e pernah berkata: "Pendapatku, menurutku adalah benar tetapi ada kemungkinan salah dan pendapat orang lain, menurutku adalah salah, namun ada kemungkinan benar." Sifat tawadhuk Imam Syafi’e ni telah diambil kesempatan oleh mereka yang tidak mahu terikat dengan amalan 'bermazhab-tidak bermazhab' - pada hal makusd sebenarnya bukan demikian.

Wallahu'alam.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
nizam
admin
4:59 pm ×

Salam tuan...
Saya bersetuju dgn pandangan Allahyarham , semoga Allah mencucuri rahmat keatasnya..

Akhir zaman ini...saya nampak bukan ramai yg suka membidaah insan lain tapi yg ramai adalah org yg suka memfitnah org lain sebagai wahabi..
Cubalah tuan buka laman web yg mengelar mereka anti wahabi... bacalah tulisan mereka...adakah itu akhlak ahli sunnah sehingga ada yg sanggup melaknat sesama saudara islam...
kenapa kita tak kembali kpd al_quran dan hadis yg sahih...
itu saja sandaran...tinggalkanlah segala was was dan yg ragu2...

semoga selamat dunia akhirat

Congrats bro nizam you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar