Memahami Masalah Adab Pelajar

Saudara saya, Azrul Jaini, menulis tentang kebiadaban pelajar pada hari ini di dalam blog beliau melalui artikel yang bertajuk “Adab Budak Dahulu & Sekarang”. Sungguh, memang tidak dapat dinafikan bahawa para pelajar pada hari ini sudah semakin kehilangan adab. Kes kebiadaban pelajar sekolah terhadap guru mereka seperti kes murid meninggi suara terhadap guru, murid tidak mengendahkan guru yang berada di hadapan kelas, murid mencaci-maki guru, murid merosakkan kenderaan guru, murid yang memukul guru dan sebagainya seolah-olah semakin merupakan satu kebiasaan dewasa ini. Saya mempunyai rakan-rakan yang bertugas sebagai guru, dan seringkali saya mendengar keluhan mereka tentang sikap para pelajar sekolah pada hari ini (secara umum).

Ada juga beberapa orang yang bertanya bagaimana caranya hendak mengendalikan para pelajar yang semakin biadab ini. Mungkin memang ada caranya untuk mendekati para pelajar yang sebegitu; namun, kaedah dan pendekatan untuk mendekati para pelajar yang biadab ini seringkali bersifat tidak konvensional dan malah kadang-kadang bercanggah dengan etika dan praktis perguruan atau persekolahan. Sistem pendidikan kita yang agak ‘rigid’ mungkin agak sukar untuk menerima pendekatan-pendekatan yang seperti itu. Apa contohnya? Contohnya, kalau di sekolah berasrama penuh, pelajar-pelajar yang enggan menghadiri sesi belajar malam (prep) diberikan kebebasan untuk berbuat sedemikian! Saya pasti kalau cadangan seperti ini dikemukakan kepada pentadbir-pentadbir sekolah berasrama penuh, akan melenting mereka! Seorang rakan saya, Zeal Zainuddin, juga ada menyusun satu sistem pembelajaran yang dinamik dan non-konvensional yang mungkin sangat efektif dalam mendekati para pelajar yang biadab. Apapun, saya tidak ingin menghurai panjang tentang kaedah atau pendekatan di dalam penulisan ini kerana kaedah dan pendekatan seperti itu lebih bersifat ‘superficial’ (tetapi perlu ada juga) dan bukan ‘substantial’ di dalam konteks mengatasi permasalahan kebiadaban pelajar sekolah.

Apa yang ingin saya tekankan adalah bahawa betapa masalah kebiadaban para pelajar sekolah pada hari ini sebenarnya bertitik-tolak daripada permasalahan yang mungkin lebih mendasar yakni masalah kehilangan adab di kalangan para pemimpin dan di dalam masyarakat. Adab, seperti yang telah dihuraikan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan telah beberapa kali juga saya nukilkan, merujuk kepada pengenalan dan pengiktirafan akan kedudukan segala sesuatu di dalam sistem kewujudan ini dalam hubungkaitnya dengan Tuhan. Pengenalan dan pengiktirafan akan kedudukan segala sesuatu ini berkait dengan ilmu dan akhlak.

Apakah pula masalah adab yang saya maksudkan, yang menatijahkan sikap biadab para pelajar sekolah pada hari ini? Jawapannya, merujuk kepada aspek “pembangunan” dan “pendidikan”. Para pemimpin kita (walaupun tidak semua) dan masyarakat di negara ini secara umumnya, memahami pembangunan melalui pandangan alam yang salah, yakni pandangan alam yang dipengaruhi fahaman-fahaman yang datangnya daripada Barat, lantas menyebabkan mereka memahami “pembangunan” sebagai kemajuan dalam aspek material dan fizikal semata-mata. Sedangkan kemajuan dalam aspek material dan fizikal semata-mata adalah perkara yang tidak menjamin kebahagiaan hakiki manusia, malah tidak juga membantu ke arah pembinaan tamadun manusia yang cemerlang.

Harus difahami bahawa Islam tidak menolak pembangunan fizikal dan material secara totok; tetapi Islam memberikan garis panduan yang jelas tentang kedudukan aspek fizikal dan material yang sebenarnya harus diletakkan di bawah aspek lain yang lebih penting seperti aspek diri manusia itu sendiri. Hal ini akan difahami dengan lebih jelas apabila kita memahami hakikat kehidupan ini; yakni, selepas kehidupan di dunia yang sementara ini kita akan berpindah ke alam abadi yang hakiki. Alam akhirat itu adalah satu realiti, biarpun kita tidak mampu menghayatinya dengan pancaindera kita ketika ini. Hal ini demikian kerana perkara tersebut disampaikan kepada kita melalui utusan yang dilantik oleh Tuhan (dengan segala mukjizat sebagai bukti kerasulannya), dirakamkan di dalam kitab suci Al-Qur’an yang benar (melalui banyak bukti dan hujah) serta diriwayatkan di dalam hadith-hadith Rasulullah yang sampai kepada kita pada hari ini melalui jalan-jalan yang dipercayai. Di alam akhirat, manusia akan dipertanggungjawab akan segala perilakunya di dunia; pada ketika itu bukan lagi harta dan keturunan yang akan berguna, tetapi kualiti diri – yang sangat bergantung kepada iman dan ilmu – yang akan dinilai.

Malang sungguh, di negara kita pada hari ini – dan mungkin di mana-mana sahaja di seantero dunia – pembangunan fizikal dan material itulah yang diberikan keutamaan. Mungkin akan ada yang berhujah, bahawa negara kita juga memberikan penekanan kepada aspek pendidikan. Oleh sebab itulah saya menyatakan bahawa antara masalah kehilangan adab yang berlaku di dalam masyarakat pada hari ini adalah dalam aspek “pendidikan”. Keutamaan kepada pembangunan fizikal dan material dapat dilihat melalui penekanan yang diberikan di dalam dunia pendidikan. Bukankah pada hari ini matapelajaran sains dan matematik yang diberikan keutamaan? Malah, apabila membincangkan tentang soal pendidikan maka kita akan mendengar istilah “pembangunan modal insan”. Bukankah “modal” itu gunanya sebagai aset untuk memulakan sesuatu “perniagaan”, yang gunanya untuk mendapatkan keuntungan material? Istilah yang digunakan sudah membayangkan pandangan alam yang ada di kalangan pemimpin dan di dalam masyarakat kita pada hari ini: bahawa latihan dan pendidikan yang diberikan kepada para pelajar adalah bertujuan supaya mereka dapat menjadi “modal” untuk menjana keuntungan material. Oleh sebab itulah matapelajaran yang berkaitan dengan “sains dan teknologi” seperti Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan sebagainya seringkali dilihat sebagai matapelajaran yang ‘penting dan bernilai tinggi’. Malah, apabila melangkah ke alam pengajian tinggi, para pelajar seringkali diingatkan agar mengambil kursus yang sesuai dengan ‘kehendak industri’.

Mungkin akan ada yang mengatakan bahawa sistem pendidikan kita bersifat menyeluruh kerana matapelajaran seperti Pendidikan Agama Islam juga diajar, malah dijadikan matapelajaran wajib bagi semua. Pendidikan agama Islam adalah satu pendidikan yang sangat penting, kerana hanya pemahaman terhadap agama-lah yang akan mampu mewujudkan manusia yang berilmu dan beriman, yang memahami hakikat kewujudannya serta pertanggungjawabannya terhadap Allah dan hubungannya dengan Rasulullah. Di sinilah kita melihat berlakunya masalah kehilangan adab yang cukup besar di dalam sistem pendidikan kita. Benar, matapelajaran Pendidikan Agama Islam diwajibkan. Namun, matapelajaran ini dijadikan sama tarafnya dengan matapelajaran lain kerana waktu pembelajarannya di sekolah sama sahaja seperti waktu pembelajaran bagi matapelajaran yang lain; malah, matapelajaran yang ‘bernilai tinggi’ seperti yang disebut di atas mungkin diberikan waktu yang lebih. Ditambah dengan pemahaman yang salah tentang “pembangunan”, akhirnya wujudlah kecenderungan di kalangan para guru dan para pelajar untuk melihat subjek Pendidikan Agama Islam sebagai subjek yang ‘bernilai rendah’.

Sepatutnya, kita sedia faham bahawa di dalam Islam ilmu itu dibahagikan kepada dua kategori mudah yakni ilmu fardhu ‘ain dan fardhu kifayah. Ilmu fardhu ‘ain sudah tentu lebih penting daripada ilmu fardhu kifayah kerana ilmu fardhu ‘ain diwajibkan kepada semua orang secara peribadi untuk mengetahuinya – seolah-olah memberitahu kepada kita bahwa kita akan gagal menjadi manusia yang baik jika ilmu fardhu ‘ain itu tidak dipelajari. Maka, melihat kepada skema keutamaan itu, sepatutnya para pelajar dilengkapkan terlebih dahulu dengan ilmu fardhu ‘ain sebelum mendalami ilmu fardhu kifayah – seperti ilmu-ilmu ‘sains dan teknologi’. Ilmu fardhu ‘ain mengajar kita tentang aqidah, syariat dan akhlak. Ilmu fardhu ‘ain adalah ilmu-ilmu asasi yang akan membentuk pandangan alam Islam yang betul – sekaligus membolehkan setiap individu itu mengenali dan mengiktiraf kedudukan segala sesuatu dalam hubungkaitnya dengan Allah, lantas mewujudkan manusia yang beradab!

Maka, disebabkan sistem pendidikan kita pada hari ini secara umumnya bersifat sebagai satu “kilang” yang bertujuan untuk mengeluarkan “modal” buat memenuhi tuntutan “pembangunan” negara, para pelajar juga melihat guru mereka tidak lebih daripada sekadar seorang manusia yang ditugaskan untuk menyampaikan ilmu (atau maklumat) kepada mereka demi memenuhi tuntutan “pembangunan” tersebut. Kesucian dan kelebihan ilmu dan pengajar ilmu tidak mereka fahami dek kerana mereka tidak mempunyai pandangan alam Islam yang benar – kerana sistem pendidikan kita tidak memberikan penekanan terhadap hal tersebut dengan cara yang betul. Rasa hormat kepada guru sudah semakin hilang, kerana mereka tidak faham kedudukan seorang guru dan kedudukan mereka, serta pertanggungjawaban mereka terhadap Tuhan dalam hal itu.

Oleh sebab itulah, apabila ada yang bertanya bagaimana caranya untuk mengatasi masalah pelajar sekolah yang semakin biadab, maka saya berpandangan bahawa adalah perlu untuk seluruh sistem di dalam masyarakat kita diubah – untuk memastikan satu perubahan yang benar-benar substantial dapat direalisasikan. Hal ini memerlukan usaha daripada semua pihak. Saya mungkin hanya mampu untuk menjelaskan punca permasalahan, tetapi untuk mengatasi masalah itu memerlukan kepada usaha yang kolektif.

Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala mengurniakan Taufiq dan Hidayah kepada kita; dan semoga Allah mengampuni saya di atas segala kesalahan di dalam penulisan ini.

Sesungguhnya, Allah jua Yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana!

Previous
Next Post »