Syafia Humairah: Mangsa Masyarakat Yang Tiada Kemanusiaan

Nama Syafia Humairah Sahari pastinya kini bukan lagi satu nama yang asing bagi masyarakat negara ini, khususnya bagi masyarakat yang prihatin. Semalam (28 Februari 2010), di dalam akhbar Berita Harian sahaja, ada banyak berita yang berkaitan dengan kejadian malang yang menimpa adik Syafia Humairah Sahari. Malah di dalam banyak akhbar-akhbar yang lain berita ini turut mendapat perhatian. Masakan tidak, seorang kanak-kanak comel yang tidak berdosa menemui maut dalam keadaan yang cukup menyedihkan – dibelasah sampai mati!

Berbahagialah adik Syafia Humairah Sahari kerana tempat beliau di syurga!

Lambakan berita dan respon yang diberikan di dalam media-media yang pelbagai menampakkan sifat prihatin masyarakat di negara ini. Namun, dalam masa yang sama, mungkin kita juga perlu memikirkan kemungkinan masyarakat negara ini lebih sukakan ‘berita sensasi’ daripada benar-benar bersikap prihatin dan mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Apa tidaknya, berita kematian seorang kanak-kanak yang didera bukan pertama kali kita dengar. Malah, bermacam-macam berita tentang kekejaman manusia pernah kita dengar sebelum ini tetapi jenayahnya tetap berulang di dalam masyarakat. Seolah-olah masyarakat di negara ini tidak mahu mengambil pengajaran yang besar di sebalik setiap kejadian yang telah berlaku.

Saya tidak menafikan bahawa si lelaki yang “membelasah” adik Syafia sampai mati itu adalah seorang lelaki yang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Lelaki itu harus mendapat hukuman yang mandatori! Namun, kita juga tidak boleh bersikap terlalu wewenang dan meletakkan beban kesalahan ke atas lelaki kejam itu semata-mata. Kes-kes seperti ini sebenarnya adalah merupakan manifestasi daripada kegagalan sistem – justeru melibatkan banyak pihak. Ada beberapa perkara yang saya rasa elok untuk difikirkan bersama-sama dan cuba untuk kita ambil pengajaran daripadanya.

[1] Mengapakah si ibu, seperti yang dilaporkan oleh hampir semua akhbar – tanpa ada penafian – boleh mempunyai seorang teman lelaki dalam keadaan dirinya masih ada suami yang sah? Walaupun suaminya merengkok di dalam penjara, tetapi mereka masih suami isteri yang sah di sisi agama. Mereka masih terikat dalam aqad pernikahan. Bukankah perbuatan si isteri itu perbuatan yang curang? Ke mana perginya nilai-nilai agama? Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Fikirkan.

[2] Mengapakah si anak itu diserahkan kepada jagaan seorang ‘teman lelaki’. Mempunyai seorang ‘teman lelaki’ itu sendiri sudah merupakan satu kesalahan, kemudian diserahkan pula anak kesayangan kepada jagaannya. Persoalan yang perlu kita sama-sama fikirkan: ke mana perginya ahli keluarga?

[3] Mungkin, antara faktor mengapa si anak dijaga oleh ‘teman lelaki’ adalah kerana si ibu keluar bekerja. Mengapa sampai perlu si ibu keluar bekerja? Tanggungjawab utama si ibu adalah di rumah. Urusan nafkah mereka masih lagi di bawah tanggungjawab suami, yang sedang merengkok di dalam penjara. Maka, salah siapa? Sekali lagi, mana pula perginya ahli keluarga dan jiran tetangga? Ingat, jiran itu ada hak! Mana pula perginya peranan para pemimpin negara ini yang hanya ‘terhegeh-hegeh’ hendak menziarahi bila ‘nasi sudah menjadi bubur’?

[4] Si lelaki pembunuh itu sendiri, ke mana perginya kemanusiaan? Mengapa bersifat kebinatangan – malah lebih teruk lagi daripada binatang kerana binatang pun tidak mendera anak! Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam mengajarkan kita dengan kasih sayang? Mana perginya ajaran itu? Apakah pernah kita terfikir bagaimana agaknya perasaan Rasulullah sekarang terhadap kita?

[5] Mengapakah masyarakat yang melihat kejadian itu tidak memberikan pertolongan dengan segara – dan tidak bertindak tegas terhadap lelaki itu – hanya dengan alasan diugut agar ‘tidak campur tangan urusan keluarga’? Dalam Islam kita diajar tentang hak jiran, hak saudara se-Islam. Kita diajar tentang perjuangan dan membetulkan kesalahan dengan segala kudrat yang ada. Ke mana perginya semua ajaran itu? Atau, apakah pernah pun diajar segala nilai-nilai itu? Apakah masyarakat kita sudah memahami hakikat pertanggungjawaban mereka dengan Allah Subhanahu wa ta’ala?

[6] Sudah lama disebut, dinasihati, ditekankan oleh para ‘ulama tentang kepentingan untuk kita keluar daripada kongkongan sistem pendidikan Barat yang tidak memberikan keutamaan kepada ilmu-ilmu yang lebih utama. Sistem pendidikan kita pada hari ini bukan ‘memanusiakan manusia’, tetapi lebih kepada ‘mengindustrikan manusia’. Maka, tidaklah mustahil jika ramai manusia bersifat ‘kebinatangan’ – kerana sudah tidak pandai menjadi manusia!

Selepas ini pasti banyak forum dan perbincangan akan dibuat berkisar isu ini – sepertimana selalunya. Malah, tidak mustahil jika selepas ini ada cadangan untuk diwujudkan pula undang-undang yang baru – sepertimana selalunya. Begitulah sikap sebahagian pemimpin negara ini, yang mahu menunjukkan diri sebagai ‘hero’ apabila sesuatu kes telah berlaku. Sedangkan, di dalam negara ini kita punya begitu banyak ‘ulama dan intelektual yang unggul – yang hampir semuanya tidak terikat dengan mana-mana parti politik pun – yang mana merupakan hak mereka untuk kita ambil nasihat dan ‘pengarahan’ daripada mereka. Apabila pandangan para ‘ulama dan intelektual tidak didengari, malah apabila pemimpin-pemimpin politik merasakan bahawa pandangan merekalah yang paling betul, maka akan berlakulah huru-hara dalam masyarakat. Kita harus mengambil satu sikap yang baru, bahawa pandangan para ‘ulama dan intelektual bukanlah semata-mata suatu ‘nasihat’, tetapi adalah merupakan suatu ‘pengarahan’ daripada mereka yang harus dipatuhi oleh segenap lapisan masyarakat, termasuklah para pemimpinnya.

Maaf jika terkasar bahasa.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »